BUKAN permulaan tetapi pengakhiran perjalanan kehidupan itu yang paling penting. Itulah kata-kata penuh hikmah yang popular sejak akhir-akhir ini.
Ia amat sesuai untuk memberikan semangat kepada golongan muda yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atas pelbagai faktor.
Laporan yang menyatakan puluhan ribu pelajar di negara ini gagal mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat membimbangkan sehingga timbul persoalan, apa sudah jadi dengan golongan tersebut.
Ia bukan sahaja memberi kesan besar kepada kehidupan pelajar itu pada masa depan, malah turut mendatangkan impak ke atas sektor pekerjaan di Malaysia. Bayangkan jika negara kekurangan pekerja profesional dan menyebabkan pelabur lari ke negara lain.
Atas sebab itulah, strategi untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Masa depan negara kini adalah ke arah ekonomi teknikal yang memerlukan ke-mahiran tertentu.
Bagi memastikan golongan muda tertarik dan mempunyai minat tinggi, pihak kerajaan meletakkan sasaran pembayaran gaji lebih tinggi antara RM2,500 hingga RM3,000 kepada graduan TVET.
Ketika ini gaji diterima graduan berkemahiran berkenaan secara umumnya masih di bawah RM2,000 berbanding pekerja TVET di luar negara yang menikmati gaji lebih baik.
Tinjauan gaji yang dilakukan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendapati gaji pokok minimum tanpa pengalaman kerja bagi eksekutif dan bukan eksekutif pada tahun lalu adalah RM1,936 untuk pemegang diploma, sementara ijazah menerima RM2,805.
Menurut laporan MEF lagi, peratusan pekerja mahir dalam pasaran buruh pada masa kini kira-kira 29 peratus, perlu dipertingkatkan kepada 35 peratus menjelang 2025.
Justeru, pertubuhan itu menyambut baik hasrat kerajaan meningkatkan populariti pendidikan TVET dan menghapuskan stigma selama ini dilabelkan sebagai pendidikan kelas kedua serta hanya untuk individu kurang cemerlang dalam akademik.
Malah, MEF berkeyakinan majikan tiada masalah membayar gaji tersebut kepada pekerja yang mempunyai kemahiran dan kecekapan tertentu.
Dengan penawaran gaji yang kompetitif, ia bukan sahaja meningkatkan kepuasan kerja dan mengurangkan kadar pekerja berhenti, malah menjimatkan kos operasi majikan dengan mengurangkan perbelanjaan pengambilan serta latihan pekerja baharu.
Bagaimanapun, ibu bapa dan bakal pelajar dinasihatkan agar memilih bidang yang benar-benar sesuai dengan minat serta kebolehan dimiliki.
Hanya dengan mengambil keputusan betul akan memastikan seseorang graduan itu akan menjadi individu yang bukan sahaja kompeten, malah mampu mencapai tahap profesionalisme tinggi dalam bidang diceburi.
Satu lagi inisiatif yang bakal diperkenalkan ialah Academy in Industry (AiI), bertujuan memberi peluang kepada lepasan SPM untuk terus bekerja dan dilatih menjadi pekerja mahir.
Ia adalah idea yang sangat bagus demi masa depan golongan muda di negara ini. AiI membolehkan seseorang itu bekerja dalam tempoh 18 bulan dengan syarikat terlibat dengan program tersebut. Mereka akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia dan pada masa sama turut bekerja.
Selepas tamat tempoh, mereka bukan sahaja boleh meneruskan untuk bekerja di syarikat berkenaan, malah boleh menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Difahamkan, konsep AiI telah dilaksanakan di Perancis dan Jerman. Ia dibuat berlandaskan pendekatan demand-driven yang dilaksanakan atas dasar permintaan industri melalui konsep Place and Train.
Ia dijangka menyumbang kepada sasaran pertumbuhan produktiviti dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada kadar 3.6 peratus setahun dan 40 peratus sumbangan pampasan kepada pekerja pada 2025.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian.
Klik di sini untuk terus membaca