RAMAI yang khuatir apabila bercakap tentang kematian. Ia mungkin akibat dari kurangnya persediaan untuk menghadapi kematian atau masih leka mahu menikmati kelunakan hidup. Walhal kematian itu suatu kepastian, cuma masanya sahaja tidak kita ketahui.
Ada juga dalam kalangan kita menganggap apabila berlaku kematian, putuslah hubungan kita dengan si mati. Oleh itu kematian itu diratapi dan ditangisi tanpa mengambil peluang membuka ‘hubungan lain’ dengan gemulah.
Kematian bukanlah pemutus hubungan, tetapi merupakan peralihan dari kehidupan di dunia menuju kehidupan akhirat. Agama Islam memberikan panduan dan keyakinan yang kuat tentang bagaimana menghadapi kematian dan memahami hubungan dengan orang yang telah meninggal dunia.
Tanpa melalui kematian mungkin kita tidak dapat bertemu dengan Yang Maha Mencipta, Rasu-lNya dan orang yang telah mendahului kita. Dalam Islam, kematian dipandang sebagai peralihan alami dari kehidupan ditentukan ALLAH.
Setiap orang akan menghadapinya pada waktu ditetapkan. Setelah kematian, roh seseorang berpisah dari tubuh fizikal dan masuk alam barzakh, suatu fasa interim antara kehidupan dunia dan akhirat.
Meskipun roh orang yang meninggalkan fizikalnya tidak lagi berada di dunia ini, hubungan spiritual dengan mereka tetap ada. Islam mengajar bahawa hubungan ini dapat dipertahankan melalui doa dan pengabdian kepada ALLAH.
Doa untuk orang meninggal dunia membantu memperkuat ikatan spiritual dengan mereka dan memberikan manfaat bagi roh di alam barzakh. Selain itu, Islam juga mengajar peri-pentingnya mengenang mereka dengan baik.
Mengingat dan mendoakan mereka adalah tindakan yang dianjurkan untuk menghormati dan menghargai mereka. Islam juga mengajarkan bahawa perbuatan baik yang dilakukan orang yang masih hidup dapat menjadi amal jariah (amal yang terus berlanjut) yang memberikan manfaat kepada orang yang telah meninggal dunia.
Pengurusan harta pusaka bagi orang Islam sewajarnya diuruskan secara profesional mengikut hukum syarak. Ia bukan hanya untuk membahagi-bahagikan harta sahaja tetapi juga perlu jauh lebih daripada itu iaitu membangunkan harta pusaka itu secara bersama mengikut bahagian yang ditentukan itu. Jangan pula nanti harta pusaka itu menjadi harta ‘puaka’ kepada ahli waris yang berantakan merebutnya.
Dalam Islam, kematian juga mengingatkan kita akan sementaranya kehidupan di dunia ini. Hal ini memotivasikan umat Muslim untuk menghargai waktu yang telah diberikan dan menggunakan kesempatan ini untuk beribadah kepada ALLAH, melakukan kebaikan, dan mempersiapkan diri untuk kehidupan akhirat.
Oleh kerana kehidupan di dunia adalah sementara, letaklah dunia itu di tangan (menguruskan dengan kekuasaan yang ada) anda bukan di hati (disayangi sangat sehingga mengabaikan perkara lain). Islam juga memberikan panduan yang jelas tentang tatacara pengurusan jenazah, melibatkan membersihkan dan memandikan jenazah, mengkafani dan menguburkan dengan hormat.
Perkuburan Islam pula menekankan kesederhanaan dan menghindari kemewahan yang berlebihan. Tiada beza antara raja dan rakyat apabila seorang Muslim telah meninggal dunia. Jenazah dikafankan dengan kain putih tanpa sebarang alat kebesaran.
Marilah kita membuat persediaan menghadapi perkara yang pasti itu dan bagi yang ditinggalkan seharusnya faham perkara-perkara yang telah ditentukan oleh hukum syarak bagi mereka.
Janganlah kita sering ditambat oleh hal ehwal dunia sedang kita sebenarnya menuju ke akhirat.
*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca