CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Amzad Hashim yang dikekalkan bertanding atas tiket Pas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu merupakan anak jati Kampung Durian Burung di sini. Walaupun menang selesa dengan majoriti 40,907 undi pada... Klik di sini untuk terus membaca

CALON Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Amzad Hashim yang dikekalkan bertanding atas tiket Pas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu merupakan anak jati Kampung Durian Burung di sini.

Walaupun menang selesa dengan majoriti 40,907 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, penyandang kerusi Parlimen itu akur terhadap keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangannya susulan petisyen dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN).

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM bersama Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu (P036) yang akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

SINAR HARIAN: Apa janji Datuk kepada penduduk Parlimen Kuala Terengganu sekiranya menang pada PRN kali ini?

AHMAD AMZAD: Sepanjang berkhidmat sebagai ahli Parlimen dalam penggal yang lalu, saya telah melaksanakan pelbagai program untuk membantu rakyat Terengganu.

Bantuan kepada mereka yang susah daripada sumbangan bakul makanan melibatkan lebih 9,000 penerima sehinggalah menyiapkan secara percuma lima buah rumah baru bagi keluarga miskin.

Bantuan kepada usahawan kecil melibatkan lebih 200 penerima dalam bentuk barangan kelengkapan perniagaan mereka yang bernilai sekitar RM2,000 setiap satu seperti mesin kimpalan, mesin basuh untuk dobi, dapur ketuhar, mesin fotokopi, mesin pencuci karpet dan mesin tebu.

Lebih 40 buah motosikal saya sumbangkan kepada penerima yang bekerja dalam khidmat penghantaran seperti grab, food panda dan yang menggunakan untuk berulang alik ke tempat kerja.

Hampir setiap sekolah di Kuala Terengganu menerima sumbangan daripada saya sekitar RM5,000 untuk menjalankan aktiviti sama ada melalui PIBG (Persatuan Ibubapa dan Guru) atau terus kepada sekolah.

Saya juga menaja tuisyen online untuk semua calon SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di Parlimen Kuala Terengganu dengan lebih 3,000 calon setiap tahun dan pelbagai lagi inisiatif bagi membantu rakyat.

Saya akan teruskan perkhidmatan yang terbaik jika rakyat di Kuala Terengganu masih mahukan saya.

Apakah masalah utama di Parlimen Kuala Terengganu dan perlu diselesaikan segera?

Masalah kesesakan jalan dari Hotel Sri Malaysia melalui Pasar Payang, Ladang memerlukan penyuraian trafik termasuk kekurangan parkir kereta.

Keadaan tapak parkir di sebelah pasar sayur di Pasar Payang yang tidak diturap. Masalah parit dan longkang kecil yang sedang kita atasi dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di peringkat kampung.

Saya juga melihat peluang kerja dan perniagaan untuk anak muda, sektor gig economy serta kemiskinan bandar perlu diberi perhatian.

Alhamdulillah, masalah di Pelabuhan Perikanan Chendering, Kuala Terengganu yang kita perjuangkan berjaya dengan peruntukan RM192 juta, muara Sungai Ibai sekitar RM30 juta.

Datuk dicabar calon yang pernah kalah. Jangkaan keputusan PRK nanti?

Diharapkan pengundi Kuala Terengganu bantu saya untuk tingkatkan majoriti supaya lebih dari 40,907 yang dicapai pada PRU15 yang lalu.

Ia sudah menjadi soal maruah parti, malah saya terus dituduh melakukan unsur rasuah disebabkan masih ada yang memutarbelitkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu yg membatalkan keputusan PRU15 lalu.

Hakim buat keputusan bahawa saya dan mana-mana pihak tidak dinamakan sebagai yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Oleh sebab itulah, saya masih boleh dicalonkan dan masih boleh mengundi.

SINAR HARIAN: Setelah beberapa isu melanda termasuk petisyen oleh UMNO, adakah Datuk yakin rakyat masih menaruh harapan dan kepercayaan?

Rakyat kenal saya dan tahu cerita ini. Saya serahkan kembali kepada rakyat di Kuala Terengganu yang faham tentang apa yang berlaku di Parlimen ini untuk membuat keputusan.

Saya akan terus bekerja dan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Selebihnya serahkan kepada kuasa ALLAH SWT dan keputusan yang akan diterjemahkan rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) pada 12 Ogos ini.

Apa yang Datuk harapkan dalam PRK kali ini? Diharapkan para pengundi di Kuala Terengganu buktikanlah bahawa anda ialah warga negeri yang bukan mengundi hanya kerana i-Siswa atau i-Belia.

Buktikanlah tanpa semua itu pun ketika tempoh kempen PRK Kuala Terengganu, anda tetap memilih Pas dan PN.

Klik di sini untuk terus membaca