SAYA baru sahaja mendengar lagu Faizal Tahir, Gemuruh dan lirik lagu itu sememangnya menggambarkan semangat kerajaan untuk menjadikan Malaysia lebih menyerlah susulan pelancaran rangka kerja, "Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat” pada 27 Julai 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Misi untuk memartabatkan ekonomi dan rakyat Malaysia amat jelas. Sememangnya sudah dijangka bahawa pelan ini bertujuan menangani cabaran semasa rakyat seperti peningkatan kos sara hidup.
Namun, apa yang lebih penting adalah pemikiran tuntas untuk menyelesaikan isu-isu struktur juga seperti peningkatan gaji pekerja yang tidak setara dengan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.
Perdana Menteri telah menetapkan tujuh matlamat tegas termasuk menjadikan Malaysia salah satu daripada 30 ekonomi terbesar dunia, serta dalam kalangan 12 negara teratas dari aspek daya saing dan kemudahan menjalankan perniagaan dengan sasaran pertumbuhan ekonomi yang insya-ALLAH mampu mencapai enam peratus (%) dalam jangka masa sederhana dan defisit bajet kurang daripada 3% nilai KDNK.
Sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), saya teruja apabila sebahagian besar daripada langkah yang diumumkan adalah dalam portfolio kementerian ini. Tanggungjawabnya berat dan kami menyahut cabaran ini dengan hati yang terbuka.
Elemen utama Ekonomi Madani ialah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri pada bulan Ogos ini.
Tidak dapat dinafikan, Malaysia kini terperangkap dalam proses nilai rendah dalam rantaian nilai global serta sedang mengalami penyahindustrian yang pramatang (premature de-industrialisation). NIMP adalah perancangan kita untuk mengubah situasi ini.
Salah satu faktor kejayaan utama NIMP ini ialah peralihan daripada pendekatan berasaskan sektor kepada satu pendekatan yang berlandaskan empat misi nasional iaitu meningkatkan kepelbagaian ekonomi; penerapan teknologi secara segera dan meluas untuk melonjakkan tahap pendigitalan negara; aspirasi pelepasan sifar karbon; serta memastikan kemapanan, kelestarian dan keterangkuman ekonomi.
Pelan berasaskan misi bermakna semua industri boleh berkembang maju tanpa mana-mana sektor dianggap ‘anak emas’. Sebaliknya, semua sektor, dan semua saiz perniagaan, besar atau kecil akan dapat menerima manfaatnya.
Dengan fokus untuk mengukuhkan rantaian industri sedia ada dan membangunkan kelompok industri baharu, kita mempunyai rancangan yang jelas untuk melibatkan lebih banyak PKS di dalam rantaian bekalan bernilai lebih tinggi, yang seterusnya mampu meningkatkan produktiviti buruh dan upah.
Usaha ini memerlukan komitmen yang kukuh daripada pemain industri, contohnya dalam memastikan imbuhan yang adil bagi pekerja mereka.
Ramai pelabur dalam sektor perindustrian secara peribadi memberitahu saya bahawa mereka sebenarnya tidak keberatan melaksanakan dasar gaji progresif, dengan syarat produktiviti juga meningkat.
Pelan ini memerlukan sokongan daripada semua pihak berkepentingan dalam ekonomi dan sektor korporat perlu menilai diri masing-masing bukan sahaja dari sudut pendapatan tetapi juga dari segi sumbangan mereka kepada kesejahteraan sosio-ekonomi jangka panjang dan perkongsian kemakmuran negara yang lebih sekata.
Ringkasnya, perluasan golongan kelas pertengahan dengan kuasa perbelanjaan yang kukuh akan meningkatkan penggunaan domestik. Ini bakal menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih meluas serta perkongsian kekayaan yang lebih saksama dan inilah asas untuk kita menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
Perkukuh infrastruktur pelaburan Ekonomi Madani juga berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan global yang terkemuka.
Oleh kerana sektor perindustrian merupakan penyumbang utama pelepasan karbon, usaha telah pun bermula untuk melestarikan infrastruktur kawasan perindustrian bagi menyokong pencapaian sasaran sifar bersih kita menjelang 2050.
Kita juga perlu meningkatkan promosi dan bersaing secara agresif bagi menarik pelaburan. Pada masa yang sama, MITI juga kini lebih proaktif dalam menggandingkan insentif pelaburan dengan syarat tertentu seperti penciptaan pekerjaan bergaji tinggi.
Malah, MITI telah pun memulakan pelbagai inisiatif untuk menambah baik landskap pelaburan. Ini termasuk menjadikan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalak pelaburan utama untuk memastikan interaksi yang lebih kemas dan terselaras dengan pelabur.
