PILIHAN raya negeri yang berlangsung pada Sabtu depan akan menentukan pemegang banyak jawatan penting di peringkat negeri iaitu 245 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), enam menteri besar/ketua menteri (MB/KM) serta 60 orang ahli Exco. Apa... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN raya negeri yang berlangsung pada Sabtu depan akan menentukan pemegang banyak jawatan penting di peringkat negeri iaitu 245 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), enam menteri besar/ketua menteri (MB/KM) serta 60 orang ahli Exco.

Apa yang ramai mungkin terlepas pandang ialah ia juga akan menentukan barisan ahli majlis dalam 52 pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu 12 di Kelantan, tujuh di Terengganu, 12 di Kedah, dua di Pulau Pinang, 12 di Selangor dan tujuh di Negeri Sembilan. Jumlah ahli majlis bandar raya/perbandaran/daerah yang terlibat mencecah 1,248.

Sepatutnya, rakyat diberi kuasa untuk memilih pimpinan negeri dan pimpinan PBT berasingan. Ini akan memanfaatkan kita daripada dua segi.

Pertama, persaingan membawa kemajuan kerana parti dan ahli politik yang malas dan lembap akan dipecat oleh bos mereka, yakni rakyat.

Kedua, pilihan raya berasingan bermakna kita boleh memilih parti yang berlainan untuk kerajaan yang berlainan. Kalau parti A pandai memimpin negeri, tidak ada jaminan ia juga pandai mentadbir kota.

Pelantikan ahli-ahli PBT oleh negeri hanya menguntungkan parti pemerintah negeri yang bebas melantik orang sendiri untuk menguasai PBT. Ahli-ahli majlis tak perlu merupakan antara yang paling cekap, bersih dan berjiwa rakyat.

Apa yang lebih penting, mereka mesti taat kepada parti atau fraksi, atau mempunyai kabel yang kuat.

Tidak hairanlah terdapat ahli majlis yang merupakan anak atau menantu atau setiausaha kepada ahli Parlimen, ADUN atau pemimpin-pemimpin parti yang lain. Ada juga ahli majlis yang mewakili pemberi dana kepada parti.

Monopoli kuasa politik di PBT yang tidak dicabar oleh persaingan terbuka sering menyebabkan prestasi PBT lebih rendah daripada pencapaian yang diingini oleh kerajaan negeri.

Perkara yang sebaliknya juga boleh berlaku. Kadang-kala ahli-ahli majlis sangat cekap dan prihatin tetapi keputusan mereka terikat oleh dasar-dasar atau keputusan-keputusan kerajaan negeri mengenai ekonomi, prasarana, masyarakat dan alam sekitar.

Jadi, suka atau tidak, kerajaan negeri mesti dinilai bukan saja atas prestasi negeri secara amnya tetapi juga prestasi PBT dalam pelbagai aspek iaitu kebersihan restoran dan tandas awam, kemesraan kepada perniagaan dan pelaburan, kemudahan prasarana seperti bas percuma, serta pemeliharaan alam sekitar.

Malaysia merupakan negara persekutuan yang amat luar biasa dalam memusatkan terlalu banyak kuasa di tangan peringkat persekutuan. Kuasa-kuasa negeri yang utama terhad kepada tanah, kerajaan utama, Islam (di tangan istana) dan perancangan bandar (berkongsi dengan kerajaan Persekutuan) sehingga ramai terlepas pandang peri-pentingnya kerajaan negeri.

Meskipun demikian, kerajaan negeri dan PBT di bawahnya tetap berkuasa untuk menyenangkan atau menyusahkan rakyat hidup.

Mereka juga boleh membawa alternatif kepada corak pemerintahan Persekutuan, seperti apa yang berlaku di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah pembangkang semasa pemerintahan Barisan Nasional.

PRN adalah masa kita untuk menilai dan memberi ganjaran atau hukuman ke atas parti-parti penyandang yang memerintah negeri dan PBT di bawahnya. Ini bagaikan ‘beri satu, dapat satu secara percuma (dan tidak boleh ditolak).’

Kalau dahulu apabila PRN break serentak dengan pilihan raya umum (PRU) sehingga kita lupakan hal ini, dengan perjalanan PRN secara berasingan, mari kita membuat penilaian secara bijak dan #UndiLokal, seperti anjuran Bersih dan Astro Awani.

Sifar karbon perlu semua,

Naik Bas Naik MRT,

Undi satu dapat dua,

selain negeri juga PBT.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca