TIDAK mempunyai sebarang pengalaman memasuki gelanggang pilihan raya, namun bekas jurutera Majlis Perbandaran Seremban ini diberi kepercayaan mewakili Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, SYAMILAH ZULKIFLI dengan Shukri Shukor, 61, yang berkongsi pandangannya tentang Kota dari perspektif kekeluargaan.
SINAR HARIAN: Diberi kepercayaan menembus masuk kawasan antara kubu kuat UMNO, bagaimana tuan berdepan cabaran itu?
SHUKRI: Saya sudah berada dalam padang, maka perlu diteruskan permainan itu. Jadi apabila dipilih mewakili PN, saya sudah bersedia sepenuhnya.
Apa yang kurangnya di Kota berbanding DUN lain berhampirannya?
Berbanding Tampin dan Chembong, Kota agak ketinggalan sedangkan geografinya hampir sama.
Chembong ada kemudahan hospital, Universiti Teknologi Mara serta sekolah berasrama penuh. Manakala Tampin yang dikategorikan bandar lama dilihat lebih berkembang.
Saya tak tahu apa masalahnya, tapi itulah antara suara-suara masyarakat Kota.
Walaupun Kota ini adalah sebuah pekan kecil tapi apa yang ada di sini perlu juga ditambah baik, bukannya mengharapkan apa yang sedia ada saja.
Apa perancangan tuan sekiranya diberi kepercayaan berkhidmat di Kota?
Penduduk di sini majoritinya yang telah berusia. Bagi saya, perlu untuk tangani keperluan mereka dahulu, kemudian fokus kepada anak muda supaya ada peluang untuk terus menetap di kampung.
Sebenarnya banyak potensi di sini.
Apa manifesto khusus tuan untuk Kota?
Saya tak mahu berjanji terlalu awal. Paling utama bagi saya adalah mengenal pasti dahulu apa permasalahan di sini.
Kalau saya meletakkan aras manifesto, dibimbangi ia tidak selari dengan kerajaan negeri atau kerajaan Pusat.
Ia perlu seiring dan pentingnya Kota perlu ada pembaharuan.
Mungkinkah gelombang perubahan rakyat akan berlaku di Kota kali ini?
PN pun tak pernah jangka boleh menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu dan itu bukti rakyat mahukan perubahan. Saya percaya perkara sama juga berlaku di DUN Kota yang penzahirannya akan dilakukan pada 12 Ogos nanti.
Klik di sini untuk terus membaca