DUNGUN - Bukit Besi atau dahulunya dikenali sebagai Bukit Seri Bangun, merupakan sebuah lokasi gah kerana pernah menjadi penempatan komuniti antarabangsa yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bijih besi bermula pada tahun 1929. Kawasan... Klik di sini untuk terus membaca

DUNGUN - Bukit Besi atau dahulunya dikenali sebagai Bukit Seri Bangun, merupakan sebuah lokasi gah kerana pernah menjadi penempatan komuniti antarabangsa yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bijih besi bermula pada tahun 1929.

Kawasan tersebut terkenal kerana didiami warga British, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Belanda, Jerman, Afrika Selatan, India dan China.

Warga emas, Jusof Muda, 67, yang merupakan penduduk asal Bukit Besi berkata, beliau sangat teringin untuk melihat kawasan berkenaan kembali meriah persis zaman kanak-kanaknya dahulu, dengan kegiatan ekonomi dan aktiviti perlombongan bijih besi yang rancak sekali gus menarik penduduk berhijrah dan mendiami kawasan itu.

Pelajar sekolah melakukan lawatan melihat salah satu terowong di Bukit Besi.

"Kini nama kawasan ini Bandar Bukit Besi tetapi ia seolah-olah bandar ‘mati’ kerana selain penempatan penduduk tempatan, tiada pembangunan lain yang boleh dibanggakan dan kalau nak membeli-belah kami terpaksa pergi ke Kuala Dungun,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Seorang lagi penduduk, Abd Jabbar Jalil, 66, berkata, beliau ingin melihat Bukit Besi dibangunkan semula secara lebih proaktif, sesuai dengan taraf bandar yang diberikan terhadap kawasan itu.

"Banyak sejarah yang ada di kawasan ini. Ia merupakan antara tempat perlombongan terawal di Terengganu dan harus dijaga dengan baik supaya generasi akan datang dapat mengetahui sejarah perlombongan bijih besi di negeri ini,” katanya.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1929-1945, syarikat Nippon Mining Company telah membina cerobong asap tempat melebur bijih besi dijadikan jongkong dan dijadikan bahan pertukaran dengan negara Siam untuk mendapatkan beras.

Sementara itu, menurut jurucakap Muzium Bukit Besi, pada era kegemilangannya, aktiviti sosioekonomi di Bukit Besi sentiasa aktif dan ia merupakan sebuah penempatan yang menjadi tumpuan serta amat terkenal selain turut didiami oleh pelbagai bangsa tanpa mengira warna kulit dan latar belakang negara.

"Pelbagai kemudahan tersedia di sini pada waktu itu seperti stesen kereta api, sekolah, balai polis, balai bomba, hospital, pejabat pos, rumah kelab, dewan dan kolam renang bagi menampung kepesatan aktiviti perlombongan dan penduduk dari pelbagai negara.

Pemandangan dari udara kawasan perlombongan di bandar kecil bersejarah Bukit Besi yang terletak di dalam kawasan Ketengah dan termasuk di dalam jajaran Lebuh Raya Jerangau - Jabor.

"Syarikat perlombongan ketika itu turut mementingkan aspek pendidikan kepada anak-anak pekerja lombong dengan membina sekolah Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil selain menyediakan peruntukan besar kepada sekolah-sekolah menerusi pemberian percuma buku teks, alat tulis, peralatan sukan, alat muzik dan lain- lain,” katanya.

Difahamkan, ketika ini masih terdapat kira-kira enam syarikat dalam dan luar negara yang aktif meneruskan aktiviti perlombongan bijih besi di sini. - Bernama

Klik di sini untuk terus membaca