PILIHAN Raya Negeri (PRN) Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan boleh menjadi tanda aras pembentukan arah baru politik negara terutama di Semenanjung Malaysia. PRN ini menyaksikan pertembungan dua gergasi... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan boleh menjadi tanda aras pembentukan arah baru politik negara terutama di Semenanjung Malaysia.

PRN ini menyaksikan pertembungan dua gergasi ikatan parti politik negara iaitu Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) menentang pendatang baharu Perikatan Nasional (PN).

Tanpa menafikan peranan dan sumbangan parti kecil lain seperti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai kuasa ketiga, pertarungan sebenar di mata lebih 9 juta orang pengundi di enam negeri ini adalah antara PH-BN dan PN.

Muda sendiri yang bertanding bersama PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu belum meninggalkan ikatan politik tersebut sepenuhnya, namun memilih untuk bertanding dalam PRN kali ini atas kaki sendiri.

Oleh kerana Muda dan parti-parti lain tidak bertanding untuk mentadbir negeri, maka pertembungan PH-BN dengan PN adalah pertarungan sebenar menentukan corak politik di enam negeri ini untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pertandingan PH-BN dan PN agak seimbang apabila kedua-dua ikatan politik ini menguasai tiga dari enam negeri. PH-BN menguasai Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan; manakala PN menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Berdasarkan PRU15, tampak keputusan PRN ini akan mengekalkan status quo dengan tiga buah negeri kepada PH-BN dan tiga buah negeri kepada PN.

Bagaimanapun pasca PRU15 mungkin telah mengubah pemikiran sebahagian pengundi untuk menilai semula sokongan mereka.

Satu perkara yang hampir pasti ialah, sebahagian besar pengundi akan terpecah kepada dua fraksi sahaja sama ada PH-BN atau PN. Tidak ada lagi tiga fraksi besar seperti PRU14 dan PRU15.

Perkara yang belum pasti ialah sama ada pengundi-pengundi yang memberi undi kepada BN dalam PRU15 akan mengundi PH-BN dalam PRN ini.

PH terutama DAP dan PKR juga akan berhadapan dilema serupa. Selepas lima pilihan raya mereka menjual naratif BN adalah ‘ancaman’ kepada sebuah negara yang bersih, demokratik dan telus, kini mereka telah bersama.

Apakah pengundi tradisi PH akan kekal memberi sokongan kepada ikatan baharu PH-BN ini atau mereka akan mengemukakan undi protes.

Melancarkan kempen lawan mereka juga parti korup tidak menyelesaikan dilema pengundi PH yang sebelum ini percaya parti tersebut jujur mempertahankan idea tadbir urus yang baik.

Malah kini ada yang melihat kerajaan PH-BN sedang kembali ke kerajaan era 90-an di mana pembangkang dihimpit dengan pelbagai tekanan dan intimidasi.

Setelah tiga penggal menguasai Selangor, PH-BN mungkin akan berhadapan cabaran sengit berikutan indeks ketidakpuasan hati terhadap kerajaan Persekutuan agak tinggi dalam pengurusan ekonomi dan tadbir urus negara.

Sebahagian besar pengundi di bandar melihat perubahan kerajaan negeri tidak akan banyak mempengaruhi kehidupan mereka, berbanding keputusan- keputusan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan. Ini boleh menjejaskan sokongan tradisional mereka kepada PH.

PN juga belum tentu mendapat sokongan penuh pengundi yang telah mengundi mereka sebelum ini.

Sebahagian pengundi PN dalam PRU15 lepas membuat keputusan untuk meneruskan pentadbiran kerajaan Persekutuan PN-BN, di samping memprotes kepimpinan UMNO.

Namun dengan kerajaan Persekutuan telah ditentukan di bawah pimpinan PH-BN, kini pertimbangan lain akan turut diambil kira.

Antaranya tentulah sejauh mana parti bertanding mampu menawarkan pembangunan negeri terbaik; siapa calon Menteri Besar dan faktor calon akan memberi kesan kepada pola pengundian.

Kuasa kerajaan Persekutuan yang berada di pihak lawan juga mungkin akan mempengaruhi sebahagian pengundi PN terutama kakitangan kerajaan dan penerima bantuan kerajaan Persekutuan secara langsung dan tidak langsung.

Menarik juga untuk dilihat sama ada pengundi tradisi BN yang memprotes UMNO dalam PRU15 akan kembali kepada mereka atau terus meninggalkan parti tersebut.

Walau apa pun keputusan PRN ini, landskap politik negara telah pun berubah. Pertarungan sebenar kini antara PH dan PN.

Dengan tahap sokongan yang semakin merosot dan kepimpinan yang lemah, BN terpaksa menjadi sebahagian PH untuk terus kekal relevan.

Politik negara mungkin lebih stabil dengan hanya dua fraksi politik besar bertarung.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca