SHAH ALAM - Sebaik pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri membuka tirai secara rasmi pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dikatakan setiap hari turun berkempen bagi koalisi politik yang membentuk Kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebaik pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri membuka tirai secara rasmi pada 29 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dikatakan setiap hari turun berkempen bagi koalisi politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Bahkan sebelum PRN bermula lagi, Anwar yang juga Pengerusi PH telah memulakan langkah lebih awal turun padang menemui rakyat dalam pelbagai program nasional dan komuniti di seluruh pelosok negara.

Di sebalik keaktifan tersebut, timbul persoalan adakah wajar untuk seorang Perdana Menteri terlalu kerap meninggalkan pejabat hingga boleh menimbulkan kebimbangan kerja hakiki beliau terganggu dan terhambat akibat kesibukan aktiviti di luar?

Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pernah mendakwa beliau melihat Anwar hanya menghabiskan masa bercakap dengan rakyat berbanding melakukan tugasnya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid melihat, persaingan PRN yang diadakan serentak enam negeri melibatkan Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu merupakan satu ujian besar untuk pentadbiran Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Ramai penganalisis tempatan dan luar negara berpendapat jika Perikatan Nasional (PN) berjaya menang besar dalam PRN ini, desakan untuk Kerajaan Perpaduan dibubarkan adalah sangat tinggi.

"Disebabkan bahang politik PRN ini begitu menggugah, maka Anwar mahu turun padang untuk turut serta dalam kempen ini,” katanya kepada Sinar Premium.Menurut Kartini, tindakan turun berkempen hampir setiap hari itu juga merupakan satu usaha untuk meyakinkan pengundi bahawa Kerajaan Perpaduan serius mahu meneruskan pentadbiran.

Malah katanya, ia juga mampu untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan hari ini merupakan kerajaan yang terbaik dan boleh diharapkan untuk terus memerintah negara.

"Pengekalan status-quo membantu usaha negara pulih daripada inflasi, dan kestabilan negara turut membantu persepsi luar untuk terus yakin dengan kerajaan sedia ada.

"Berkempen bersama juga adalah strategi berbentuk counter-argument bagi mendepani kritikan terhadap Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan ketua gabungan parti turun sendiri membantu calon, ia sekali gus memperlihatkan secara simbolik bahawa gabungan strategik PH-BN pimpinan Ahli Parlimen Tambun itu tetap utuh walaupun dilanda badai dari segenap penjuru.

"Anwar harus membuktikan kepada rakyat bahawa kerja hakiki tidak terganggu dan keampuhan pentadbir awam yang cekap dan berwibawa adalah jaminan kepada negara terus progresif dengan sistem pemantauan bersifat self-regulated,” katanya.

Bagi Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Anwar perlu kerap turun padang bertemu rakyat demi memastikan sokongan berterusan masyarakat terhadap kerajaan pimpinannya.

"Kesediaan Perdana Menteri menyertai pelbagai program bersama rakyat juga menunjukkan bahawa beliau serius mempertahankan koalisi baharu ini sebagai satu gabungan bertanggungjawab dan bukan sekadar koalisi mengikut keselesaan politik,” katanya.

Menurut Sivamurugan, interaksi bertemu rakyat secara langsung di lapangan ini juga merupakan satu bentuk strategi politik dan Anwar telah melakukannya sejak sebelum gendang PRN mula dipalu.

"Daripada langkah ini, naratif yang mahu dibina adalah penjenamaan dan pemasaran politik Kerajaan Perpaduan.

"Ia juga supaya dapat menangkis sebarang tohmahan dan kesangsian terhadap kewibawaan dan keupayaan kepimpinan Anwar,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca