SERANG-menyerang antara parti-parti politik semakin rancak sebaik sahaja kempen pilihan raya negeri (PRN) bermula secara rasmi pada Sabtu lalu.
Kempen secara agresif sarat dengan pelbagai isu dibangkitkan oleh parti-parti yang masuk bertanding.
Tetapi ironinya, kempen yang dijalankan seolah-olah hendak memilih kerajaan Persekutuan.
Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dilihat lebih banyak menekankan tentang usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Sementara Perikatan Nasional (PN) lebih banyak menyentuh tentang isu-isu bangsa dan agama serta kritikan terhadap dasar ekonomi kerajaan.
Pada kebiasaannya isu-isu negeri akan mendominasi pilihan raya diperingkat negeri, tetapi situasi sekarang berubah menjadi isu nasional.
Cuma uniknya kali ini PH tag team dengan BN dan PN masih mengekalkan team lama. Sudah jadi macam versi wrestling pula.
Jadi sesiapa yang bakal jadi kerajaan menjelang PRU16 nanti kena fikir balik sama ada mahu PRN dan PRU dipisahkan seperti yang berlaku sekarang atau dikembalikan seperti dahulu.
Jadi, buat masa sekarang kita nikmati terlebih dahulu PRN versi PRU-15 2.0 ini sehingga selesai dan tunggu keputusan yang akan dibuat oleh rakyat menjelang hari pengundian pada 12 Ogos nanti.
Selepas itu, kita akan kembali ke pusingan seterusnya perlawanan di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram di Johor.
Kekosongan dua kerusi ini berikutan pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddian Ayub.
Silap tak silap pilihan raya kecil (PRK) itu nanti akan jadi medan PRU15 versi 3.0. Begitulah politik di Malaysia.