Kami juga sedang menyediakan sebuah platform digital untuk memantau petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), serta KPI untuk memudahkan perjalanan pelabur.
Alhamdulillah, setakat ini, bagi suku pertama 2023, kita telah meluluskan pelaburan bernilai RM71.4 bilion, 60% lebih tinggi tahun ke tahun. Dalam misi perdagangan dan pelaburan sekitar Asia pada separuh pertama 2023, kita telah berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM230 bilion dan potensi perdagangan berjumlah hampir RM10 bilion.
Pelan Ekonomi Madani juga menggariskan keperluan untuk Malaysia berintegrasi sepenuhnya ke dalam rantau ASEAN untuk menjadi salah satu ekonomi utama serantau. Usaha ini memerlukan diplomasi perdagangan yang cekap, dan pembangunan lebih banyak syarikat tempatan untuk menembusi pasaran ASEAN.
Melalui NIMP, kita akan meningkatkan nilai tambah bagi sektor seperti Elektrik & Elektronik (E&E) dan mengalu-alukan langkah Madani untuk memupuk sektor E&E Pulau Pinang melangkaui Pemasangan Semikonduktor Penyumberan Luar dan Penyedia Perkhidmatan Ujian (OSAT) yang nilainya lebih rendah ke arah industri bernilai lebih tinggi seperti reka bentuk litar semikonduktor.
Pelan Ekonomi Madani Satu langkah yang amat bermakna di dalam Pelan Ekonomi Madani ialah pengumuman DDI sebagai KPI tambahan bagi prestasi pelaburan Malaysia.
Saya telah lama berpendapat bahawa DDI sama pentingnya dengan FDI. Kombinasi FDI-DDI yang seimbang mampu memelihara ekonomi kita daripada kejutan luaran seperti ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan.
Penyertaan oleh GLIC dan GLC yang lebih aktif di dalam DDI juga akan membantu membangunkan sektor sasaran baharu iaitu aeroangkasa, ekonomi digital, kimia, E&E dan farmaseutikal yang bakal meningkatkan kepelbagaian ekonomi dan daya saing global Malaysia.
Peningkatan DDI juga mencerminkan keyakinan pelabur tempatan terhadap negara dan prospek masa depan yang lebih cerah. Untuk mencapai transformasi industri, kita perlukan bakat berkemahiran tinggi.
Persaingan untuk menarik bakat kini semakin sengit dan hanya negara yang mempunyai modal insan berkemahiran tinggi akan mampu menjadi juara.
Oleh itu, satu lagi tumpuan penting bagi konsep ekonomi Madani ialah cadangan pengukuhan saluran bakat di Malaysia dengan memastikan pendidikan negara termasuk TVET dipacu permintaan (demand) dan responsif kepada keperluan industri.
Dalam jangka masa pendek, saya yakin pelabur mengalu-alukan pembangunan zon kewangan khas di Johor untuk menarik pelabur global dan pekerja berpengetahuan menetap di Malaysia.
Usaha untuk menarik bakat global turut digiatkan melalui kemudahan imigresen khas untuk pelabur strategik dan pekerja nomad dalam sektor pembuatan iaitu melalui Pas Pelabur Strategik dan Pas Nomad Digital DE Rantau.
Kita juga mengalu-alukan penambahbaikan kepada kemudahan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan visa ketibaan.
Memacu lonjakan ekonomi Secara keseluruhannya, rangka kerja ekonomi Madani dan NIMP2030 mencerminkan keperluan mendesak bagi pembaharuan ekonomi kerana yang perlu diutamakan ialah kemakmuran negara dan bukannya kerjaya politik.
Pembinaan ekonomi Madani akan mengambil masa dan saya pasti terdapat banyak lagi langkah yang akan diumumkan melalui Bajet 2024. Namun, pengumuman baru-baru ini merupakan ‘jambatan’ yang cukup kukuh untuk kita mula mencorakkan masa depan yang lebih makmur.
MITI akan berusaha sehabis baik untuk menyokong misi memartabatkan ekonomi Malaysia dengan memastikan agar transformasi perindustrian bakal memperkasakan PKS dan menghasilkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.
Inilah yang akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara, demi mencapai cita-cita untuk menjadi sebuah ekonomi yang kuat di Asia.
Kita semua mesti memainkan peranan untuk melonjakkan ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Bersedialah rakyat Malaysia kerana sudah tiba masanya untuk bintang kita bersinar kembali.
*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Klik di sini untuk terus membaca