SEJAK hari pertama diumumkan senarai calon pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri, gendang berkempen mula dipalu dalam pelbagai kaedah, termasuk meraih sokongan pengundi menerusi debat terbuka.
Sinar Harian mengambil peluang ini dengan menampilkan calon daripada dua blok utama iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, Abbas Azmi dan Perikatan Nasional (PN) DUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin.
Ikuti kupasan utama daripada mereka dalam program Berani Semuka bertajuk Kita Selangor vs Selangor Baharu yang dikendalikan personaliti televisyen, Amin Idris selaku moderator.
PH-BN KIBAT SEMUA RAKYAT BUKAN IKON SEMATA-MATA
SHAH ALAM - Manifesto ‘Kita Selangor’ yang dibawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (PH-BN) bersifat realistik dengan mengambil kira semua kepentingan rakyat dan bukannya bergantung kepada ikon semata-mata.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, dalam lima tekad yang ditawarkan untuk tempoh lima tahun itu, ia merangkumi semua demografi rakyat negeri itu yang berbilang kaum dan agama.
"Kita tak bawa ikon MB (Menteri Besar) dan Exco sahaja tapi bawa rakyat bersama dalam memajukan Selangor. Negeri ini bukan milik sesiapa, pemimpin hanya menjaga amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
"Segala idea dan gerak kerja kita libatkan antara pemimpin serta rakyat. Jelas dilihat daripada manifesto PH-BN, lima tekad untuk lima tahun meliputi kesemua lapisan masyarakat.
"Kita tidak tertumpu pada satu kaum sahaja, kena faham demografi rakyat negeri ini. Akan tertindas dan dinafikan hak mereka,” katanya.
Jelas Abbas, jika dilihat kepada lima tekad yang dibuat, ia meliputi semua segmen. Tekad pertama memastikan ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
"Tekad kedua, menjadikan agama sebagai cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor. Tekad ketiga, perkhidmatan kerajaan yang cekap serta efisien.
"Tekad keempat, Kita Selangor pula pembangunan mampan, selesa dan berdaya huni. Tekad kelima menjadikan Selangor negeri penyayang yang membela kepentingan rakyat,” jelasnya.
Sementara itu, Abbas menjelaskan Kerajaan Perpaduan mampu melaksanakan manifesto yang dibuat kerana rekod yang baik, selain amanah dalam menjaga dan mengurus hasil pendapatan negeri.
Tegasnya, sebarang projek yang dirancang boleh dilaksanakan dengan kerjasama erat kerajaan Persekutuan.
"Kita tak beli kereta mewah untuk Exco dan berbelanja besar ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), bahkan Exco juga bekerja lebih teruk daripada ahli (wakil rakyat) biasa.
"Pemimpin PH sangat menjaga amanah yang diberikan rakyat kepada mereka. Kita boleh bercerita tentang beratus juta pendapatan negeri, berbangga dengan kutipan cukai yang dapat setiap tahun tapi apa yang lebih membanggakan adalah jika duit ini dijaga dengan baik demi kebaikan rakyat,” katanya.
Tambahnya, jika tiada sifat amanah dan tanggungjawab, ratusan juta sekalipun pendapatan pasti hilang dan lenyap hingga akhirnya rakyatlah yang akan menanggung derita tersebut.
PN YAKIN MAMPU REALISASIKAN MANIFESTO
SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mampu merealisasikan tawaran ‘Manifesto Baharu’ berdasarkan pengalaman dimiliki calon yang terbukti berjaya membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat sebelum ini.
Calon PN, Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, wakil perikatan dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini terdiri daripada tokoh yang berjaya membawa Selangor ke tahap lebih baik.
Tegasnya, PN memasuki PRN bukan dengan tangan kosong tetapi mereka tampil bersaing berbekalkan pengalaman yang dimiliki.
"PN dibarisi tokoh seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang pernah memegang jawatan Menteri Besar Selangor dan Datuk Dr Yunus Hairi yang juga bekas Exco serta beberapa tokoh lain yang terdiri daripada golongan profesional yang terbukti mampu mentadbir negeri ini.
"Azmin sebagai Menteri Besar sebelum ini menggunakan khazanah dan rizab negeri untuk memulakan pelbagai inisiatif yang hebat termasuk program Kasih Ibu, Smart Selangor, Skim Peduli Sihat dan Skim Mesra Usia Emas yang menjaga kebajikan rakyat,” katanya.
Sebaliknya, Afif mendakwa, pentadbiran Menteri Besar Selangor kini, Datuk Seri Amirudin Shari gagal menggunakan rizab, kelebihan dan kemampuan dimiliki negeri untuk memperhebatkan lagi pencapaian berbanding menteri besar terdahulu.
"Sebab itu (manifesto), ‘Selangor Baharu’ memberitahu bahawa negeri ini memerlukan kepimpinan baharu untuk agar kembali menjadi yang hebat, terbilang dan cemerlang.
"Masalah paling besar di Selangor adalah kepimpinan, apabila menteri besar terpaksa ikut dan dengar cakap orang lain. Itu masalah,” dakwanya lagi.
Afif menegaskan, pencapaian dan pembangunan Selangor ketika ini seharusnya dibandingkan dengan ibu kota besar seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan dan bukannya dengan Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Sementara itu, Afif berkata, manifesto Selangor Baharu yang ditawar PN lebih realistik kerana ia membawa pelbagai isu yang menekan rakyat ketika ini terutama kos sara hidup.
Dakwanya, kos sara hidup rakyat di Selangor adalah tertinggi di Malaysia.
"Manifesto PN yang dibentangkan esok (Jumaat), memfokuskan usaha memulihkan semula ekonomi dengan memberi pakej rangsangan ekonomi menjurus dalam bentuk bantuan tunai secara terus kepada rakyat agar mereka rasa kurang terbeban.
Tegas Afif, PN bertanding untuk menjadi suara dan jurubicara kepada rakyat di bawah yang tertekan dengan kos sara hidup dan beban yang terpaksa dihadapi dari hari ke hari.
Klik di sini untuk terus membaca