BAHANG pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri semakin ‘panas’. PRN kali ini juga menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dalam pilihan raya buat kali pertama dalam sejarah.
Sementara, DAP bertanding 47 kerusi iaitu dua di Kedah, 19 di Pulau Pinang, 15 Selangor dan 11 di Negeri Sembilan akan bekerja keras bagi mempertahankan kerusi yang disandang.
Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk dakwaan, serangan dan sebagainya, ia tidak mematahkan semangat dan DAP tidak berputus asa untuk terus mendapatkan sokongan rakyat termasuk pengundi Melayu.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN dan NAZRIN ZULKAFLI bersama Anthony mengupas cabaran yang dihadapi parti itu.
SINAR HARIAN: DAP setuju memberi kerusi Dusun Tua kepada BN dengan syarat jawatan Speaker Selangor. Di Pulau Pinang, adakah DAP ada membuat sebarang ‘perjanjian’ dengan BN apabila menggugurkan nama besar seperti Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy yang sering membangkitkan isu sensitif Melayu, Islam.
ANTHONY: PKR dan DAP memang bersama-sama dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor. Jika dilihat pengagihan dan perkongsian kuasa di kedua-dua negeri ini, jelas bahawa ketua menteri Pulau Pinang daripada DAP, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) pula daripada PKR.
Sementara di Selangor pula, menteri besar adalah daripada PKR dan speakernya adalah DAP. Jadi, persefahaman dan pengagihan kami adalah mengikut status quo.
Untuk sebarang timbal balik dengan BN di Pulau Pinang, sama ada memberikan kerusi speaker dan sebagainya, ia akan dibincangkan kemudian. Itu juga adalah tertakluk kepada persetujuan daripada PKR.
Dalam konteks Speaker DUN Selangor, kita cuma minta untuk pertahankan status quo yang diberikan iaitu sekiranya memenangi pilihan raya negeri (PRN) dan diberikan mandat membentuk kerajaan Selangor sekali lagi,
DAP menyatakan pendirian akan mendukung menteri besar daripada PKR. Dalam masa sama, kita menyatakan bahawa hasrat untuk mempertahankan kerusi speaker DUN yang disandang DAP sebelum ini.
Ini disebabkan, pada pilihan raya sebelum ini, DAP menang 16 kerusi dan sekarang DAP kurang satu kerusi kerana diserahkan kepada BN. Jadi, kita pohon supaya Speaker DUN Selangor itu dilantik dalam kalangan bukan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri). Jadi pada saya, kami hanya mempertahankan status quo iaitu Speaker DUN Selangor adalah daripada wakil DAP.
SINAR HARIAN: Melihat kepada senarai calon DAP yang bertanding dalam PRN ini, ramai muka lama dikekalkan. Bagaimana DAP ingin meremajakan parti jika orang muda kurang diberikan peluang?
ANTHONY: Sebenarnya fakta tersebut tidak betul. Jika kita lihat senarai calon DAP di Selangor, paling tua berusia 57 tahun. Secara purata calon DAP di Selangor berusia 43 tahun. Ini bermakna, ramai golongan muda diberi peluang.
Untuk makluman, ramai calon DAP yang bertanding pada pilihan raya adalah daripada usia muda. Walaupun mereka sudah bertanding dua atau tiga penggal, usia mereka masih lagi muda.
Di Pulau Pinang pula, yang paling tua ialah bekas Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan ada lagi beberapa yang berumur lebih daripada 60 tahun.
Itupun hanya dua atau tiga orang. Namun, ramai calon yang berumur 30-an dan 40-an. Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa calon kita sudah berumur. Kami telah pun meremajakan parti dengan menampilkan calon yang secara purata adalah 40 tahun.
Bagi PRN kali ini, tiada seorang pun calon yang berumur lebih daripada 70 tahun. Sebelum ini, DAP ada seorang calon yang berumur 70 tahun, tetapi sudah bersara daripada bertanding untuk pilihan raya kali ini, termasuk Ramasamy yang telah mencecah usia 74 tahun.
SINAR HARIAN: Ada beberapa pemimpin yang keluar DAP kerana tidak puas hati keputusan parti tidak mencalonkan nama mereka seperti David Marshel, yang kemudiannya bertanding sebagai calon bebas. Apa komen YB mengenai senario ini?
