APABILA kita minum atau makan di restoran yang bukan berstatus kayangan di mana-mana di Lembah Klang atau bandar-bandar besar lain di negara ini, kita sering diganggu atau terganggu oleh dua situasi ini. Pertama, kehadiran peminta sedekah dan kedua, penjual pelbagai barangan yang tidak kita perlukan.
Kehadiran peminta sedekah itu pula dalam pelbagai ragam. Orang tua berpakaian lusuh membawa tempurung atau tin kosong dan orang buta yang dipimpin oleh orang celik yang menjual tisu sambil menunjukkan status mereka sebagai orang kurang upaya atau OKU yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Ada juga orang sihat yang berbadan sasa tanpa segan silu menjadi pengemis dengan menagih simpati khalayak dengan pelbagai cerita sedih yang entah betul entah tidak seperti mengadu baru kematian suami dan adik beradik, dihalau oleh keluarga, baru kehilangan pekerjaan dan lain-lain.
Penjual pelbagai produk itu pula ada yang menawarkan minyak wangi, permainan kanak-kanak, barang-barang makanan yang sudah siap dan mentah, set alat tulis, surah Yasin, muqaddam serta al-Quran dan pelbagai lagi.
Mungkin ada antara peminta sedekah itu tulen kerana kecacatan anggota fizikal mereka yang tidak membolehkan mereka mendapat pekerjaan seperti orang lain. Begitu juga dengan penjual barangan. Mungkin mereka baharu mula belajar untuk menjadi peniaga kecil-kecilan dan menjadikan penjualan bergerak sebagai satu permulaan.
Tetapi kita juga kerap kali diingatkan bahawa tidak mustahil mereka yang mengemis atau meminta sedekah itu juga merupakan pekerja profesional mana-mana sindiket yang mengupah mereka bagi mencari pendapatan untuk perniagaan mereka.
Pertama, ada orang yang berhati batu. Apabila berhadapan dengan pengemis dan peminta sedekah jalanan itu atau penjual barangan dari kedai ke kedai ini, orang jenis ini tidak mempedulikan mereka. Golongan ini bukan sahaja tidak bersimpati, malah ada yang sanggup mengeluarkan kata-kata kesat dan penghinaan terhadap pengemis dan penjual barang tadi.
Kedua, ada juga kalangan yang sinikal. Mereka akan mengatakan kehadiran pengemis yang dianggap sebagai sampah dalam masyarakat itu adalah bukti bahawa dasar-dasar kerajaan untuk memperkasa rakyat yang kurang bernasib baik, tidak sampai kepada sasarannya, menyebabkan ada segelintir yang terpaksa meminta ke sana sini untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pelbagai bantuan Rahmah yang disediakan oleh kerajaan bagi mereka adalah pembaziran sumber negara.
Ketiga, ada yang bersimpati dengan nasib sang peminta sedekah terutama kalau dalam kalangan pengemis sudah lanjut usia atau mengalami kecacatan fizikal sejak azali. Pengemis golongan itu biasanya segera mendapat perhatian kita. Kita akan kasihan dengan nasib mereka.
Kerana ada perasaan belas dan ihsan, tidak sukar untuk mereka menghulurkan sedekah seringgit dua atau berapa sahaja yang kita termampu. Niat mereka untuk menolong adalah ikhlas dengan harapan golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat berupaya meneruskan kehidupan harian mereka.
Kalangan ini berpendapat oleh kerana kehidupan kita lebih bernasib baik, berbanding mereka, kita ada tanggungjawab untuk menolong mereka.
Keempat, golongan ini bukan sahaja bersimpati tetapi berempati dengan golongan yang kurang bernasib dalam masyarakat itu. Golongan yang berempati ini tidak berkira sangat untuk menghulurkan sumbangan atau sedekah kepada pengemis atau membeli pelbagai barangan yang dijual sekalipun tidak diperlukan.
Hal ini kerana mereka yang mempunyai perasaan empati biasanya akan meletakkan diri mereka dalam keadaan si pengemis atau penjual barang tadi. Dengan itu mereka mempunyai keupayaan untuk memahami perasaan orang lain dan apa yang sedang mereka alami.
Dengan kata lain, perasaan empati adalah satu sifat mulia yang membolehkan kita menyelami perasaan orang lain, sama ada orang lain itu kita kenal dan rapat dengan kita atau orang asing yang tidak kenali dan bersedia menghulurkan bantuan.
Sudah tentu apabila berhadapan dengan gangguan-gangguan yang tidak diundang sewaktu kita makan atau minum di restoran, sikap kita terserah kepada kita untuk menentukannya sama ada ingin berhati batu, bersinikal, bersimpati atau berempati.
*Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.
Klik di sini untuk terus membaca