SHAH ALAM - Berbaki seminggu menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini, kira-kira 85 peratus pengundi di enam negeri yang terlibat pilihan raya negeri (PRN) sudah mempunyai calon yang akan dipilih mereka. Dapatan itu berdasarkan tinjauan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Berbaki seminggu menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini, kira-kira 85 peratus pengundi di enam negeri yang terlibat pilihan raya negeri (PRN) sudah mempunyai calon yang akan dipilih mereka.

Dapatan itu berdasarkan tinjauan lapangan secara bersemuka yang dilakukan Sinar Harian kepada pengundi di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, sebanyak 12.5 peratus menyatakan masih belum membuat pilihan, manakala 2.5 peratus lagi masih belum pasti dengan pilihan mereka.

Kepesatan teknologi menyaksikan medium maklumat utama rakyat bagi mendapatkan informasi berkaitan politik dan pilihan raya kini beralih kepada media massa dan internet.

Hasil tinjauan yang dibuat mendapati lebih separuh iaitu 62.5 peratus pengundi memilih media massa dan internet sebagai medium utama maklumat mereka, diikuti ceramah sebanyak 16.25 peratus.

Orang ramai juga menjadikan kenalan mereka sebagai sumber utama rujukan, dengan 11.25 peratus dan keluarga sebanyak 10 peratus.

Sementara itu, kajian awal Ilham Centre mendedahkan, sebanyak 14 hingga 16 peratus pengundi di enam negeri yang terlibat PRN belum memutuskan gabungan parti politik mana bakal dipilih.

Pengarah Eksekutifnya, Hisommudin Bakar berkata, golongan tersebut terbahagi kepada beberapa kelompok iaitu pengundi Barisan Nasional (BN) dan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang terkesan dengan isu berkaitan calon.

"Bagaimanapun, golongan muda kali ini tidak banyak termasuk di dalam kelompok itu kerana mereka sudah ada pilihan sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Penyelidik Kajian Politik Malaysia, NUSA Research Centre, Arif Anwar Lokmanol Hakim mendapati, sebanyak 20 peratus atau kira-kira 1.96 juta daripada 9.83 juta pengundi adalah golongan atas pagar.

"Golongan atas pagar melibatkan tiga kategori iaitu pengundi BN khususnya di kawasan parti itu tidak bertanding.

"Manakala golongan kedua ialah pengundi di kawasan ada calon ‘wow factor’ selain anak muda khususnya yang berumur 18 hingga 25 tahun,” katanya.

Beliau berpendapat, ini kerana publisiti di media sosial agak seimbang antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan PN.

"Anak-anak muda lebih cenderung kepada media sosial dan keputusan mereka mungkin berdasarkan penilaian dari situ. Ada yang tidak kenal calon dan boleh bertukar fikiran pada hari pengundian,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca