PERNIAGAAN ditubuhkan untuk mendapatkan keuntungan. Secara mudah, ini bermakna jualan kena dipertingkatkan dan kos kena diturunkan. Termasuk di dalam kos perniagaan adalah gaji dan manfaat pekerja. Di kebelakangan ini, isu pendapatan... Klik di sini untuk terus membaca

PERNIAGAAN ditubuhkan untuk mendapatkan keuntungan. Secara mudah, ini bermakna jualan kena dipertingkatkan dan kos kena diturunkan. Termasuk di dalam kos perniagaan adalah gaji dan manfaat pekerja.

Di kebelakangan ini, isu pendapatan menjadi isu besar di negara ini. Ini adalah kerana seluruh dunia dilanda inflasi selepas Covid-19 berlalu.

Kemudian berlaku pula peperangan di Ukraine yang merupakan di antara pengeluar makanan yang besar di dunia. Maka, harga bahan makanan pun meningkat dan menimbulkan pelbagai masalah di kalangan pengguna.

Selain dari usaha untuk menurunkan harga, satu lagi kaedah yang penting ialah menaikkan pendapatan. Ini adalah kerana mahu tidak mahu, inflasi akan sentiasa wujud di dalam ekonomi.

Malah, jika inflasi menjadi sifar atau pun menjadi negatif, itu bermakna ekonomi mungkin menguncup.

Di kala ini, peratusan gaji pekerja berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah dalam 34 peratus. Di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sasarannya adalah 40 peratus.

Bolehkah sasaran ini dicapai di dalam tempoh 2 tahun lebih yang berbaki?

Ekonomi kita masih lagi melekat kepada model ekonomi kos rendah yang telah membawa banyak kemajuan kepada negara semenjak tahun 1970an lagi.

Walaupun struktur ekonomi sudah berubah dengan pengenalan teknologi, susah bagi kebanyakan perniagaan untuk berpindah kepada model perniagaan bernilai tinggi yang juga membayar gaji yang tinggi kepada pekerjanya.

Apabila minat rakyat tempatan untuk bekerja di kilang-kilang dan perniagaan yang rendah nilai tambahnya dan membayar gaji yang rendah, penyelesaian mudah ialah dengan membawa buruh kemahiran rendah dari luar negara.

Jika dahulu pekerja asing hanyalah pekerja domestik dan di kedai-kedai mamak sahaja, sekarang mereka boleh ditemui di mana-mana.

Setelah gaji minima diperkenalkan, konsep gaji progresif mula dibincangkan di kalangan pembuat dasar. Sekiranya ini diamalkan, gaji pekerja akan naik dengan lebih cepat. Adakah semua perniagaan mampu membiayainya?

Di sinilah pentingnya produktiviti pekerja dipertingkatkan. Produktiviti bukannya satu isu baharu.

Kita sudah ada Perbadanan Produktiviti Negara untuk sekian lamanya. Namun, seperti yang dinyatakan di atas, peratusan gaji pekerja masih rendah.

Manfaat pekerja yang meningkatkan produktivitinya tidak akan dinikmati dengan banyak oleh perniagaan jika kerja itu sendiri yang rendah nilai tambahnya. Ini adalah masalah struktur perniagaan itu sendiri.

Melainkan perniagaan mengubah model perniagaannya dan bersaing di peringkat yang lebih tinggi nilai tambahnya, menaikkan gaji pekerja akan menjadi cabaran yang besar.

Ini bermakna menumpukan kepada menghasilkan hasil yang lebih dengan menggunakan bilangan pekerja yang sama mungkin tidak cukup.

Melainkan di Amerika, kebanyakan rakyat di pelbagai negara terutamanya di Eropah sudah meletakkan keadilan sosial sebagai satu perkara penting. Ini termasuk pembayaran gaji yang lebih adil kepada pekerja.

Mahu tidak mahu, negara kita juga perlu meletakkan perkara ini di dalam perkiraan usahawan dan tokoh-tokoh korporat.

Walaupun ini mungkin isu jangka panjang, ianya akan mencorakkan ekosistem keusahawanan di negara kita.

Mungkin ini akan meninggikan lagi halangan untuk menubuhkan perniagaan dan menjadi faktor penting di dalam menentukan kelestarian perniagaan.

Namun, jika kita mahu memecahkan ikatan negara berpendapatan pertengahan, para usahawan di negara ini kena menghadapi isu ini dengan penuh kreatif.

Jika nakkan sagunya kenalah dipecahkan ruyungnya. Jadi untuk meningkatkan lagi taraf hidup dan kesejahteraan kita, kita kena berani melakukan sesuatu yang berbeza dan berisiko.

* Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.

Klik di sini untuk terus membaca