ANTHONY: Itu terpulang kepada mereka nak keluar parti. Saya tidak mahu bergaduh dengan mana-mana pihak. Sekiranya mereka rasa mereka hebat untuk jadi calon bebas, saya tidak boleh halang.
Itu hak mereka sebagai seorang rakyat Malaysia yang mempunyai hak dari segi perlembagaan dan undang-undang untuk bertanding dalam pilihan raya.
Kalau ada ahli DAP jadi calon bebas, mereka akan tergugur keahlian secara automatik dan tidak boleh kembali. Perlembagaan parti sangat mudah.
Dalam DAP, kita mempunyai semangat iaitu tidak ada mana-mana individu lebih besar daripada parti termasuk saya sendiri iaitu setiausaha agung.
Jika saya bertindak secara bersendirian iaitu bertanding secara bebas, keahlian saya juga tergugur.
SINAR HARIAN: Bagaimana YB melihat sokongan masyarakat Melayu terhadap DAP? Adakah sokongan itu meningkat berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu?
ATNHONY: Sekarang ini, kita menghadapi pelbagai cabaran termasuk dakwaan, serangan dan sebagainya. Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat dan DAP tidak berputus asa untuk terus mendapatkan sokongan rakyat termasuk pengundi Melayu.
Kami akan teruskan kerja dan menunjukkan prestasi lebih baik. Politik adalah satu perjuangan yang panjang dan tidak akan berhenti. Proses itu akan terus berjalan selama-lamanya.
Selagi ada pilihan raya, DAP akan terus berjuang untuk mendapatkan sokongan rakyat. Sokongan ini kadangkala meningkat, kadang-kadang menurun. Ia tidak statik. Tiada satu parti mendapat sokongan ataupun tidak dapat sokongan secara statik.
Apa yang penting bagi DAP adalah mengekalkan sokongan yang ada, malah mahu meningkatkan lagi sokongan itu dengan menunjukkan prestasi baik yang meyakinkan rakyat.
Jika kita mendapat sokongan dan mempunyai jawatan tetapi tidak buat kerja, lama-kelamaan sokongan akan merundum. Jadi, DAP perlu membuktikan keikhlasan melakukan kerja bagi mendapatkan sokongan Melayu.
Dalam DAP memang tidak ramai ahli Melayu. Tidak sampai 10,000 orang. Malahan, keahlian kita yang bukan Melayu pun tidak ramai. Keanggotaan parti tidak sampai pun 250,000 ahli. Kami antara parti yang paling kecil dari segi keahlian tetapi konsisten menang pilihan raya.
Saya tidak bandingkan dengan mana-mana parti kerana kita (DAP) ada cara tersendiri. Bagi saya, konsisten menang lebih penting daripada mempunyai keahlian yang ramai.
Meskipun tidak mempunyai ramai ahli, tetapi yang penting, kita bergerak sebagai satu parti yang dinamik, ingin melakukan terbaik kepada rakyat.
Hari ini DAP ada peluang bersama dalam kerajaan, maka kami cuba buat yang terbaik untuk meyakinkan rakyat.
SINAR HARIAN: Berapa kerusi yang diyakini menang pada PRN 12 Ogos ini?
ATNHONY: Pada PRN kali ini, kita bertanding 47 kerusi iaitu dua di Kedah, 19 di Pulau Pinang, 15 Selangor dan 11 di Negeri Sembilan.
Semua kerusi ini adalah kerusi penyandang DAP. Jadi, misinya adalah pertahankan semua kerusi tersebut. Menang atau kalah bukan atas keputusan saya, tugas kami adalah pertahankan kerusi.
DAP perlu bekerja keras untuk menang semula kerusi tersebut. Kita mesti berusaha untuk pertahankan semua kerusi itu.
SINAR HARIAN: Pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) adalah tidak melibatkan wang kerajaan. Oleh itu, berapa banyak syarikat swasta luar dan dalam negara berminat untuk menyertainya?
