"KALAU saya dapat duit itu nanti, saya akan simpan separuh. 10 peratus saya akan bagi pada emak, 20 peratus untuk modal berniaga kecil-kecilan, 10 peratus untuk bayar ansuran dan bil-bil tertunggak.
"Baki yang 10 peratus itu sahaja akan saya guna untuk perbelanjaan keluarga. Itu pun dua pertiga daripadanya untuk isteri dan anak-anak.”
Berapa kali dalam hidup anda mendengar kata-kata seperti di atas atau yang seakan-akan dengannya? Mungkin sekali dua, mungkin juga tidak terhitung.
Kita semua tahu ayat seperti itu lazimnya keluar daripada mulut seseorang yang menanti ‘kehadiran’ sejumlah wang yang merupakan tambahan kepada pendapatan sebenar.
Tidak kiralah sama ada ia hasil agihan pusaka, hasil jual tanah, hasil pampasan insurans, bonus daripada majikan atau mungkin duit loteri.
Ayat di atas mungkin berubah mengikut keadaan dan mengikut jumlah amaun diterima. Senarai agihan akan menjadi lebih panjang jika amaunnya besar dan sebaliknya jika jumlah itu agak kecil.
Namun, ia tetap berteraskan satu perkara yang sama – perancangan kewangan ideal.
Memang benar, perancangan seperti itu tidak terbatas pada wang yang bersifat ‘durian runtuh’ dan seumpamanya sahaja. Dalam kehidupan sehari-hari pun kita membuat perancangan sama – bekerja makan gaji, berkebun, bertani, berniaga atau ber‘apa’ pun juga.
Kita lazimnya sudah bersedia dengan campur bahagi darab tentang bagaimana wang itu akan dibelanjakan sebelum ia sampai ke tangan kita.
Malah, ada juga kes seseorang itu bukan sahaja merancang kewangannya sendiri tetapi juga kewangan orang lain. "Nanti bila dapat duit itu, jangan lupa bagi saya (maka disebutnya sekian-sekian amaun).” Ayat itu mungkin datang daripada kawan, suami, isteri atau anak.
Bagaimanapun, untuk artikel ini saya akan abaikan mengenai perancangan kewangan harian atau bulanan. Fokus saya adalah ‘wang tambahan’, wang yang sebenarnya kalau tiada pun kita tidak akan mati kebuluran kerana kita memang telah mempunyai pendapatan lain.
‘Wang tambahan’ itu sepatutnya menjadikan hidup kita lebih baik daripada biasa. Tiada kira berapa jumlahnya, ia adalah suntikan yang boleh disifatkan sebagai penawar kepada kehidupan. Ia membantu meringankan beban dan memberi semangat baharu untuk kita bergerak lebih ke hadapan.
Malangnya perkara itu jarang berlaku. Bertanyalah kepada mereka yang mendapat bonus tahunan, berapa peratus daripada jumlah bonus itu yang dapat disimpan? Saya tidak tahu kawan-kawan anda tetapi kebanyakan kawan saya bukan sahaja tidak menjawab soalan itu tetapi akan mula meratib menyalahkan semua benda di atas muka bumi ini jika bertanya mengenainya.
Perkara sama berlaku terhadap semua bentuk wang tambahan. Sebelum dapat, perancangan bagaimana ia akan dibelanjakan lazimnya tersusun rapi. Ada yang lengkap dengan diagramnya tetapi sebaik sahaja wang di tangan atau masuk ke akaun, segala-galanya berubah.
Ia mungkin bermula dengan cara berdikit, misalnya bajet hendak simpan separuh diturunkan kepada suku, bajet untuk emak 10 peratus direndahkan kepada lima peratus.
Pada masa sama, keinginan demi keinginan mula menyerbu. Apatah lagi bagi mereka yang terdedah dengan pengaruh sekeliling. Kalau dahulu terpengaruh dengan jiran, sekarang terpengaruh dengan influencer.
Orang itu makan di kayangan, kita juga makan di kayangan. Dia melancong, kita melancong. Dia pakai baju fesyen Korea terkini, kita pun pakai walaupun jauh nampak macam tepung gomak dibalut kulit pisang.
Macam influencer juga, kita tayang-tayang semua itu di laman sosial. Kita bangga. Seronok dengan tanda suka dan komen memuji walaupun pujian itu belum tentu ikhlas.
Tamak juga selalunya mula datang. Pantang nampak peluang membuat duit, selalunya tanpa perlu bekerja, tergedik-gediklah hati ikut melabur. Maka, bajet sedia ada dipinda dan diubah suai lagi. Waktu itu lima peratus untuk emak mungkin telah tiada!
Ada banyak lagi faktor menjadi penyebab kita melanggar perancangan kewangan sendiri. Selagi wang tambahan itu masih ada, selagi itu kita akan mencipta alasan untuk membelanjakannya. Kita justifikasikan alasan itu dengan bermacam-macam cara. Selalunya yang terakhir ialah ‘rezeki itu urusan ALLAH SWT’.
Saya percaya jika semua orang berpegang teguh pada perancangan kewangan masing-masing, dunia ini telah lama bebas daripada kemiskinan. Tidak akan ada orang yang kayap sebelum kaya. Tidak ada juga tampak kaya tetapi miskin.
Tetapi masalahnya, kalau mereka tiada, pakar motivasi kewangan hendak buat kerja apa? Ahli politik pula hendak berjuang untuk siapa?...#dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca