MEMBERI keselesaan dalam beriadah selain meningkatkan ekonomi terutama kepada golongan muda antara keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Mohammed Firdaus Johari. Ikuti wawancara wartawan Sinar... Klik di sini untuk terus membaca

MEMBERI keselesaan dalam beriadah selain meningkatkan ekonomi terutama kepada golongan muda antara keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Mohammed Firdaus Johari.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Siti Zubaidah Zakaraya bersama Mohammed Firdaus yang juga mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah.

SINAR HARIAN: Sebagai muka baharu, apakah perancangan di kawasan DUN Gurun?

MOHAMMED FIRDAUS: Manifesto yang saya tekankan ialah menyediakan kemudahan sukan yang selesa kepada umum agar mudah untuk beriadah.

Selain itu, saya juga nak tekankan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Kebanyakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan sambung ijazah atau diploma tetapi ada juga pelajar yang memerlukan sijil profesional dalam bidang kemahiran.

Sekarang ini kerajaan sedang menawarkan program TVET Madani dalam memperkukuhkan ilmu kemahiran termasuk sijil TVET profesional.

SINAR HARIAN: Apa perkara pertama yang akan dilaksanakan sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat?

MOHAMMED FIRDAUS: Memastikan keperluan asas di DUN Gurun dipenuhi, yang pertama kebajikan rakyat diteruskan seperti biasa iaitu politik khidmat dan kedua saya nak melihat kepada isu yang agak besar iaitu isu air.

Isu ini sering menghantui penduduk Gurun khususnya Taman Murni dan beberapa lokasi lain yang sering terjejas.

Kalau kita tengok di kawasan tadahan dan empangan juga ada masalah air terutama bila hujan di kebanyakan tempat, bekalan air terputus.

SINAR HARIAN: Bagaimana pendekatan diambil bagi menawan pengundi muda?

MOHAMMED FIRDAUS: Segala manifesto yang dirancang mempunyai kaitan dengan belia atau pengundi muda yang mana kita mahu membawa belia ke arah meningkatkan ekonomi agar mereka mempunyai pendapatan.

Apabila keadaan ekonomi lebih baik, taraf hidup meningkat, keluarga mereka juga akan menjadi baik sekali gus mewujudkan persekitaran yang harmoni.

SINAR HARIAN: Mengapa pengundi perlu memilih anda sebagai wakil rakyat?

MOHAMMED FIRDAUS: Saya mempunyai pengalaman dalam bidang politik kerana berkhidmat hampir lapan hingga sembilan tahun terutama di DUN Gurun. Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) saya telah berada di sini.

Mohammed Firdaus meninjau keadaan gelanggang futsal di Keda Sungai Tok Pawang dalam usaha meningkatkan kemudahan sukan di kawasan DUN Gurun.

Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, berada di belakang tabir sebagai Pegawai Pusat Khidmat dan selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Tan Sri Johari Abdul dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat, saya menjadi Penyelaras DUN Gurun, santuni tanpa henti sebagai indikasi, anak muda dan pengundi boleh lihat gerak kerja yang saya lakukan sebelum ini.

SINAR HARIAN: Mengapa pentingnya setiap warganegara yang layak perlu keluar mengundi 12 Ogos nanti?

MOHAMMED FIRDAUS: Wajib. Semua pengundi termasuk di luar (kawasan) perlu mengambil tanggungjawab ini yang hanya ada dalam tempoh lima tahun sekali, pengundi bagi kerusi Parlimen telah melaksanakan tugas memilih dengan baik, kali ini pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri merupakan tanggungjawab setiap pengundi yang layak untuk keluar mengundi kerana ini akan menentukan nasib rakyat selama lima tahun.

Saya merayu kepada semua terutama di Kedah laksana tanggungjawab ini agar dapat memastikan kerajaan yang dilantik selari dengan kerajaan pusat agar manfaat program atau inisiatif yang dilaksanakan dapat dirasai seluruh rakyat Kedah.

Klik di sini untuk terus membaca