ANTHONY: Setakat ini, sambutan agak baik. Ada pelbagai syarikat swasta menyatakan hasrat dan minat untuk melaksanakan projek ini secara pelaburan swasta. Kita sangat mengalu-alukan minat tersebut.
Ketika ini kita buka untuk sebarang permintaan maklumat (request for information) berkenaan projek ini dan masih belum ke tahap tender lagi. Kita ingin melihat sejauh mana minat daripada pihak swasta untuk melaksanakan satu projek mega yang sudah tentu memakan belanja besar.
Kita masih dalam proses dan belum dapat dimuktamadkan berapa syarikat yang mengambil bahagian. Bagaimanapun, semua ini perlu melalui satu proses.
Sekiranya proses itu mendapat sambutan yang baik dan kita yakin bahawa dapat pelbagai cadangan daripada syarikat-syarikat besar, kita akan menilai dan membuat keputusan bagaimana untuk melaksanakan projek ini.
SINAR HARIAN: Ada yang beranggapan pelaburan China di Malaysia dalam projek berskala besar seperti ECRL, Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dan Terminal Laut Dalam Pelabuhan Kuantan adalah ‘perangkap hutang’ dengan negara berkuasa besar itu. Adakah benar tanggapan itu?
Sebelum itu, saya ingin memaklumkan, ia adalah projek yang telah diputuskan kerajaan sebelum ini. Apabila ia telah diputuskan dan ada perjanjian yang ditandatangani, ia perlu diteruskan oleh kerajaan terkini walaupun berbeza parti yang memerintah.
Apabila sesuatu perjanjian itu telah dimuktamadkan, ia mengikat kerajaan. Jadi, apa sahaja parti yang mengambil alih kerajaan, perlu menghormati kontrak tersebut.
Dalam konteks ECRL, ia merupakan projek yang dilaksanakan oleh syarikat dari China dengan pembiayaan kewangan, pinjaman dan sebagainya. Sudah tentu ia perlu dibayar balik oleh kerajaan Malaysia dan akan mengambil satu tempoh masa yang panjang untuk menyelesaikannya.
Bagi saya, apabila sesuatu projek infrastruktur itu dilaksanakan, kita perlu ambil kira manfaat dan kelebihannya kepada negara. Saya tidak melihat bahawa projek ECRL ini sebagai satu perangkap hutang.
Adalah lebih penting bagaimana kita mengoptimumkan projek infrastruktur ini. Ia sudah tentu dilihat sebagai satu game changer kepada pertumbuhan sosial ekonomi di negeri-negeri Pantai Timur.
Apabila ada landasan kereta api yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat khususnya kepada Pelabuhan Klang, ia merupakan pemangkin untuk membawa pembangunan yang lebih besar kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Kita perlu melihat secara positif. Projek ini pemangkin pertumbuhan ekonomi. Kita perlu melihat dari segi konteks itu dan bukannya melihat sebagai satu perangkap hutang semata-mata.
Sekiranya kita batalkan sebarang kontrak itu, pampasan yang besar perlu dibayar. Jadi, Kerajaan Perpaduan perlu mewarisi perjanjian atau projek tersebut.
Ketika ini, fokus kerajaan adalah untuk mengoptimumkan projek itu dan memastikan ia membawa nilai pulangan lebih besar kepada negara khususnya pembangunan ekonomi.
SINAR HARIAN: Biasanya kalau projek mega sebegini, berapa lama memberi pulangan kepada negara?
ANTHONY: Ini perlu dilihat dari sudut bagaimana kita merancang. Apabila infrastruktur itu terutama berhubung pengangkutan, ia akan menjadi pemangkin untuk beri pulangan. Sukar untuk menilai berapa lama dan sebagainya.
Contohnya, dulu kita membuat Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Lebuh raya itu dibangunkan pada 1990-an dan kesannya membawa limpahan pertumbuhan kepada bandar-bandar di sepanjang jajaran lebuh raya tersebut seperti Tanjung Malim yang sekarang ini menjadi bandar automobil.
Sama juga dengan ECRL. Apabila dibangunkan, ia merupakan satu jajaran pengangkutan menghubungkan Pantai Timur ke Pelabuhan Klang yang merupakan pelabuhan paling penting dalam negara ini.
