NEW YORK - New York City yang dibina oleh pendatang dan pernah menjadi pintu masuk ke Amerika Syarikat (AS) melalui Pulau Ellis sudah penuh, kata Datuk Bandar, Eric Adams.
Namun pencari suaka yang mencari kehidupan lebih baik di bandar dengan julukan Big Apple itu terus tiba tanpa henti.
Sejak awal minggu ini, puluhan pencari suaka terutamanya dari Afrika Barat telah tidur di kawasan kaki lima di luar sebuah hotel di Manhattan sementara menunggu borang permohonan mereka diproses.
Jumlah ketibaan pencari suaka semakin meningkat di New York City, kira-kira dua minggu selepas Adams memaklumkan bahawa bandar raya berkenaan sudah kehabisan ruang untuk menampung golongan tersebut.
Pada Isnin lalu, Adams sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa New York City sudah penuh.
"Tiada lagi ruang dan jika ia berterusan situasi akan bertambah buruk," katanya.
Kenyataan Adams pada akhir Julai lalu yang menggesa pencari suaka dipindahkan ke bandar lain mencetuskan rasa kurang senang aktivis hak asasi.
Adams turut dituduh melanggar undang-undang dan mengkhianati semangat New York City seperti dilambangkan Patung Liberty yang sejak sekian lama mengalu-alukan ketibaan baharu pendatang melalui laut.
Abdoullahi Diallo adalah antara pencari suaka yang menunggu di luar Hotel Roosevelt pada Selasa selepas melakukan perjalanan selama dua minggu dari negara asalnya Mauritania.
Lelaki berusia 25 tahun itu menempuh perjalanan dari Turkiye kemudian Nicaragua sebelum menyeberangi sempadan Mexico untuk masuk ke AS.
Katanya, perjalanan tersebut menelan kos sebanyak AS$8,000 (RM36,363) dan melakukannya demi mencari 'demokrasi' dan 'penghormatan'.
Selain Abdoullahi, pencari suaka lain yang mahu berlindung di New York City adalah dari Senegal.
Ada dalam kalangan pencari suaka tersebut mendakwa terpaksa tidur di atas kadbod di kaki lima selama lima hari sementara menunggu untuk ditempatkan ke pusat bantuan kemanusiaan.
Sejak April tahun lalu, lebih 93,000 pencari suaka kebanyakannya dari Amerika Tengah dan Selatan, telah tiba di New York City yang diwajibkan oleh undang-undang untuk menawarkan perumahan percuma kepada sesiapa yang memintanya.
Ketibaan itu berlaku apabila negeri dikuasai Republikan seperti Texas telah mengangkut pencari suaka ke kawasan yang dikendalikan oleh Demokrat untuk membantah dasar imigresen Presiden Joe Biden.
Bagi menampung pencari suaka, New York City juga memberi kontrak kepada 42 hotel sebagai pusat perlindungan kecemasan dengan satu pusat kecemasan kemanusiaan.
Menurut pegawai, hampir 106,000 orang, termasuk kira-kira 54,000 pendatang kini dalam jagaan New York City, sama ada di tempat perlindungan atau hotel.
Bulan lalu, Adams mengumumkan bahawa pihak berkuasa akan mengedarkan risalah di sempadan AS-Mexico dengan mengatakan tiada jaminan pencari suaka akan menerima perlindungan di New York City dan mereka harus mempertimbangkan bandar lain.
New York City telah lama menjadi bandar perlindungan bagi pencari suaka tetapi Adams, seorang pemimpin Demokrat telah beransur-ansur cuba menyekat bilangan pendatang baharu.
Pentadbirannya kini memberi keutamaan kepada keluarga yang mempunyai anak kecil apabila memberikan perumahan percuma, manakala lelaki bujang perlu memohon semula untuk mendapatkan perlindungan selepas 60 hari. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca