CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berusaha membawa lebih banyak pembangunan di kawasan itu selain memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat. Ikuti wawancara wartawan Sinar... Klik di sini untuk terus membaca

CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berusaha membawa lebih banyak pembangunan di kawasan itu selain memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Mohd Izzatul Izuan Tahir bersama Rizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam.

SINAR HARIAN: Apakah pendekatan digunakan bagi menarik sokongan rakyat di DUN Sungai Air Tawar?

RIZAM: Saya menggunakan pendekatan secara tradisi iaitu mendekati masyarakat melalui sembang santai bersama mereka di warung atau kedai makan.

Melalui kempen bersemuka itu saya dapat bertemu dengan masyarakat kerana komuniti di sini memerlukan ahli politik bersifat khidmat bakti berbanding di kawasan pekan mungkin jarang turun tetapi perhubungannya dalam bentuk lain.

Di luar bandar ini, politik khidmat bakti masih diperlukan sebab kebiasaannya memang permintaan mereka adalah calon daripada warga tempatan yang mereka mudah kenali dan faham landskap masyarakat dan budaya di sini.

SINAR HARIAN: Apakah perancangan pembangunan masa depan kawasan ini?

RIZAM: Saya ingin memperkasa pembangunan ekonomi dengan menjadikan DUN Sungai Air Tawar sebagai kawasan pelancongan bagi mengekalkan budaya unik dengan adanya kepelbagaian etnik Jawa, Banjar dan Kampar.

Hujung minggu kawasan ini sesak dengan kehadiran orang luar yang berkunjung ke sini terutama mereka yang singgah menziarahi anak di Politeknik Sultan Idris Shah, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam dan Institut Perakaunan Negara (IPN).

Saya berpandangan amat penting diwujudkan inap desa dan kegiatan ekonomi lain yang dapat merancakkan lagi pendapatan penduduk setempat.

SINAR HARIAN: Adakah kemudahan prasarana di kawasan ini sudah mencukupi?

RIZAM: Masih banyak lagi kemudahan yang perlu diusahakan dan ditambah baik terutama dari segi soal keselamatan dan kesihatan.

Saya merancang untuk mewujudkan kemudahan balai bomba dan menyediakan klinik kesihatan baharu yang serba lengkap terutama di kawasan Parit Baru.

Misalnya balai bomba paling dekat ketika ini berada 30 kilometer dan memakan masa lama untuk menghulurkan sebarang bantuan terutama melibatkan kes kebakaran dan sebagainya.

Begitu juga dengan kesihatan apabila Hospital Sabak Bernam terletak jauh dari Pekan Parit Baru dan kawasan sekitarnya yang menyukarkan orang ramai mendapatkan rawatan kecemasan.

Pandangan mengenai cadangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk bina jajaran rel melibatkan daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam?Ini satu perkembangan baik.

Kita tahu di Selangor ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi kerana di negeri ini menjadi nadi dan tunjang ekonomi di Semenanjung dan juga negara.

Kalau (pembinaan) rel ini sampai ke Sabak Bernam saya rasa ia akan memudahkan hubungan penduduk di sini dan juga ke bandar.

Ramai anak muda bekerja di Lembah Klang tetapi menetap di Sabak Bernam. Kalau kita tengok hujung minggu jalan penuh sesak lebih-lebih lagi di Tanjong Karang dan Kuala Selangor.

Jika ada rel ini ia akan memudahkan hubungan antara masyarakat di sana dan di sini serta dalam masa sama ekonomi dapat berkembang dengan baik.

SINAR HARIAN: Bagaimana kemajuan projek Jambatan kedua menghubungkan Sungai Air Tawar, Selangor ke Hutan Melintang, Perak setakat ini?

RIZAM: Jambatan ini kita telah perjuangan sekian lama dan Alhamdulillah ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Jambatan ini penting bagi menghubungkan Bagan Datuk di Perak dan Sungai Air Tawar, Selangor sekali gus memudahkan hubungan antara dua kawasan ini.

Kita harap pelawat yang datang ke Bagan Datuk boleh singgah ke Sungai Air Tawar untuk merasai keindahan kampung tradisi di sini.

Klik di sini untuk terus membaca