KEHADIRAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen di Kedah pada Jumaat, mencuri tumpuan apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menggempur Jeneri yang merupakan kubu kuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Anwar hadir berkempen sempena Karnival Segalanya Felda di Padang Awam Felda Teloi Timur, Jeneri – Dewan Undangan Negeri (DUN) tempat Muhammad Sanusi bertanding satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim. Selepas Jeneri, Anwar ke Jitra untuk acara PH-BN.
Sudah tentu kehadiran Anwar ke ‘wilayah’ Pas itu dirasai bahangnya oleh Muhammad Sanusi yang kebetulan menyambut hari kelahirannya yang ke-49 pada 4 Ogos.
Isu unsur nadir bumi (REE) di Baling dan peranan usahawan kontroversi Indonesia, ‘Reza Khalid’ yang dikaitkan dengan Anwar oleh Muhammad Sanusi, semakin menghangatkan pertembungan kedua-dua pemimpin itu menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Jika sebelum ini kita dikejutkan dengan gelombang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kini negara sekali lagi dikejutkan dengan ‘fenomena Muhammad Sanusi’.
Lantang bersuara dan berani mengetengahkan isu-isu panas, selain sering mengkritik Anwar menjadikan beliau ikon politik kontroversi tetapi disukai penyokongnya.
Tidak mustahil sekiranya perwatakan beliau akan mempengaruhi keputusan PRN di enam negeri, memandangkan nama Pengarah Pilihan Raya PN itu kini meniti di bibir pengundi bukan sahaja di Kedah.
Ramai mengandaikan gelombang biru PN pada PRU15 masih kekal sehingga kini dan gabungan itu mampu mengekalkan kuasa di Kedah.
Malah, fenomena ‘angkat tangan’ Muhammad Sanusi di Mahkamah Selayang, Selangor sebelum didakwa atas pertuduhan menghasut pada bulan lalu, mungkin sebagai sindiran kepada musuh politiknya, Anwar yang berbuat demikian ketika era reformasi, namun ia menjadi ikutan pula di media sosial.
Trend itu bukan sahaja menjadi ikutan anak muda dan kanak-kanak, malah golongan berusia 40 tahun ke atas malah warga emas turut mengangkat tangan ‘gaya Sanusi’.
Fenomena berlaku tepat menjelang PRN itu digunakan sebaik mungkin oleh Muhammad Sanusi untuk meraih sokongan. Ia secara tidak langsung meredakan sedikit isu REE yang semakin panas, lebih-lebih lagi selepas terdapat penganalisis meramalkan peluang PN di negeri ini sedikit terjejas susulan isu tersebut.
BEBAS PEMECAH UNDI
PN sebelum ini menyasarkan mampu memenangi 33 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN, sementara gabungan PH-BN yakin 16 kerusi sudah ada dalam tangan mereka.
Sasaran besar masing-masing ditentukan oleh pelbagai faktor, namun keputusan hanya ditentukan pengundi pada 12 Ogos ini.
Adakah mustahil untuk PN mencipta kejayaan sama seperti PRU15 yang hampir menyapu bersih 14 kerusi Parlimen, dan hanya satu milik PH? Ia kerana dalam PRN kali ini, Pas terpaksa berkorban beberapa kerusi untuk ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Terdapat juga protes terhadap calon PN yang tidak mendapat restu akar umbi, antaranya di DUN Ayer Hangat dan Kuah apabila pemimpin Pas Langkawi bertindak menjadi calon Bebas menentang calon PN. Situasi sama berlaku di Kota Siputeh oleh jentera dan penyokong PN.
Selain tiga kerusi itu, lima lagi kerusi seperti Derga, Guar Chempedak, Bukit Selambau, Bakar Arang dan Lunas menyaksikan kehadiran calon Bebas sebagai pemecah undi.
Antaranya pertembungan lima penjuru di Lunas, disertai tiga calon Bebas dan seorang calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Bakar Arang, menjadikan keseluruhan 83 calon menawarkan diri.
Pola pengundian kali ini turut menyaksikan lebih banyak DUN berdepan saingan dua penjuru antara PN dan PH-BN, berbanding PRU14 (2018) dan PRU15 (2022) yang lebih banyak melibatkan pertembungan tiga atau lebih penjuru.
Kawasan majoriti bukan Melayu seperti di Kota Darul Aman, Bakar Arang, Sidam pula lebih berpotensi menjadi milik PH. Kesemua gabungan politik –BN, PH dan PN mempunyai kekuatan tersendiri kerana masing-masing berpengalaman mentadbir negeri ini, menyebabkan pengundi lebih mudah menilai parti mana akan mereka pilih nanti.
Faktor parti mungkin menjadi pemberat kepada pengundi memilih calon, namun tawaran manifesto setiap parti juga boleh menjadi penentu.
Selain itu, penilaian pengundi terhadap calon-calon diketengahkan juga tidak boleh dianggap remeh, sentimen penolakan terhadap calon kitar semula mungkin masih berbekas.
Parti yang mempertaruhkan lebih ramai calon muda, bertenaga dengan pelbagai latar belakang mungkin lebih berpeluang menawan hati pengundi berbanding yang menampilkan wajah lama yang tidak lagi ‘berbisa’.
Mampukah PH-BN menewaskan PN menerusi serangan bagi menamatkan riwayat politik Muhammad Sanusi yang dianggap ancaman kepada mereka sama ada di peringkat negeri mahupun nasional?
Sekiranya kemaraan politik Muhammad Sanusi dapat disekat, ia bakal melumpuhkan PN memandangkan beliau ialah panglima perang (Ketua Pengarah Pilihan Raya PN).
Atau mampukah PN menang lebih bergaya kali ini berlandaskan kepada gelombang PRU15 lalu, aura Muhammad Sanusi yang menjadi fenomena, selain faktor calon boleh menang yang diketengahkan.
Klik di sini untuk terus membaca