APAKAH faktor paling digeruni oleh sektor perniagaan seluruh dunia dalam berdepan cabaran ekonomi masa depan? Harga minyak? Keterjaminan makanan? Perubahan iklim dunia? Jawapannya, ketegangan geopolitik dunia.
Menurut kajian selidik yang dilakukan oleh Oxford Economics, sektor perniagaan kini melihat faktor ketegangan geopolitik sebagai ancaman paling besar kepada ekonomi global.
Sebanyak 36 peratus daripada jumlah responden mengakui ketegangan geopolitik dunia adalah risiko paling tinggi akibat krisis ketenteraan yang berlaku antara Rusia dan Ukraine yang kini telah tersebar menjadi konflik antara Rusia dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Asia Pasifik juga tidak terkecuali daripada menjadi penyumbang kepada ketegangan tersebut, dengan persaingan kuasa serantau antara Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung isu Taiwan telah dirumitkan oleh kempen perebutan kuasa antara pemimpin politik tempatan untuk menjadi calon dalam pemilihan presiden pada Januari 2024.
Dapatan kaji selidik tersebut yang dilakukan pada Julai tahun ini turut menunjukkan satu peralihan sentimen mendadak kerana menurut dapatan kaji selidik sama pada April lalu, sektor perniagaan masih melihat faktor kewangan sebagai faktor risiko paling tinggi.
Ternyata kini persepsi mereka telah berubah setelah persaingan geopolitik antara kuasa besar dunia semakin rancak dan bercelaru.
Jika dilihat dalam konteks Asia Pasifik yang lebih dekat dengan Asia Tenggara, arus persaingan kuasa-kuasa besar dunia telah merebak ke rantau yang seharusnya berpegang kepada prinsip blok negara-negara berkecuali.
Namun, realiti amat berbeza daripada falsafah akademi, jauh sekali trend persaingan kuasa-kuasa besar itu akan terhenti buat masa kini.
Bukan rahsia lagi bahawa sekian lama pihak Washington DC tidak begitu selesa dengan pengaruh besar China di rantau Asia, khususnya di Asia Tenggara.
Sejak zaman pentadbiran Presiden Obama, sudah ada usaha untuk membawa keseimbangan pengaruh China di rantau ini, khususnya pertalian ekonomi amat erat antara China dengan negara-negara Asia Tenggara.
Selepas zaman pentadbiran Presiden Donald Trump dan kini di bawah Presiden Joe Biden, AS dilihat lebih agresif mencatur gerakan di rantau Asia. Penubuhan Pakatan Pertahanan antara AS, United Kingdom (UK) dan Australia atau AUKUS pada September 2021 menjadi indikator paling jelas selera sebenar blok kuasa Barat dalam persaingan pengaruh di rantau Asia.
Walaupun di atas kertas, AUKUS dianggap sebagai perjanjian keamanan trilateral antara tiga negara tetapi kerana sifat hakiki pakatan tersebut adalah ketenteraan dan melibatkan aset nuklear, maka interpretasi pelbagai telah berlaku terhadap tujuan sebenar ‘perjanjian keamanan’ itu dilakukan begitu hampir dengan negara-negara blok Asia Tenggara.
Tahun ini pula, dengan rantau Asia Tenggara masih berusaha gigih menuju pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19, pergerakan geopolitik melibatkan kuasa besar tetap berlaku.
Pada April lalu, kerajaan Filipina telah memberi kebenaran kepada AS untuk menggunakan empat pangkalan ketenteraan iaitu dua kali lebih banyak akses pangkalan ketenteraan berbanding dahulu di bawah perjanjian Enhanced Defense Cooperation Agreement (EDCA) yang ditandatangani antara Filipina dengan AS pada 2014.
Mungkin hanya satu kebetulan lokasi-lokasi pangkalan tersebut agak ‘strategik’ iaitu menghala Laut China Selatan dan ia bakal menempatkan aset ketenteraan Amerika. Kita hanya bersangka baik.
* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.
Klik di sini untuk terus membaca