SHAH ALAM - Isu bersifat khabar angin dan sabotaj selepas hari pencalonan boleh mengakibatkan kesan buruk dan menjejaskan undi. Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Isu bersifat khabar angin dan sabotaj selepas hari pencalonan boleh mengakibatkan kesan buruk dan menjejaskan undi.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ini kerana sudah menjadi lumrah masyarakat mudah untuk mempercayai sesuatu persepsi buruk yang dilontarkan kepada calon.

"Bagaimanapun, kecenderungan berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana kini rakyat perlu bijak menilai sama ada isu yang mengaitkan calon itu bersifat khabar angin atau sabotaj untuk menjatuhkan mereka.

"Apabila pengundi masih berada di tahap sama dengan mempercayai perkara berkenaan secara membuta tuli tanpa membuat pengesahan maklumat, maka tidak mustahil mereka menukar undi,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan dan propaganda yang melibatkan parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Satu daripada isu yang timbul melibatkan dakwaan isteri kedua seorang calon yang mengatakan dirinya kini digantung tidak bertali selepas perkahwinannya diketahui isteri pertama.

Noor Nirwandy memberitahu, sekiranya isu berkenaan dibangkitkan selepas hari pencalonan, rakyat perlu melihat secara keseluruhan dan mendalam kerana perkara tersebut jelas tidak baik untuk sistem demokrasi negara.

Katanya, jika perkara yang dibangkitkan itu bersabit dengan perundangan, jadi ia perlu disiasat dengan elemen berasaskan undang-undang negara.

"Jadi lebih baik untuk masyarakat memastikan kesahihan perkara tersebut daripada mudah terpedaya dengan propaganda yang wujud, bagi memberi keadilan kepada calon-calon bertanding.

"Pada masa sama, calon perlu melihat kepada perkara yang lebih matang. Contohnya berhubung pencapaian, gabungan kerajaan negeri memerintah dan polisi dirangka supaya menumpukan kepada hal yang lebih bermanfaat kepada kepentingan sosioekonomi,” ujarnya.

Tambah beliau, calon juga harus lebih terbuka dan tidak menyembunyikan apa-apa perkara yang boleh menjejaskan kredibiliti mereka untuk berkhidmat dengan baik kepada masyarakat.

Pada masa sama, Noor Nirwandy menjelaskan bahawa masyarakat juga perlu berhati-hati dalam membuat perkongsian maklumat yang tidak diketahui sumber.

Klik di sini untuk terus membaca