SHAH ALAM - Tiga faktor penting yang menjadi pertimbangan pengundi untuk membuat keputusan dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, berdasarkan tinjauan lapangan dilakukan Sinar Harian.
Hasil tinjauan secara bersemuka dengan pengundi, tiga faktor yang dikenal pasti ialah calon, parti dan ekonomi.
Bagaimanapun, faktor calon dan parti dilihat lebih mendominasi pilihan mereka dengan kedua-duanya seimbang.
Pengundi melihat kepada calon tempatan, memahami anak muda dan cakna serta dapat menyelesaikan masalah rakyat.
Selain itu, calon yang akan dipilih juga mesti boleh berlaku adil dan saksama serta boleh membawa kemajuan setempat.
Pengundi juga melihat kepada mereka yang boleh melakukan tugas dengan baik, pemimpin yang rajin, ikhlas dan prihatin terhadap masalah rakyat. Bagi pengundi yang menjadikan parti sebagai indikator dalam membuat keputusan, mereka membuat pertimbangan dengan melihat parti yang lebih stabil dan berpengalaman.
Parti yang sudah lama memerintah juga menjadi antara pilihan mereka, selain ada juga yang membuat keputusan untuk melihat perubahan pentadbiran dan memilih parti yang mempunyai hala tuju serta misi.
Kerajaan yang boleh memberikan kebaikan di dunia dan akhirat juga menjadi pertimbangan, selain parti yang boleh mengubah nasib rakyat, terutama menjaga kepentingan golongan muda.
Masalah ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat juga menjadikannya antara faktor penting dalam membuat pilihan.
Pengundi menyatakan mereka cenderung untuk memilih pemimpin yang dapat memperbaiki ekonomi serta membawa kemajuan untuk negara.
Selain calon, parti dan ekonomi, pengundi juga membuat pertimbangan akan masa depan dan menyatakan kerisauan terhadap nasib anak dan cucu mereka selepas ini.
Mereka juga melihat kepada isu yang dibawa, manifesto dan ada yang bersandarkan kepada dua faktor utama iaitu calon serta parti.
Pengundi di Selangor, Nurul Izzura Mahfut, 24, berkata, beliau berharap kerajaan negeri yang bakal dibentuk menumpukan kepada peluang pekerjaan kepada tenaga mahir dan lepasan ijazah.
Dia yang merupakan peniaga berharap agar sektor pekerjaan tidak ditumpukan di kawasan bandar sahaja, sebaliknya diperluaskan di kawasan luar bandar.
"Faktor gaji rendah dengan peluang kerja terhad menyebabkan kebanyakan anak luar bandar terpaksa berhijrah ke bandar untuk mendapatkan pekerjaan.
"Kesannya, berlaku peningkatan migrasi ke bandar, manakala luar bandar semakin kurang anak muda hingga menyebabkan kebanyakan sekolah (luar bandar) kini semakin kurang pelajar,” katanya.
Kakitangan awam di Kelantan, Nik Azman Nik Mustafa, 59, berkata, PRN kali ini sengit dan gelombang kebangkitan rakyat dijangka berlaku pada saat-saat akhir proses mengundi.
"Pemilihan dibuat berdasarkan kefahaman matlamat, perjuangan dan dasar seorang pemimpin dan parti. Dasar yang dirancangkan dibuat dan dipantau sehingga berjaya,” katanya.
Seorang lagi pengundi, Ain Husin, 37, yang merupakan penjual buah-buahan di Terengganu berkata, pemilihan calon dilihat dari segi pengalaman dan sumbangan kepada penduduk sekitar.
"Saya sudah membuat pilihan calon yang akan diundi. Apa pun, pengundi melihat apa pembaharuan yang ingin dibawa calon kepada rakyat, bukannya hanya sekadar janji manis semata-mata,” katanya.
Bagi suri rumah, Asmarizan Jusoh, 36, dari Selangor, dia menganggap PRN kali ini penting dan perlu keluar mengundi.
"Ini tanggungjawab kita untuk memilih pemimpin yang betul-betul dapat menjaga keselamatan dan ketenteraman rakyat.
"Saya lihat keadaan politik sekarang agak membimbangkan kerana masing-masing sibuk berebut jawatan sehingga sanggup menjatuhkan lawan dengan pelbagai isu,”katanya.
Seorang lagi pengundi, Zainol Abidin Chik, 68, yang merupakan peneroka Felda di Kedah berharap calon yang menang pada PRN tidak mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat yang telah mengundi.
Klik di sini untuk terus membaca