KERAJAAN sedia ada kekal fokus bagi membangunkan negara khususnya dari segi ekonomi dan tidak melayan isu ‘remeh’ melibatkan sentimen yang menyentuh isu kaum, institusi raja-raja Melayu dan agama (3R).
Isu-isu sedemikian dilihat hanya akan merencatkan usaha-usaha pembangunan yang dirancang kerajaan dalam usaha menjamin kesejahteraan hidup rakyat di negara ini. Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI bersama Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse bagi mendapatkan pandangan Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu.
SINAR HARIAN: Sejak kebelakangan ini, isu 3R (kaum, raja-raja Melayu dan agama), mula dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu. Apa komen Yang Berhormat (YB) berhubung isu ini?
JIMMY PUAH: Bagi saya, isu 3R ini sebenarnya isu lama dan semua orang tahu, isu ini tidak sewajarnya ditimbulkan kerana ia merupakan isu yang sensitif atau boleh diibaratkan seperti bermain dengan api, silap bermain ia akan membakar diri sendiri.
Bagi kita, isu-isu 3R ini tidak seharusnya diperkatakan lagi kerana ia hanya mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat serta boleh memecahbelahkan perpaduan nasional dan perkara ini sangat serius.
Dalam hal ini, kita juga perlu mengakui bahawa yang sering menimbulkan isu ini adalah tidak lain dan tidak bukan adalah orang politik itu sendiri; bukannya rakyat di bawah ini.
Orang-orang bawah ini tidak akan cakap. Jadi, mereka (orang politik) sebenarnya tidak seharusnya memainkan lagi isu-isu 3R ini kerana apa yang perlu mereka bawa ketika ini adalah hujah-hujah ilmiah yang memberi manfaat kepada rakyat seperti bagaimana untuk membangunkan negara.
Sebagai contoh, kenapa berlaku inflasi, cara-cara atasi inflasi, kenapa pembangunan negara tidak pesat seperti negara lain, kenapa mata wang jatuh dan sebagainya berbanding membawa isu-isu emosi yang tidak ada apa-apa manfaat kerana ia (langsung) tidak membantu.
Adalah lebih baik jika lebih banyak dibincangkan bagaimana menangani kenaikan harga barang, membuka atau mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perkara-perkara yang bakal menjamin kesejahteraan rakyat.
SINAR HARIAN: Pilihan Raya Negeri (PRN), kini berlangsung di enam negeri melibatkan Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. Bagaimana YB melihat perkara ini terutamanya terhadap perubahan yang mungkin berlaku?
JIMMY PUAH: Secara keseluruhannya pada PRN kali ini, ia bukannya melibatkan Pakatan Harapan (PH) lawan Pakatan Nasional (PN) atau Kerajaan Perpaduan lawan Perikatan Nasional atau sebagainya. Pada PRN kali ini yang kita ‘lawan’ adalah ideologi.
Bagi saya, sudah pasti kita pamerkan ideologi muhibah, muafakat serta berbilang kaum. Maknanya di sini, Malaysia ini kepunyaan semua. Inilah yang kita perjuangkan. Kita hendak negara membangun, stabil dan menarik kemasukan banyak pelabur.
Kita lawan ideologi yang lebih ‘sempit’ kerana ia bakal menggugat pembangunan negara. Ada pihak yang tanpa mengambil kira keadaan demografi negara ini, sanggup menekankan isu 3R bagi menarik perhatian rakyat.
Sepatutnya yang ditekankan perlulah isu yang mempunyai fakta macam yang saya katakan tadi, barulah rakyat nampak. Mungkin sudah tiba masa untuk gubal undang-undang bagi menangani isu 3R ini demi pastikan negara ini boleh move forward (maju ke hadapan) dan bukannya semakin mundur ke belakang.
Negara ini sebenarnya bukan tidak ada kemajuan; cuma negara lain yang ‘lebih cepat’ daripada kita, sebab apa? Mereka terus ke hadapan. Oleh itu, semua orang perlu berfikir dan bekerja bagi memastikan semua perkara bergerak ke ‘hadapan’ dan bukannya ke belakang.
SINAR HARIAN: Pada pendapat YB, apa peranan yang boleh dilaksanakan oleh seorang ahli parlimen atau pemimpin bagi memastikan negara ini terus maju ke hadapan?
