TOKYO - Impak fenomena pemanasan global dan perubahan iklim semakin mengganas sejak akhir-akhir ini.
Ia telah mencetuskan cuaca tidak menentu dan luar biasa serta menyebabkan taufan yang amat dahsyat dan membinasakan.
Pada awal minggu lalu, Khanun menjadi taufan ketiga melanda Asia Timur dan mengakibatkan hujan terburuk di Beijing dalam tempoh lebih seabad.
Khanun yang membawa angin kencang berkelajuan sehingga 250 kilometer sejam muncul selepas dua taufan kuat, Talim dan Doksuri yang membawa hujan lebat melanda Taiwan serta Filipina yang menyebabkan puluhan terkorban.
Sebelum ini, saintis iklim pernah memberi amaran keadaan cuaca luar luar biasa seperti ribut taufan akan menjadi lebih kerap yang turut menyaksikan beberapa bahagian di dunia mengalami gelombang haba ekstrem.
Khanun yang dikategorikan sebagai taufan tahap kedua paling kuat itu turut melanda selatan Jepun hingga memaksa pemindahan kira-kira 20,000 penduduk, bekalan elektrik terputus dan ratusan penerbangan terpaksa dibatalkan ketika kemuncak musim pelancongan di Pulau Okinawa.
Ribut kuat seperti itu dikatakan jarang berlaku pada masa ini di Jepun.
Profesor Winston Chow di Singapore Management University turut menyamakan cuaca ekstrem ketika ini dengan permainan rolet.
"Cuaca luar biasa akan berlaku apabila petak hitam bertukar merah. Terdapat kemungkinan bola berhenti lebih banyak pada petak merah,” katanya yang merujuk petak merah sebagai impak perubahan iklim.
Kesan gabungan tiga ribut itu telah menenggelamkan ibu kota China dan wilayah jiran seperti Tianjin dan Hebei sejak minggu lalu yang menyaksikan kira-kira 974,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
Beberapa hari lalu, Beijing turut mengalami hujan lebat paling luar biasa dalam tempoh 140 tahun, sekali gus memecahkan rekod pada 1891.
Pada Khamis, penduduk mula melakukan operasi pembersihan di kawasan terjejas banjir dahsyat dan tanah runtuh di utara China yang telah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa serta mengakibatkan kemusnahan infrastruktur yang besar.
"Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini. Bencana pada 2012 juga tidak seteruk ini,” kata penduduk dikenali sebagai Chen yang mengimbau semula kejadian hujan lebat sedekad lalu dan mengorbankan 79 nyawa. Foto: Agensi/ AFP
Klik di sini untuk terus membaca