DUNGUN - Terdapat 186 lokasi berisiko kepala air di seluruh Malaysia yang dikesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan jumlah tertinggi membabitkan 52 lokasi diikuti Kedah (24), masing-masing 18 lokasi di Kelantan dan Terengganu, serta Sarawak (19).
Sejumlah 17 lokasi lain pula masing-masing berada Negeri Sembilan dan Perak, selain Selangor (6), Perlis (5), Johor (5) Pahang (3), Kuala Lumpur (1) dan Melaka (1).
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab berkata, insiden kepala air adalah serius kerana melibatkan ancaman nyawa.
Beliau berkata, fenomena kepala air berlaku di kawasan air terjun dengan satu gelombang aliran air dalam isi padu yang besar dan bergerak pantas mengalir dari bahagian atas.
"Apabila berlaku kepala air, pengunjung sukar untuk mendapatkan khidmat operasi menyelamat dengan pantas atas faktor tempat dan laluan yang sukar.
"Ramai yang pergi ke lokasi yang jauh dan mereka terokai lebih awal sebelum menguar-uarkannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM di sini baru-baru ini.
Abdul Wahab berkata, JBPM tidak menggalakkan kehadiran pengunjung ke tempat baharu kecuali terdapat kajian atau input selain mempunyai kemahiran tertentu dengan peralatan asas.
Menurutnya, apabila berkunjung ke lokasi air terjun atau sungai untuk beriadah, pastikan cuaca terutamanya dalam keadaan baik.
"Jika nampak tanda cuaca gelap di sebelah hulu atau bahagian atas, adanya guruh dan tanda mahu hujan, pengunjung perlu pindah kerana ia berisiko berlaku kepada air dan tidak sesuai untuk beriadah,” katanya.
Mengulas mengenai punca terjadinya kepala air, Abdul Wahab menjelaskan, pembalakan dan kerja penggalian tanah antara faktor utama.
"Apabila terdapat sisa pembalakan dan sisa tanah di kawasan itu menyebabkan wujudnya sekatan hingga menjadi takungan besar yang menampung kuantiti air banyak.
"Ia bukan sesuatu yang kukuh kerana dibina atas faktor semula jadi, ibarat ‘bom jangka’ dan tidak tahu bila akan hilang kekuatan dari segi tampungan air.
"Sebab itu jika di kawasan air terjun, sekiranya ada aliran air luar biasa deras, ada sisa kayu, ranting, daun mengalir selain warna air berubah menjadi keruh, perlu segera beredar. Tanda awal ini yang perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengunjung supaya mengambil kira lokasi yang dikunjungi terlebih dahulu sama ada selamat atau tidak.
"Perlu diambil kira juga cuaca, fahami risiko yang akan terjadi selain mematuhi papan tanda amaran di kawasan riadah,” katanya.
TEMPATKAN PASUKAN ELIT
Menurut Abdul Wahab, bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) kes kepala air berskala besar, JBPM akan menempatkan beberapa pasukan khas bagi memantapkan gerakan semasa pengoperasian.
"Penugasan pasukan khas untuk operasi SAR bergantung kepada kepakaran khas sesebuah pasukan. Bagaimanapun, ia perlu melihat kepada keperluan untuk memanggil bergantung kes yang diterima.
"Biasanya respons pertama adalah daripada balai bomba terdekat. Mereka akan hadir untuk pemantauan awal dan pencarian mangsa di permukaan dan seterusnya pasukan khas akan diaktifkan jika usaha pencarian gagal,” ujarnya.
Beliau berkata, pasukan khas itu terdiri daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit Anjing Pengesan (K9), Unit Dron, Unit Komunikasi dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
Katanya, PPDA ialah pasukan yang dilengkapi peralatan asas menyelamat bagi apa sahaja situasi di air dengan aset seperti bot dan peralatan asas.
"K9 pula ada satu disiplin khas untuk mencari mangsa dalam air sama ada yang mati atau masih hidup. Anjing ini boleh mengesan dan mampu menghidu 1.8 meter ke dalam. Ini juga banyak digunakan untuk operasi SAR mangsa tanah runtuh bagi mempercepat operasi mencari.
"Selain itu, pasukan elit STORM yang menjalankan kerja lasak berpanjangan juga akan menggerakkan kerja SAR dengan mengendalikan alatan seperti peta, sistem penentu kedudukan global (GPS),” katanya.
Bagi Unit Komunikasi pula katanya, pasukan itu akan memudahkan sistem perhubungan antara pasukan yang biasanya menjadi sukar sekiranya berada di kawasan jauh dan tiada liputan telekomunikasi.
"Bagi pemantauan di udara dan kawasan sukar dilalui, Unit Dron memainkan peranan penting kerana mampu membuat liputan di lokasi yang luas,” katanya.
Selain itu, katanya, anggota EMRS turut ditempatkan di lokasi-lokasi bencana seperti itu untuk memberikan rawatan awal kepada mangsa yang selamat selain melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap anggota operasi.
Abdul Wahab berkata, kekuatan mental dan fizikal amat penting selain pengalaman serta kekuatan.
"Setiap operasi berbeza senario dan risiko kerana ia memerlukan perancangan yang baik. Apabila operasi berskala besar, pasukan khas akan bersama untuk mengatur rancangan pergerakan gerak kerja oleh komander operasi.