JIMMY PUAH: Semua orang tahu antara faktor yang mampu menjamin kesejahteraan negara adalah melibatkan kestabilan. Kestabilan di sini bermaksud stabil dalam semua aspek seperti politik dan ekonomi.
Bagaimanapun, perkara ini tidak berlaku. Sejak 2018 sampai sekarang, dalam tempoh enam tahun ini, kita sudah bertukar lima Perdana Menteri.
Ini bermakna dalam tempoh ini polisi juga berubah-ubah dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa kerajaan tidak konsisten. Perkara ini juga akan membuatkan para pelabur mulai ‘bosan’ dan tidak lagi tertarik melabur di Malaysia.
Bukan itu sahaja, rakyat pada hari ini juga tidak salah kalau saya katakan tahap keyakinan rakyat kepada ahli-ahli politik juga sudah semakin ‘jatuh.’ Mereka sudah tidak percayakan lagi kepada ahli-ahli politik ini. Tidak kiralah ahli politik PH ke, PN ke atau sesiapa sahaja.
Sebenarnya apabila rakyat sudah berikan mandat kepada mana-mana pihak, biarkanlah sampai tempoh lima tahun. Bila sudah sampai lima tahun dan tengok pihak berkenaan tidak stabil, tukarlah bukannya asyik bertukar sesuka hati.
Akhirnya ia membuktikan kerajaan tidak konsisten dan ia membazirkan masa, polisi dan semakin ‘menjauhkan’ pelabur untuk membuat pelaburan di negara ini. Adalah agak ‘merbahaya’ sekiranya perkara seperti ini berterusan.
SINAR HARIAN: Sebelum ini YB merupakan ADUN Bukit Batu dan kini berpindah ke Parlimen Tebrau yang boleh dikatakan kawasan agak besar bagi negeri Johor. Boleh ceritakan mengenai perancangan jangka pendek dan perancangan jangka panjang YB.
JIMMY PUAH: Sebagai makluman, kawasan Parlimen Tebrau merupakan kawasan yang besar dan ia bersempadan dengan lapan Parlimen lain.
Dari segi saiznya kalau campur Parlimen Pulai campur Parlimen Johor Bahru tambah lagi Parlimen Pasir Gudang pun tidak dapat menandingi keluasannya. Oleh itu, bagi sebuah kawasan yang besar, cabarannya pun sudah tentu besar.
Bagaimanapun, bagi jangka pendek saya akan cuba untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya dan ia melibatkan dua jalan utama iaitu di Pasar Borong Pandan ke Ulu Tiram. Untuk laluan ini saya telah berbincang dengan pihak JKR (Jabatan Kerja Raya), bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
Satu lagi laluan melibatkan jejambat di Cahaya Baru (belakang Meridean East). Jika jejambat ini dibuka ia boleh terus sampai ke Tanjung Langsat. Laluan ini sepatutnya dibuka pada 2021 tetapi tertangguh sehingga ke hari ini. Kalau dibuka dapatlah bantu kurangkan kesesakan jalan raya.
Bagi jangka panjang pula, saya merancang untuk wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan untuk itu kita merancang untuk bina satu zon industri yang baharu. Tapi bukan industri berat kerana di sekitar Tebrau ini sudah memang banyak kawasan zon industri sebegitu.
Yang saya makusdkan dengan zon industri ini adalah lebih kepada zon industri ringan dan sederhana serta menghasilkan produk-produk yang lebih ‘mesra alam.’ Contohnya, medical equipment (perkakas perubatan), buat drone dan sebagainya.
SINAR HARIAN: Selain bergiat aktif dalam politik, YB juga dikatakan gemar bersukan. Sukan apa yang YB gemari?
JIMMY PUAH: Saya sedar sebagai seorang wakil rakyat, aspek kesihatan diri sendiri adalah sangat penting. Ini kerana tugas saya adalah berkhidmat kepada rakyat.
Kalau saya sendiri tidak mampu untuk bergerak aktif bagi menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya, apakah saya layak digelar wakil rakyat?
Jadi, walau sibuk macam mana pun, saya akan tetap ‘curi masa’ untuk bermain badminton.
Klik di sini untuk terus membaca