SHAH ALAM - Perbuatan khianat terhadap poster pihak lawan menunjukkan masih ada pentaksub politik tidak matang.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr Jayum Jawan berkata, tindakan biadab itu tidak membawa sebarang kebaikan, melainkan menunjukkan sikap buruk pelakunya.
Menurutnya, ada banyak ruang untuk mencabar pihak lawan atas platform yang lebih baik dan matang, antaranya debat.
"Negara kita sudah 66 tahun merdeka dan melalui banyak proses pilihan raya. Apabila perkara sebegini berlaku, apa yang kita dapat lihat mereka ini tidak lebih daripada pentaksub politik.
"Lebih baik mereka mencabar lawan berdebat kerana merosakkan poster lawan tidak membawa apa-apa kebaikan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri yang menyifatkan tindakan vandalisme terhadap poster Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ibarat penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Di KUALA TERENGGANU, calon PH Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail berkata, perbuatan menoreh gambar Anwar di sebuah papan iklan milik parti itu adalah jenayah.
"Perkara itu sebenarnya khianat yang ekstrem dan bukan khianat pada harta awam tetapi khianat dengan cara penghinaan.
"Simbah cat juga satu hal tapi kalau dah guna pisau ditoreh cantik pula di bahagian tengkuk gambar Perdana Menteri seolah-olah ancaman berbentuk jenayah,” katanya.
Pada Rabu, tular di media sosial mengenai poster papan iklan milik PH yang memaparkan gambar Azan bersama Anwar disimbah cat, selain terdapat contengan tulisan bertajuk 'Kami Nok UMNO'.