PENGUNDI masih belum menetapkan undian ketika ini dan hanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat tawaran yang diberikan oleh parti bagi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Pensyarah Sosiologi Politik di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, pengundi muda dan pengundi atas pagar diramal membuat keputusan saat akhir iaitu dua hari sebelum tarikh pengundian.
Menurut beliau, perkara sama turut dilakukan oleh pengundi tegar memandangkan corak pengundian tersebut telah berubah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
"Kalau dulu jelas pengundi tegar sokong parti kerana tahap kesetiaan tinggi. Tetapi sejak kebelakangan ini, mereka telah melakukan undi protes. Jadi, dalam tempoh berbaki, jentera parti perlu pastikan pengundi tegar ini kekal kembali menyokong dan tidak melakukan undi protes.
"Selalunya yang tegar dan pengundi muda ini dalam jangka masa tujuh hari kita sudah boleh baca sama ada mereka akan kekal protes, memilih calon atau sebaliknya membuat keputusan tidak mengeluar mengundi.
"Ini kerana ada sebahagiannya merupakan pengundi luar yang merasakan tidak perlu balik memandangkan di peringkat Persekutuan sudah diputuskan kerajaan. Jadi, mungkin rasa tidak perlu balik kerana mahu menggunakan masa itu untuk perkara lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Jelasnya, bagi pengundi tegar secara khusus mereka ingin lihat parti dokongannya kembali ke landasan betul berdasarkan ideologi politik manakala pengundi muda menginginkan agenda dibentang diberi keutamaan kepada belia.
Selain itu, menurut beliau, pengundi atas pagar pula mahukan kestabilan selain melihat cara-cara sesebuah parti menangani isu-isu tertentu secara rasional dan bukannya emosional.
"Sebahagian pengundi kita lihat akan terikat dengan nilai sentimen dan emosi iaitu isu tentang agama, etnik, Raja-Raja Melayu dimainkan. Ia juga mempengaruhi pengundi. Oleh itu, jentera perlu memainkan peranan terutama di sosial media.
"Jika minggu kedua atau tujuh hari terakhir ledakan dilakukan dengan menggunakan senjata tertentu untuk mengurus persepsi di alam maya, ia boleh mengubah pendirian semua kelompok pengundi.
"Sebelum penamaan calon, nampak seperti Perikatan Nasional (PN) menguasai media sosial, tetapi sekarang ini saya rasa persaingan PN dan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) hampir sama. Masing-masing luaskan penggunaan bukan sahaja Facebook dan Instagram, tetapi juga di Tik Tok,” ujarnya.
Dalam masa sama, Sivamurugan berkata, perbalahan dalaman sehingga menyebabkan akar umbi kecewa dengan parti juga menjadi faktor pengundi beri sokongan kepada pihak lain.
"Selain itu, pengundi juga mahu calon atau parti bukan sekadar main isu berkaitan kos sara hidup, banjir, air, pendidikan atau peluang pekerjaan, mereka mahu isu lain juga,” katanya.