PESHAWAR - Angka kematian akibat serangan pengebom bunuh diri menyasarkan perhimpunan parti politik di barat laut Pakistan meningkat kepada 44 orang dan mencederakan hampir 200 yang lain.
Insiden pada Ahad itu berlaku di daerah Bajaur dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan yang pernah dikuasai Taliban.
Penyerang meletupkan dirinya di tengah-tengah perhimpunan Parti Jamiat Ulema-e-Islam-Fazl (JUI-F) iaitu rakan gabungan kerajaan di Parlimen yang diketuai ulama terkenal dan berpengaruh, ketika ratusan penyokong berkumpul di bawah khemah.
Pegawai kecemasan daerah Bajaur memberitahu saluran televisyen Geo News bahawa seorang pemimpin tempatan parti tersebut iaitu Maulana Ziallah juga antara mangsa yang terbunuh.
Menurut laporan media tempatan, sekitar 400 orang menghadiri perhimpunan itu semasa letupan berlaku.
Sementara itu, salah seorang peserta yang hadir ke perhimpunan itu, Abdullah Khan berkata, khemah runtuh menyebabkan orang ramai terperangkap dan terdesak menyelamatkan diri.
Sabeeh Ullah, seorang penyokong parti berusia 24 tahun yang mengalami patah lengan akibat letupan itu berkata, skala kecederaan amat mengerikan.
"Saya mendapati diri saya terpelanting dan berbaring di sebelah mangsa yang kehilangan anggota badan.
"Udara dipenuhi dengan bau daging manusia," katanya.
Letupan itu bertepatan dengan lawatan delegasi kanan pegawai China termasuk Naib Perdana Menteri He Lifeng yang tiba di Islamabad pada Ahad.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif menyelar insiden pengeboman itu sebagai serangan terhadap sistem demokrasi.
Setaka ini masih tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan berkenaan.
Namun, polis mengesyaki ia didalangi cabang tempatan kumpulan militan Daesh dikaitkan dengan Taliban Pakistan yang mendalangi serangan terhadap JUI-F pada awal tahun ini.
Tahun lalu, Daesh mengaku mendalangi serangan ganas terhadap ulama yang bergabung dengan parti itu.
Pakistan menyaksikan peningkatan mendadak dalam serangan pengganas selepas gencatan senjata antara Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) dan kerajaan di Islamabad gagal. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca