MINGGU lalu khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sempena Hari Pahlawan mendefinisikan pahlawan sebagai orang yang gagah dan berani, pejuang atau perwira yang ditakuti.
Teks khutbah seterusnya memberi peringatan agar jasa para pahlawan negara seharusnya sentiasa dikenang dan dihargai kerana perjuangan dan pengorbanan mereka sama ada sebelum merdeka mahupun pascamerdeka.
Menyorot sejarah, perintah darurat dikuatkuasakan sejak tahun 1948 dalam usaha membendung kegiatan pengganas komunis yang cuba merampas kuasa secara revolusi bersenjata di Tanah Melayu.
Tarikh 31 Julai dipilih sebagai Hari Pahlawan bagi mengenang peristiwa bersejarah tahun 1960, apabila Yang di-Pertuan Agong ketika itu telah mengisytiharkan tamat darurat di Tanah Melayu.
Keesokan harinya, satu perbarisan kemenangan yang boleh dianggap paling besar dalam sejarah Tanah Melayu dan Malaysia telah diadakan. Kira-kira 6,000 pegawai dan anggota daripada semua pasukan bersenjata termasuk Home Guard dan bekas anggota polis khas, lima pasukan tempur tentera berserta 400 buah kenderaan dan 70 pesawat udara telah mengambil bahagian.
Pada awalnya acara tradisi ketenteraan seperti tiupan Last Post dan Rouse dan kalungan bunga yang merupakan tradisi kesinambungan ketenteraan penjajah dilakukan di hadapan tugu. Namun demikian acara-acara keagamaan seperti majlis bacaan doa selamat, Yasin, tahlil dan sebagainya juga diadakan di Masjid Negara.
Pada 2010, selaras nasihat Majlis Fatwa Kebangsaan, sambutan Hari Pahlawan tidak lagi diadakan di kawasan mempunyai patung manusia manakala upacara mengalungkan bunga dimansuhkan kerana kedua-duanya bertentangan dengan agama Islam.
Pasukan tentera dan polis berkorban bukan sahaja dalam menangani ancaman komunis tetapi juga serangan kuasa luar seperti yang berlaku ketika pencerobohan pasukan tentera Indonesia ketika terbentuknya Malaysia pada 1963.
Apa yang membimbangkan hari ini adalah sikap segelintir masyarakat yang tidak mahu ambil tahu mengenai jasa dan pengorbanan mereka yang berkorban nyawa atau membayar harga kehilangan anggota badan sebagai batu asas kepada keamanan yang mereka sendiri nikmati selama hari ini.
Mungkin ada yang tidak bersetuju, namun wabak ‘tidak mengenang budi’ atau tidak mahu ambil tahu ini amat parah di kalangan belia yang dikategorikan sebagai Generasi Z.
Walaupun tiada kata sepakat mengenai siapa yang tergolong dalam kumpulan generasi ini, pakar demografi dan penyelidik biasanya menggunakan tarikh kelahiran di antara tahun pertengahan 1990-an sehingga awal 2000-an.
Aspek penting yang terdapat pada generasi ini adalah penggunaan Internet secara meluas dari usia muda, selesa dalam penggunaan teknologi, berinteraksi melalui media sosial dengan menggunakan laman web untuk bersosialisasi selain sangat pantas dan cekap menggunakan peralatan digital.
Disebabkan interaksi digital global yang pantas serta tanpa sempadan serta nikmat keamanan panjang tanpa gangguan, pahlawan yang disanjung oleh sebahagian generasi Z bukan lagi mereka yang pernah berjuang memikul senjata di belantara negara, tetapi adalah seniman dan seniwati Korea, Eropah atau Amerika Syarikat.
Jika suatu masa dahulu penglipur di Tanah Melayu seperti Selampit, Tarik Selampit, Awang Batil dan Kaba menjadi pembawa mesej dan nasihat berguna kepada masyarakat umum, generasi Z menjadikan TikTok, Instagram, Twitter dan Facebook sebagai pembawa berita.
Malangnya apa yang didendangkan bukan lagi mesej penglipur, tetapi lebih kepada mengetengahkan perpecahan, umpatan, cacian dan mengeji. Memburukkan lagi keadaan adalah situasi politik tidak menentu yang sejak beberapa tahun kebelakangan dilihat amat membimbangkan.
Ini menyebabkan sifat Generasi Z menjadi lebih negatif, apa lagi apabila ada antara mereka turut menjadi Selampit moden yang lebih gemar menyebarkan berita palsu dan menjadi alat propaganda pihak berkepentingan dalam politik.
Sebagai kayu pengukur, berapa banyak hantaran yang memberi penghargaan kepada para pahlawan negara di Tiktok, Instagram, Facebook atau Twitter pada 31 Julai lalu berbanding kisah artis yang didendangkan oleh selampit Generasi Z?
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca