PERANG cip antara Amerika Syarikat (AS) dan China kini memasuki episod terbaharu. Perang cip yang bermula tahun 2018 pada era pentadbiran Donald Trump dan diteruskan Joe Biden, kini ada cerita menarik rentetan pendedahan wartawan BBC News,... Klik di sini untuk terus membaca

PERANG cip antara Amerika Syarikat (AS) dan China kini memasuki episod terbaharu.

Perang cip yang bermula tahun 2018 pada era pentadbiran Donald Trump dan diteruskan Joe Biden, kini ada cerita menarik rentetan pendedahan wartawan BBC News, Annabelle Liang dan Nick Marsh.

Liang dan Marsh mendedahkan, China bakal mengehadkan eksport dua bahan terpenting industri semikonduktor iaitu galium dan germanium ke AS. China menetapkan AS perlu mendapatkan lesen khas sekiranya mahu mengimport dua bahan terpenting tersebut.

Laporan BBC menyebut, China ialah pengeluar terbesar dalam rantaian bekalan global bahan galium dan germanium. Negara itu menghasilkan 80 peratus bekalan galium dunia dan 60 peratus germanium.

Perangkaan tersebut disahkan badan bertauliah pembekalan bahan industri kritikal, Critical Raw Materials Alliance (CRMA).

Penulis punya pengalaman dalam bidang pengurusan pembangunan teknologi terkini melibatkan galium dan germanium. Dua bahan ini ialah sejenis bahan metaloid (metalloids) yang memiliki sifat dua alam iaitu logam dan bukan logam.

Bahan ini terbentuk daripada penghasilan proses tertentu yang dirahsiakan penyelidik termasuk pakar China. Galium ialah logam berwarna putih keperakan dengan tahap lebur 29 darjah Celsius, lembut dan mudah dipotong dengan pisau.

Paling menarik galium ialah logam yang boleh dilebur di telapak tangan sekiranya suhu mencecah 29 darjah Celsius.

Germanium pula bahan metaloid berwarna putih kelabu dengan tahap lebur mencecah 938 darjah Celsius. Ia sukar diperoleh dan hanya boleh ditemui dalam bijih zink (zinc ore), manakala galium 30 kali ganda lebih sukar diperoleh berbanding germanium.

Galium hanya ditemui dalam bijih bauksit (bauxite ore). Kedua-dua bahan ini hanya boleh diekstrak bahan logam atau mineralnya menggunakan teknik tertentu.

Misalnya, galium arsenida ialah bahan sebatian antara galium dan arsenik. Ia banyak digunakan dalam pembuatan cip komputer berkelajuan tinggi, penghasilan diod pemancar cahaya (LED), transistor, diod dan panel solar.

Germanium dioksida pula ialah semikonduktor dihasilkan daripada sebatian antara germanium dan oksigen. Ia digunakan dalam gogal penglihatan (vision goggles) sebagai ‘kekunci’ kepada sistem keselamatan dan ketenteraan.

CRMA melaporkan pembekalan galium dan germanium sangat terhad. Hanya syarikat tertentu mampu mengeluarkan keaslian bahan ini sebagai komponen semikonduktor.

Dalam hal ini, syarikat China sangat mendominasi pembekalan bahan berkualiti tinggi ini.

Kajian CRMA menunjukkan China ialah pengeluar utama galium dan germanium terkemuka dunia. Pada 2022, China menghasilkan lebih 600 tan metrik galium dan 1,600 tan metrik germanium.

Angka mewakili 60 peratus dan 80 peratus pengeluaran galium dan germanium tahunan dunia.

Agak menarik apabila penulis mendapati Malaysia memiliki galium dan germanium dalam jumlah yang besar. laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menunjukkan Malaysia mempunyai lebih 1 juta tan rizab galium dalam bijih bauksit dan lebih 200,000 tan rizab germanium dalam bijih zink.

Ketika ini, Kuala Langat, Selangor dipercayai mengandungi lebih 50,000 tan galium manakala Lembah Kinta, Perak lebih 20,000 tan galium yang terkandung dalam rizab bijih bauksit.

Penulis juga mendapati ada beberapa tempat di Kelantan dan Pahang mempunyai antara 10,000 dan 20,000 tan galium.

Begitu juga dengan Sarawak yang dianggap memiliki lebih antara 2,000 dan 3,000 tan galium. Penulis difahamkan Malaysia boleh meraih pendapatan sehingga AS$1 bilion (RM4.53 bilion) sekiranya bahan ini dieksport ke luar negara.

Kisah galium dan germanium ini sebenarnya telah dikiaskan ALLAH SWT dalam Surah Al-Hadid ayat 57:25 yang antara lain membuktikan kewujudan mineral tertentu dalam perut bumi dan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan.

Dalam Surah An-Nahl ayat 16:15-17 pula, ALLAH menyebut betapa manusia perlu mencari bahan galian daripada perut bumi.

Penulis percaya perang cip antara AS serta China akan berterusan selagi ada bulan dan bintang. Buat masa ini, China seakan-akan memiliki kelebihan kerana mempunyai banyak bahan galium dan germanium.

Cuma, apakah peranan Kerajaan Malaysia dalam hal ini? Penulis percaya Malaysia mesti memanfaatkan senario ini dengan memulakan usaha memproses galium dan germanium.

Malaysia sebenarnya sudah lama dikenali sebagai kuasa besar dalam industri semikonduktor di Asia.

Malaysia perlu merebut kesempatan ini dengan segera membangunkan sistem pengeluaran bahan mineral galium dan germanium demi mengembalikan semula kegemilangan Malaysia dalam peta dunia industri elektronik dan semikonduktor.

* Datuk Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Klik di sini untuk terus membaca