KATA Jonas Kaplan, penyelidik psikologi di University of Southern California, Amerika Syarikat, pegangan politik manusia ini antara yang paling sukar untuk diubah.
Perubahan sepertinya begitu menyakitkan. Ia seperti 'agama' yang membina identiti diri bagi sebahagian orang. Otak manusia sepertinya membina benteng pertahanan bila diajukan dengan persoalan yang berlawanan dengan apa yang mereka percaya.
Mungkin benar kata sarjana ini. Di negara kita sebelum berlakunya tsunami politik tahun 2018, agak sukar untuk percaya bahawa ada pemimpin politik dari Pas, PKR atau DAP akan menjadi menteri di peringkat persekutuan.
Sangat sukar kita berimaginasi akan ada ustaz yang berkopiah bercakap tentang polisi alam sekitar misalnya. Atau, ada pemimpin politik Cina daripada DAP yang akan bercakap tentang hala tuju ekonomi negara. Paling baik, mereka hanya mampu menjadi menteri besar atau ketua menteri sahaja. Selain Barisan Nasional (BN), jarang sangat parti lain akan menang.
Hinggakan bagi ramai orang, mengkritik BN adalah 'dosa' besar, sama seperti menderhaka kerajaan dan negara juga. Kerana jahilnya faham politik ketika itu juga, ahli politik mula memesongkan fakta - menentang parti mereka adalah seperti menentang kerajaan.
Mereka yang menjadi pemimpin dianggap manusia yang tak boleh dikritik. Orang sepertinya tidak faham bahawa parti politik hanyalah medium memerintah sahaja, yang kita wakilkan untuk menjaga khazanah negara.
Setelah BN kalah teruk pada tahun 2018, itu pun masih ada lagi yang keliru. Ada yang beranggapan BN masih memerintah, dan pembangkang yang menjadi kerajaan masih tetap juga dianggap pembangkang.
Tapi kelihatannya setelah kita berubah banyak kali selepas itu, bertukar beberapa Perdana Menteri, rakyat mula faham itulah politik. Parti yang dulunya bermusuh kini menjadi rakan kongsi baharu, yang dulunya bermuafakat kini menjadi musuh pula. Ahli politik akhirnya bekerja untuk mendapat kuasa memerintah.
Penyokong BN juga tak semua lagi menyokong Kerajaan Perpaduan kerana di dalamnya ada parti yang menjadi musuh tegar mereka. Begitu juga dengan kehadiran Gerakan dalam gabungan Pas-Bersatu.
Sepertinya politik kita kian sukar dijangka. Tapi jika benar orang sukar berubah, maka jika mereka ingin beralih pun, maka yang akan dicari ialah parti alternatif yang paling dekat dengan mereka.
Bagi mereka yang pernah menyokong UMNO, mungkin alternatifnya ialah Bersatu atau Pas kerana ia masih lagi membawa identiti Melayu-Islam. Mungkin ada juga yang memilih PKR.
Bagi penyokong DAP, Gerakan mungkin alternatif yang paling dekat. Tapi kelihatannya, jika ada peralihan, ia mungkin lebih banyak berlaku di kalangan pengundi Melayu.
Tapi ada satu hal yang baik untuk pelbagai kisah lompat melompat politik di negara kita ini. Akhirnya kita semua faham, dengan hanya tidak terus kekal setia dengan satu-satu parti, kita tak mudah diperdaya. Kita hanya memilih ahli politik yang mampu memberi kita jaminan hidup lebih baik.
Jika ahli politik pun tidak kekal setia dengan pegangan politiknya, ironinya rakyat di bawah tak perlu taksub dengan sesiapa pun. Kitalah yang patut mengubah cara ahli politik kita berpolitik.
Dunia berubah. Politik juga berubah. Pemimpin datang dan pergi. Yang perlu kita pertahankan teruslah setia mencintai negara. Pilihlah yang terbaik untuk menjadi yang berhormat!
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.