Jadi, kos pelaksanaannya perlu dioptimumkan. Sekali lagi saya tegaskan, ia merupakan pemangkin kepada pertumbuhan perindustrian iaitu membawa kilang-kilang ke negeri Pantai Timur. Apabila negeri tersebut dapat dibangunkan, ada lebih banyak kilang, ia akan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang tempatan. Itu konteks yang perlu dilihat.
SINAR HARIAN: Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk meneliti isu kesesakan lalu lintas yang mengganggu produktiviti negara. Apa perkembangan dan tindakan kementerian?
ANTHONY: Jawatankuasa Kabinet mengenai kesesakan jalan raya telah pun ditubuhkan dan mesyuarat secara berkala akan dilaksanakan. Masalah kesesakan ini bukannya boleh ditangani atau diselesaikan dalam sekelip mata.
Ini kerana, bilangan kenderaan di Malaysia agak banyak dan kebergantungan negara kita kepada kenderaan persendirian agak tinggi. Ia disebabkan budaya kita menggunakan kereta sendiri itu memang sudah lama.
Oleh demikian, ia akan mengambil pelbagai inisiatif serta perancangan untuk mengatasi isu kesesakan di negara ini.
Sebagai makluman, beberapa pendekatan pendek telah pun diambil seperti mewujudkan lebih banyak laluan kontra di Lembah Klang dan juga akan memperkenalkan lebih banyak laluan bas di Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk memastikan perjalanan bas lebih lancar dan cepat.
Jadi, langkah-langkah itu diambil dari masa ke masa. Dengan adanya Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan, ia memberikan satu platform supaya lebih banyak pendekatan dilaksanakan di pelbagai peringkat kementerian.
Selain itu, apabila menyentuh isu kesesakan, ia tidak boleh hanya diselesaikan oleh MOT sebab terdapat pelbagai bidang kuasa di luar kementerian seperti projek-projek pembinaan lebuh raya. Ia bukan di bawah MOT, ia di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR). Bagi pengurusan trafik, ia juga melibatkan polis trafik dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).
Oleh itu, apabila ada Jawatankuasa Kabinet ini, ia merangkumi pelbagai kementerian, agensi dan kita harap ia dapat memberikan satu fokus dan penyelesaian yang lebih baik kepada masalah kesesakan jalan raya.
SINAR HARIAN: Berkenaan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang mana konsesinya akan tamat tahun depan. Apa perkembangannya YB?
ANTHONY: Sebenarnya konsesi itu akan disambung, cuma bezanya ialah Puspakom tidak ada lagi hak eksklusif. Jika dahulu, mereka adalah satu-satunya syarikat yang boleh membawa, melaksanakan atau menjalankan pemeriksaan wajib.
Namun sekarang, kita ingin membuka industri tersebut kepada lebih banyak persaingan. Selain Puspakom, syarikat lain juga boleh menawarkan perkhidmatan yang sama.
MOT sekarang ini sedang membuat kerangka dan syarat-syarat yang akan dikenakan kepada mana-mana syarikat lain yang ingin melabur dalam sektor tersebut. Ia supaya ada saingan dalam sektor perkhidmatan itu.
Sebelum ini, suka atau tidak, jika ingin membuat pemeriksaan kenderaan, mesti pergi Puspakom. Jadi, perkara ini mendapat keluhan orang ramai kerana ia adalah satu monopoli. Jadi, kita tamatkan monopoli itu dan buka kepada persaingan.
Persaingan tersebut mesti disambut oleh pihak yang berminat. Syarikat yang bersaing perlu melabur dalam mesin, peralatan dan sebagainya untuk membuat pemeriksaan kenderaan.
Bagi kadar pula, ia dikawal oleh kerajaan. Kadar akan sama di setiap syarikat. Jadi, mereka hanya ada persaingan dari segi perkhidmatan iaitu siapa yang mampu tawarkan perkhidmatan lebih baik, lebih cepat dan sebagainya. Bukannya persaingan harga.
Sudah tentu ia akan membawa kepada keadaan yang lebih kompetitif dan kenderaan-kenderaan perdagangan termasuk lori, bas, e-hailing, teksi dan sebagainya ada pilihan.