SHAH ALAM - Pucuk pimpinan parti disaran memberi kerusi selamat kepada calon wanita pada pilihan raya nanti agar memperkasakan penglibatan mereka di arena politik. Ketua Wanita DAP Pulau Pinang merangkap calon Dewan Undangan Negeri (DUN)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pucuk pimpinan parti disaran memberi kerusi selamat kepada calon wanita pada pilihan raya nanti agar memperkasakan penglibatan mereka di arena politik.

Ketua Wanita DAP Pulau Pinang merangkap calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata, galakan itu sebagai langkah untuk mencapai sasaran 30 peratus golongan wanita dalam kerajaan.

"Saya setuju sekiranya parti memberikan kerusi yang lebih selamat untuk wanita jika calon itu sesuai bertanding di kawasan tersebut. Bila calon itu menang, ia akan memberi galakan kepada wanita lain untuk bertanding.

Siew Khim
Siew Khim

"Mereka akan lebih berkeyakinan kerana ia peluang cerah untuk menyertai bidang politik,” katanya kepada Sinar Premium.

Mengulas lanjut kerusi selamat yang wajar diberi kepada calon wanita, Siew Khim berkata, ia perlu mengikut kesesuaian demografi kawasan ditandingi.

"Sekiranya kita lihat kerusi DUN Seri Delima, ia tempat ramai warga emas yang sudah bersara tinggal di sana. Oleh itu, mereka lebih cenderung kepada calon yang mesra dan ramah seperti golongan wanita.

"Berdasarkan pengalaman sendiri, saya dicalonkan di DUN Sungai Pinang kerana kawasan itu mempunyai ramai golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal. Mereka lebih mudah bergaul dengan seorang wakil rakyat wanita,” jelasnya.

Bekas ADUN Sungai Pinang selama dua penggal itu tidak menafikan konstruksi sosial terhadap wanita dalam politik masih tabu.

"Dengan keadaan politik Malaysia yang tidak stabil, segelintir wanita melihat bidang ini bukanlah ‘permainan’ mereka.

"Tidak dinafikan, wujud sidang dan pelbagai platform untuk memperkasa wanita dalam politik bagi mereka yang ingin membawa perubahan pada negara tetapi ia memerlukan masa,” katanya.

Penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) kali ini mencatatkan hanya 71 wanita daripada 570 calon bertanding bagi merebut 245 kerusi DUN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

Calon wanita paling ramai dari Selangor iaitu 27 orang diikuti Kedah (14), Pulau Pinang (12), Kelantan (8), Negeri Sembilan (8) dan Terengganu dengan dua orang.

Parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) meletakkan seramai 26 calon wanita, manakala Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 12 orang.

Bagi gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN), seramai 19 wanita dipertaruhkan, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang membuat keputusan bergerak solo pada PRN kali ini, mengetengahkan 10 calon wanita.

Parti Rakyat Malaysia (PRM) turut mempertaruhkan dua calon wanita, manakala masing-masing seorang daripada Parti Sosialis Malaysia dan Bebas.

Mampu jadi ketua

Timbalan Ketua Parlimen Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Bandar Tun Razak, Lisa Redzuan berkata, Malaysia mempunyai ramai pemimpin wanita yang berwibawa dan mampu memastikan ekonomi serta kesejahteraan negara.

Lisa (tiga, kanan) ketika menyerahkan borang penamaan calon bagi N21 Pandah Indah di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Pandan Indah pada Sabtu lepas.
Lisa (tiga, kanan) ketika menyerahkan borang penamaan calon bagi N21 Pandah Indah di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Pandan Indah pada Sabtu lepas.
Lisa (tiga, kanan) ketika menyerahkan borang penamaan calon bagi N21 Pandah Indah di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Pandan Indah pada Sabtu lepas.

"Malaysia mempunyai ramai pemimpin wanita berkebolehan seperti bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang sangat aktif sebagai menteri biarpun berbadan dua. Ini menepis dakwaan bahawa wanita tidak mampu menjadi ketua.

"Saya percaya bukan wanita yang tidak mampu tetapi mereka tidak diberikan hak untuk bertanding dan menjadi pemimpin.

"Sebagai calon di DUN Pandan Indah, saya ingin membuka mata semua bahawa wanita layak bertanding dan mampu menjadikan negara ini lebih baik untuk anak bangsa,” jelasnya.

Sementara itu, calon DUN Bukit Kayu Hitam daripada PN, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berpendapat, terdapat beberapa kawasan yang lebih sesuai menjadikan wanita sebagai pendorong dan bukan memimpin di barisan hadapan.

Halimaton Shaadiah
Halimaton Shaadiah
Halimaton Shaadiah

"Di Kedah, kita mempunyai 36 DUN dan lima daripadanya diberikan kuota untuk wanita. Untuk melayakkan seseorang itu dicalonkan, mereka perlu ada pengalaman dalam parti dan berkhidmat untuk rakyat.

"Namun, ia bergantung kepada kawasan. Contohnya, biarpun ramai calon wanita hebat di Sik, terdapat tokoh yang lebih baik diangkat sebagai pemimpin. Demografinya turut terletak di kawasan pedalaman yang lebih sesuai untuk lelaki,” katanya.

Ketua Bersatu Bahagian Kubang Pasu itu berkata, calon wanita lebih sesuai diletakkan di kawasan pekan supaya dapat berkhidmat dengan baik.

"Contohnya di Sungai Petani, Alor Setar, Alor Mengkudu dan Ayer Hangat di Kedah,” katanya.

Selain itu, ujarnya perjuangan 30 peratus kuota wanita dalam Parlimen perlu dipertahankan.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Klik di sini untuk terus membaca