"Syif bekerja dirancang mengikut kemampuan, peranan dan tanggungjawab termasuk aset yang ada. Seperti kes tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, operasi dijalankan 24 jam dengan peralatan selain mengambil kira faktor cuaca dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata, oleh sebab itulah STORM diberi pendedahan yang cukup untuk bekerja dengan lasak dan pelbagai cuaca.
"Mereka ini terlatih dan mampu melaksanakan tugas, namun kita akan melihat dari segi fizikal dan pemeriksaan kesihatan di lokasi seperti tekanan darah, darah tinggi dan oksigen.
"Kadangkala mereka ini sorok kesakitan. Niat mereka ini untuk mencari mangsa secepat mungkin dan tugas diteruskan mengikut kemampuan,” katanya.
Menurutnya, apabila anggota ditanam dengan semangat untuk mencari mangsa, sakit ringan tidak akan menghalang tugas.
"Mereka sanggup teruskan tugas berbanding kesakitan dialami. Walaupun ditanya, mereka tidak mengadu kerana adanya semangat untuk jayakan sesuatu operasi dan sanggup berkorban.
"Mereka sanggup gadai nyawa. Itu memang ditanam dalam jiwa mereka dan sedaya upaya untuk selamatkan mangsa.
"Kita tetap nilai risiko. Apa pun kita tetap ingatkan faktor dan keselamatan diri untuk diambil kira dahulu, setelah ambil kira semua aspek, mereka akan bertindak bersama pasukan,” katanya.
Abdul Wahab juga berbangga dengan pegawai dan anggota semua peringkat yang menunjukkan semangat kerja berpasukan amat tinggi.
KEMUDAHAN LATIHAN DALAM AIR PERTAMA DI ASIA
Kompleks Latihan Penyelamatan di Air terbesar di rantau Asia terletak di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Terengganu dijangka bakal disiapkan pada Mei tahun hadapan.
Ia dilengkapi tempat latihan renang dan penyelamatan di permukaan air.
Abdul Wahab berkata, satu jawatankuasa siasatan bebas telah dibentuk susulan tragedi enam anggota bomba yang meninggal dunia ketika operasi menyelamat remaja di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada Oktober 2018.
Menurutnya, satu cadangan dikemukakan supaya JBPM mempunyai tempat latihan khusus.
"Kerajaan telah meluluskan pembinaan simulasi penyelamatan di air di Wakaf Tapai, Terengganu. Akademi ini dalam proses pembinaan dan berada di tahap 39 peratus mengikut jadual selepas mula dibina pada Januari 2021.
"Ia mempunyai ciri-ciri latihan, surface water rescue, terjunan platform, aliran anak sungai dan lain-lain. Semua mengikut ciri-ciri modul.
"Ini merupakan kompleks latihan penyelamatan yang pertama di rantau Asia yang mempunyai kemudahan latihan dalam air,” katanya.
Beliau berkata, kompleks berkeluasan 1.6 hektar yang melibatkan kos kira-kira RM40 juta itu akan meningkatkan kemahiran menyelamat anggota bomba khususnya penyelamatan di air seperti kes kepala air atau lemas.
Menurutnya, jika sebelum ini bomba tidak mempunyai tempat latihan khas, tetapi pada masa akan datang kompleks berkenaan mampu dijadikan sebagai tempat latihan air utama di negara ini.
Dalam pada itu, Abdul Wahab berkata, JBPM menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) 2023 dijangka menerima perolehan aset baharu, antaranya 80 unit pam angkut dan aksesori, 50 unit alatan menyelamat hidraulik dan aksesori dan 150 buah bot.
"Kita juga akan menerima perolehan 12 ekor anjing pengesan (K9) dengan kelengkapan selain perolehan peralatan khas menyelamat helikopter membabitkan 10 unit payung terjun serta set underslung tactical rescue platform,” ujarnya.
186 lokasi risiko kepala air seluruh Malaysia:
1) Sabah 52
2) Kedah 24
3) Sarawak 19
4) Kelantan 18
5) Terengganu 18
6) Perak 17
7) Negeri Sembilan 17
8) Selangor 6
9) Johor 5
10) Perlis 5
11) Pahang 3
12) Kuala Lumpur 1
13) Melaka 1
Pasukan Khas, Elit JBPM
- STORM
- Unit Komunikasi
- Unit Dron
- K9
- PPDA
Tips kesan tanda awal kepala air:
- Cuaca gelap/mendung dan hujan
- Hujan lebat di hulu sungai
- Bunyi dentuman batuan dalam air
- Aliran air semakin deras dengan tiba-tiba
- Muncul buih-buih di permukaan air
- Air bertukar warna kekuningan/keruh
- Aliran air bawa ranting/daun kering
- Bunyi siren di kawasan riadah
Antara insiden kepala air
di Malaysia:
1 Julai 2023
- Tragedi Jeram Mawar, Air Putih di Chukai, Kemaman mengorbankan 10 nyawa.
15 Mei 2023
- Kepala air melanda kaki Gunung Jerai, Titi Hayun, Yan Kedah, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa.
22 April 2023
- Seramai 12 pengunjung diselamatkan di Air Terjun Sungai Sendat, Kuala Lumpur.
12 November 2022
- Tujuh remaja lelaki terperangkap di Sungai Membatu, Jalan Lahad Datu, Sabah.
Klik di sini untuk terus membaca