SEBAIK sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya Negeri (PRN) di enam negeri diadakan serentak, dengan 12 Ogos 2023 sebagai hari pengundian dan 29 Julai sebagai hari penamaan calon, gendang perang siasah mula dipalu sekali lagi di Malaysia.
Para politikus serta semua pemimpin parti politik pun melipat gandakan perancangan dan strategi siasah mereka. Kempen lisan terus melonjak ke tahap yang tinggi sebaik saja hari pengundian berlangsung.
Di samping itu, ruang siber penuh sesak dengan kempen media sosial. Untuk mendapat kuasa siasah, propaganda siasah mestilah dilaksanakan bermati-matian.
Seorang sahabat seperjuangan dan pakar teknologi informasi (IT) yang berusia sekitar 55 tahun memberitahu saya bahawa istilah 'cybertroopers' atau lasykar siber mula berfungsi dan dikenali umum sejak internet mula muncul dalam kehidupan insan.
Telah dilaporkan oleh beberapa penulis Malaysia bahawa 'cybertroopers' ialah istilah yang mula digunakan di Malaysia dan kini mula digunakan di seluruh dunia. Namun kesahihan dakwaan ini sukar dibuktikan.
Seorang lasykar siber ialah seorang penulis yang dibayar untuk menyebarkan propaganda siasah di internet, khususnya di pelantar media sosial. Julat upah yang diterima oleh seorang lasykar siber sangat luas.
Ada yang menerima upah sekali sahaja dan ada juga yang menerimanya setiap bulan menurut kontrak yang dipersetujui. Ada yang dibayar ratusan ringgit dan ada juga yang menerima bayaran ribuan ringgit sebulan atau semusim pilihan raya.
Di samping itu, tidak memeranjatkan jika wujudnya lasykar siber yang bertugas secara sukarela.
Pencipta kandungan (content creators) sangat penting dalam usaha menyebarkan propaganda siasah.
Tanpa para pencipta kandungan ini maka propaganda tidak dapat dilaksanakan. Dengan kewujudan lasykar siber tanpa pencipta kandungan adalah umpama kesediaan penyanyi untuk menyanyi tapi tiada lagu dan lirik.
Seperti lasykar siber, ada pencipta kandungan yang bekerja secara percuma; tetapi sudah tentu ramai juga yang dibayar.
Sebagai askar upahan (mercenaries) lasykar siber bersedia untuk diupah oleh sesiapa sahaja, asalkan upahnya lumayan. Maka muncullah lasykar siber yang jahat dan sebaliknya yang baik.
Yang jahat tidak peduli jika mesej yang ditulisnya mengakibatkan keadaan adu domba serta permusuhan yang sengit antara insan yang bertentangan fahaman.
Informasi tidak tepat yang disampaikannya akan ditularkan di merata tempat di internet dan dipercayai oleh segolongan manusia, hinggalah pembetulan dilakukan oleh sepihak lagi yang mempunyai fakta yang tepat.
Selalunya, kerosakan telah berlaku sebelum pembaikan dapat dilakukan.
Lasykar siber yang baik pula prihatin akan etika komunikasi dan media sosial. Dia memastikan bahawa apa yang ditulis serta mesej yang disampaikan adalah untuk kemakrufan demi pembangunan insan dan membasmi kemungkaran yang ditabur oleh lasykar siber yang jahat.
Para pembaca tidak perlu bersusah payah melakukan usaha tabayyun atau memastikan kesahihan sesuatu maklumat.
Lasykar siber yang beretika, berniat baik serta berakhlak mulia menyampaikan naratif yang betul dalam suasana demokrasi yang membolehkan sistem semak imbang menjadi subur.
Menurut survei manipulasi media 2020 yang dijalankan oleh Oxford Internet Institute (OII), manipulasi media sosial yang terancang didapati berlaku di 81 negara jika dibanding dengan 79 buah negara pada tahun 2019. Informasi yang salah dibuat pada skala industri oleh kelompok-kelompok kerajaan yang besar, firma perhubungan awam serta parti politik.
Profesor Philip Howard pengarah OII mengatakan bahawa kinilah masanya masyarakat awam perlu bergantung kepada informasi yang boleh dipercayai berkait aktiviti dan polisi pemerintah.
Beliau juga menegaskan bahawa semua syarikat media sosial perlu meningkatkan kecekapan tugas mereka dengan menambah usaha mereka untuk mengenal pasti kesalahan informasi dan menutup akaun palsu.
Ini tanpa memerlukan campur tangan kerajaan, supaya umum mendapat akses kepada informasi yang bernilai tinggi.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivitis sosial.
Klik di sini untuk terus membaca