SEBAIK dimaklumkan mengenai kejadian mendapan tanah di Kilometer 66.1 berhampiran Plaza Tol Bentong, Pahang pada malam 25 Julai lalu, perkara pertama yang saya fikirkan ialah, Ada mangsa atau tidak? Apabila pegawai mengesahkan tiada... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAIK dimaklumkan mengenai kejadian mendapan tanah di Kilometer 66.1 berhampiran Plaza Tol Bentong, Pahang pada malam 25 Julai lalu, perkara pertama yang saya fikirkan ialah, Ada mangsa atau tidak?

Apabila pegawai mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan, barulah degupan jantung saya kembali reda. Itu antara perkara yang amat saya bimbangkan − kerosakan jalan raya yang mengorbankan nyawa.

Laporan awal pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mendapati tanah mendap itu berpunca daripada runtuhan terowong dua laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berada 13 meter di bawah laluan menyebabkan tanah mendap seluas 9.5 meter (m) lebar x 10 m panjang x 4.3 (m).

Sebagai menteri bertanggungjawab, kerosakan jalan raya amat menggusarkan saya. Ketika mendapan jalan seperti yang berlaku tempoh hari, mudah dikesan untuk dibaiki, ia berbeza dengan lubang atau potholes dan retak kecil di jalan.

Mengapa menteri perlu memikirkan isu lubang jalan? Kerana masalah kecil atau besar, ia berhak mendapat perhatian dan penyelesaian sama rata.

Lubang jalan berpunca daripada lapisan bawah tanah yang menjadi lembut akibat air berlebihan dan tekanan daripada kenderaan yang melaluinya saban hari akan menyebabkan permukaan jalan retak atau mendap. Kaedah penurapan jalan yang tidak betul juga boleh menyumbang kepada kerosakan.

Jumlah hujan yang tinggi secara berterusan dan sistem perparitan tidak teratur juga boleh meleraikan ikatan aspal. Apabila permukaan jalan menerima bebanan berterusan daripada kenderaan dalam kesesakan, lubang jalan akan terbentuk, bermula dengan saiz kecil hingga melarat menjadi besar jika tidak diturap dari awal.

Punca

Data kajian menunjukkan, lubang jalan kerap berlaku ketika negara menerima taburan hujan tinggi terutama April, Julai, November dan Disember.

Ini menyebabkan pemanduan menjadi lebih mencabar dan kenderaan bergerak perlahan ketika hujan lebat.

Lubang atau keretakan jalan sukar dikesan kerana dipenuhi air, sekali gus mewujudkan risiko luar jangka kepada kenderaan.

Keadaan itu menjadi antara pertimbangan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk memastikan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal berasa selamat di jalan raya tanpa mengira cuaca.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi pendedahan statistiknya sebelum ini menyatakan, 70 peratus daripada lubang jalan dan kerosakan jalan raya di negara ini berpunca daripada projek pembinaan, terutama pihak yang melakukan kerja syarikat utiliti dan pembangunan.

Saya pernah memberi amaran kepada syarikat utiliti untuk mengambil berat aspek penurapan dan baik pulih jalan raya selepas kerja mengorek bagi penyelenggaraan utiliti.

Besar atau kecil projek mereka, syarikat berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan spesifikasi penurapan jalan bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.

Kaji selidik Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada 2018 meletakkan Malaysia di tangga ke-20 teratas daripada 114 negara dan dalam kalangan beberapa negara Asia yang tersenarai dari segi kualiti jalan terbaik.

Bagaimanapun, kajian firma pendidikan pemandu, Zutobi pada 2019 yang menganalisis 59 negara mendapati, skor keselamatan menyeluruh Malaysia ialah 3.32 daripada 10 berdasarkan mutu jalan raya, kualiti pembaikan, angka kematian dan saiz relatif rangkaian jalan raya.

Penat elak lubang

Saya juga pengguna jalan raya dan bergerak ke segenap pelosok tanah air atas tuntutan tugas.

Setiap kali ke bandar, kampung dan luar bandar, seberapa boleh saya gunakan jalan darat kerana mahu melihat sendiri kemajuan dan kekurangan yang ada. Itu cara saya.

Mutu jalan raya di Semenanjung secara keseluruhannya baik dan selesa dilalui, namun sesekali kenderaan yang saya naiki terhentak juga apabila terlanggar lubang jalan yang sukar dikesan.

Pernah juga kami ‘melambung’ dalam kenderaan kerana ada bonggol dibuat sendiri oleh penduduk setempat sebagai langkah keselamatan.

Banyak lagi ruang perlu diperbaiki. Saya kerap mendengar rungutan penunggang motosikal terpaksa mengelak lubang di sana sini sepanjang laluan yang dikhususkan buat mereka. Ia membuatkan ada yang curi-curi menggadai nyawa menggunakan jalan besar di lebuh raya kerana penat mengelak lubang di jalan.

Andai kata penunggang motosikal terjatuh dan cedera atau lebih parah, meninggal dunia dilanggar kenderaan lain hanya kerana mengelak atau terlanggar lubang jalan sebesar tapak tangan, pasti ramai menuding jari ke arah KKR.

Sama juga penunggang basikal yang kadangkala gagal mengawal kayuhan ketika mengelak lubang sebelum terdampar dengan luka tersagat jalan.

Itu pernah berlaku ke atas seorang bekas menteri menyebabkan lubang jalan berkenaan dibaiki serta-merta selepas kisahnya tersebar di media sosial.

Masyarakat bertanya, apakah lubang jalan hanya diturap segera kerana menteri yang jatuh? Tidak.

KKR bertekad mahu mengikis persepsi ‘antara dua darjat’ dan meyakinkan rakyat, jalan raya yang digunakan saban hari adalah milik bersama.

Perlu ada semangat kekitaan dalam menjaga dan menjadikan kemudahan itu sebagai entiti yang perlu sempurna sepanjang masa.

Tingkat kesedaran

KKR mahu mencari penyelesaian tuntas dan mengajak semua pengguna jalan raya bersama menerajui agenda ini.

Advokat menyeluruh perlu dilaksanakan bukan sahaja buat pengguna jalan raya, malah kepada setiap pemegang taruh dan pemain industri, dan ini mesti digerakkan bagi meningkatkan kesedaran akan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan keadaan jalan raya yang baik dan selamat.

Lubang jalan sebesar tapak tangan boleh melebar dalam tempoh singkat jika tiada tindakan diambil. Nahas boleh berlaku dan mungkin hingga kehilangan nyawa. Ia akan mencetuskan kesan domino yang boleh dielak jika lubang jalan diturap segera.

Menurut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), faktor paling kritikal menyumbang kepada nahas jalan raya ialah kecuaian pemandu (80.6 peratus), keadaan jalan raya dan persekitaran (13.2 peratus) dan keadaan kenderaan (6.2 peratus).

Nahas motosikal yang mengorbankan banyak nyawa disebabkan laluan rosak seperti permukaan retak dan lubang jalan.

KKR meneliti segala fakta itu dan tidak boleh menutup sebelah mata atau bersikap ‘dulu lain, sekarang lain’. Kalau pun berbeza, biarlah ia lebih kepada sesuatu yang positif dan memanfaatkan rakyat.

Tindakan pantas KKR yang bertindak menurap mendapan tanah yang berlaku.

Saya akan kerap melakukan spot check tanpamengira waktu untuk melihat sendiri masalahnya.

Saya akan bertanya terus kepada penunggang motosikal dan basikal serta pemandu mengenai kesulitan dihadapi dan diberitahu mereka terpaksa hantar kenderaan ke bengkel beberapa kali berpunca daripada mutu jalan raya.

Oleh yang demikian, KKR mahu sentiasa bersama anda di sepanjang jalan. KKR mahu menyelesaikan kepincangan yang ada. Demi rakyat, KKR akan berada di sini, di sana dan di mana-mana.

* Alexander Nanta Linggi ialah Menteri Kerja Raya

Klik di sini untuk terus membaca