NETIZEN kini tidak seronok untuk ‘berkicau’ apabila baru-baru ini, Elon Musk mengubah logo Twitter daripada seekor burung biru kepada abjad X. Beliau yang membeli syarikat Twitter pada Oktober 2022 mengubah logo burung biru kerana... Klik di sini untuk terus membaca

NETIZEN kini tidak seronok untuk ‘berkicau’ apabila baru-baru ini, Elon Musk mengubah logo Twitter daripada seekor burung biru kepada abjad X.

Beliau yang membeli syarikat Twitter pada Oktober 2022 mengubah logo burung biru kerana mempunyai impian lebih besar iaitu mencipta sebuah super application melalui Twitter.

Aplikasi serba mampu itu diharap akan membolehkan pelanggannya bermesej, bersosial, membuat transaksi bayaran dan berurusan dalam e-dagang. Impian tersebut bukannya sesuatu yang baharu.

Di China, WeChat ialah super application yang sudah berjaya memperoleh lebih 1.7 bilion pelanggan. Twitter pula hanya mempunyai 350 juta pelanggan pada hari ini. Perjalanan Twitter terlalu jauh.

Apatah lagi, jumlah pelanggannya dijangkakan kian merosot lebih lima peratus pada 2024.

Dikatakan, pengguna Twitter sudah tawar hati dengan media sosial itu kerana sikap Musk yang suka meredah dalam tindakannya untuk berubah, seolah-olah tidak peduli sentimen khalayak ramai.

Manusia mempunyai perangai pelik. Mereka akan jemu pada sesuatu yang tidak berubah lalu meninggalkannya. Namun, apabila sesuatu itu berubah, mereka tidak boleh menerima perubahan lalu meninggalkannya juga. Justeru, apakah perubahan itu untuk kebaikan atau keburukan, keuntungan atau kerugian?

Sebagai contoh, mari kita lihat perubahan dalam landskap politik tanah air. Gabungan parti Bersatu, Pas dan Gerakan yang dijenamakan sebagai Perikatan Nasional (PN) cuba dipalit dengan imej kesangsian kerana dikatakan membawa gelombang hijau, kononnya akan mengakibatkan amalan Islam lebih ekstrem apabila mereka memerintah negara.

Pada masa sama, perubahan UMNO yang bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) digambarkan sebagai gabungan parti berseteru yang tidak mungkin sepakat memerintah negara.

Dalam sebuah jabatan misalnya, perubahan kedudukan rakan sekerja bernama Jamil yang dinaikkan pangkat, kini menjadi ketua kepada rakan-rakannya. Perubahan tersebut sukar diterima pada peringkat awal.

Bagaimana pula misalnya dengan Jamilah pada hari ini bertudung, sedangkan semalam asyik menayangkan rambut yang diperangkan? Perubahan dia juga sukar diterima.

Kita sebagai orang yang berdepan dengan apa juga perubahan akan berasa tidak selesa. Pertama sekali ia berpunca kerana kita akan kekok memberi reaksi terhadap apa juga yang baharu.

Membeli kasut baharu adalah perubahan yang kita ingini, namun kita tetap kurang selesa pada hari pertama memakainya walaupun ia cantik dan berergonomik.

Betapa pun, perubahan yang berlaku di sekeliling itu memerlukan masa untuk kita menyesuaikan diri. Lain orang, lain beza masa diperlukan untuk selesa dengan perubahan itu. Perubahan dari luar itu wajib kita terima kerana ia menjejaskan kita. Jika tidak, kita harus meninggalkan sesiapa atau apa yang berubah.

Bagaimana pula apabila kita yang menjadi objek perubahan? Kita yang berubah sama ada dari segi penampilan, pemikiran dan pendirian itu juga perlu mengambil masa iaitu tempoh kita memberi peluang kepada orang lain menerima kita yang sudah berubah.

Kita yang berubah harus kental bertahan dengan mereka terkesan dengan perubahan kita bawa itu. Apabila kita tahu mengapa kita mahu berubah, mempunyai niat dan iltizam, maka kita akan dapat beristiqamah dengan tindakan tersebut. Kita tidak akan goyang dengan apa orang lain kata, malah ampuh mempertahankan perubahan tersebut.

Yang penting, perubahan itu bukan penamat kepada perubahan yang kita lakukan. Esok, bulan depan atau tahun depan, kita akan berubah dan berubah lagi. Itulah dinamika minda harus menjadi anutan seseorang yang ingin terus memperbaiki diri dengan perubahan.

Tetapi seandainya kita berasa diri sudah baik dan tidak mahu berubah, ketahuilah bahawa sebahagian besar di sekeliling kita sentiasa berubah.

Jika kita duduk diam dalam zon selesa, kita akan ditenggelami oleh arus perubahan. Tatkala itu, kita sebenarnya dipaksa oleh perubahan itu sendiri.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca