DI SEBALIK ramalan enam pilihan raya negeri (PRN) akan mengekalkan status quo, pembacaan kepada status tersebut masih berbeza-beza. Paling menarik tentulah Selangor. Perebutan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka sengit dan... Klik di sini untuk terus membaca

DI SEBALIK ramalan enam pilihan raya negeri (PRN) akan mengekalkan status quo, pembacaan kepada status tersebut masih berbeza-beza.

Paling menarik tentulah Selangor. Perebutan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka sengit dan mencabar antara Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Untuk memberikan konteks, penguasaan majoriti mudah 29 kerusi bagi membentuk kerajaan tidak mustahil dicapai oleh mana-mana paksi walaupun di atas kertas PH-BN memiliki kelebihan.

Dalam hal itu, 34 kerusi Melayu akan menjadi faktor penentu potensi Selangor beralih kepada PN.

Untuk rekod ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN menang enam kerusi Parlimen berbanding PH (16). Namun, persekitaran dan suasana pilihan raya yang sudah berbeza dilihat tidak memihak PN.

Pertama, kerjasama PH-BN memberikan kelebihan ke atas PN. Jika calon dikemukakan kuat dan mantap, PH-BN mampu menang beberapa kerusi Melayu kerana keterpecahan undi PH-BN di enam kerusi dimenangi PN ketika PRU15 jelas menyumbang kepada kekalahan mereka.

Kedua, faktor pencapaian dan rekod PH mentadbir negeri. Ia sesuatu sukar diatasi PN jika membandingkan pencapaian negeri-negeri dikuasai mereka dengan pencapaian PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Ketiga, faktor tokoh. PN jelas tidak berupaya mengemukakan ‘poster boy’ mereka sebagai bakal menteri besar. Sepanjang perkembangan menuju PRN, PN Selangor tidak mempunyai pemimpin berkaliber dalam senarai walaupun secara implisit bekas menteri besar dan calon DUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat paling terkehadapan.

Dengan beliau mengetuai lafaz ‘Ikrar Taman Medan’ PN, Khamis lalu, ia cukup menghantar isyarat jelas tentang kedudukannya dalam PN dan PRN Selangor, di sebalik tidak mengumumkan Mohamed Azmin sebagai MB secara terang-terangan.

Sebagai calon kitar semula, Mohamed Azmin menjadi bebanan buat PN selepas tewas kepada bekas anak didiknya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Parlimen Gombak. Label pengkhianat masih membelenggu beliau walaupun bertanding di laman sendiri. Maka, apakah kebarangkalian Mohamed Azmin boleh menarik sokongan seperti dahulu sama ada dalam kalangan orang Melayu, apatah lagi bukan Melayu.

Apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghina institusi diraja Selangor, potensi orang Melayu menjauhkan diri daripada PN juga makin tinggi, sekali gus peluang menang 29 kerusi Melayu menjadi kritikal.

Persoalannya, bolehkah pemindahan undi UMNO-BN kepada PN berlaku? Setakat ini situasi dalam UMNO terbahagi kepada tiga kelompok. Pertama, kelompok anti-Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kedua, kelompok yang tiada masalah dengan Ahmad Zahid tetapi kecewa UMNO bekerjasama dengan DAP, dan ketiga, kelompok tiada masalah dengan kedua-duanya tetapi bermasalah dengan calon dipilih parti untuk kawasan.

Tiga kelompok itu kalau dapat diurus UMNO sepanjang tempoh PRN mampu untuk mengekalkan undi akar umbi daripada protes, sekali gus mengelak berlaku pemindahan undi kepada PN. UMNO dilihat tiada masalah melakukannya.

UMNO sebagai sebuah parti akar umbi mempunyai pengalaman luas. Ia bukan kali pertama UMNO berdepan masalah keyakinan dan berjaya menyelesaikannya. Kalau UMNO mampu untuk memastikan masalah akar umbi selesai dan bantuan undi PH, tidak mustahil UMNO mampu menghalang pemindahan undi sekali gus menghalang PN menang mudah kerusi majoriti Melayu.

Yang sukar mungkin menarik undi atas pagar Melayu untuk pergi kepada mereka, sesuatu yang jelas menjadi cabaran buat PH-BN dan kelebihan untuk PN. Isu Melayu-Islam dan sentimen 3R (Race, Religion dan Royalty) akan menjadi pancingan PN kepada pengundi atas pagar Melayu yang disasarkan kepada kelompok muda - tidak sepatutnya menjadi naratif politik bagi negeri maju dan makmur seperti Selangor.

Justeru, strategi PN untuk menumpukan kerusi-kerusi Melayu jelas berisiko. Mungkin inilah sahaja cara yang ada buat PN disebabkan ketiadaan komponen bukan Melayu bagi menyaingi PH.

Timbul juga keraguan bagaimana komposisi kerajaan Selangor jika PN menang tanpa sebarang perwakilan daripada bukan Melayu. Kemudian, siapa tokoh alternatif PN untuk mengepalai pentadbiran negeri selain Mohamed Azmin?

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Klik di sini untuk terus membaca