PADA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Pakatan Harapan ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat menjadi... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Pakatan Harapan ditunjangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat menjadi juara berkempen dalam media sosial.

Pada satu ketika, ceramah mega koalisi itu di Ampang memperlihatkan jumlah tontonan melebihi 1 juta penonton sehingga memperkuatkan lagi bakal berlakunya gelombang rakyat menolak pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan pelbagai skandal seperti isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International membabitkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dan akhirnya, jumlah tontonan yang tinggi di media sosial Facebook diterjemahkan pada hari pengundian 9 Mei 2018 sehingga menyebabkan buat kali pertamanya dalam tempoh lebih 60 tahun, BN akhirnya kecundang.

Pada tahun 2022 iaitu ketika berlangsungnya PRU15, naratif sama dimainkan oleh setiap parti bertanding dan Perikatan Nasional (PN) dikuatkan dengan gabungan Bersatu dan Pas berjaya menambat hati pengundi sehingga tercetusnya gelombang hijau di mana tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan dikuasai sepenuhnya oleh koalisi parti itu.

Kini seminggu selepas tempoh berkempen pilihan raya negeri (PRN) melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, PH-BN dan PN masing-masing ‘berperang’ bukan sekadar secara konvensional malah melalui media sosial masing-masing.

Kempen politik PN misalnya dimeriahkan dengan kandungan TikTok Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sering mendapat tontonan tinggi tambahan pula nama Muhammad Sanusi dilihat semakin menjadi buah mulut selepas beliau berdepan dengan dua pertuduhan di mahkamah.

Gabungan PH-BN juga turut tidak mahu ketinggalan memanfaatkan platform media sosial mereka untuk memperkenalkan barisan calon dan manifesto parti menjelang PRN.

Justeru, selain faktor parti, manifesto dan kehebatan ikon parti, misalnya Muhammad Sanusi untuk PN dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk PN-BN, dua bentuk kempen ini sememangnya mampu menarik audiens yang ramai.

Namun adakah audiens ramai cukup untuk dijadikan indikator awal sebuah parti itu akan mengecap kemenangan dalam persaingan PRN kali ini?

Bukan indikator mutlak

Menurut penganalisis politik dan media sosial dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy, kehadiran penyokong yang ramai di lapangan atau jumlah sokongan maya yang tinggi di media sosial bukan indikator mutlak yang boleh menjamin kemenangan sebuah parti.

"Kalau kita lihat PN menjadi champion atau pelopor dalam penggunaan media sosial seperti TikTok ketika PRU15 lalu, malah banyak ikon PN seperti Muhammad Sanusi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi popular di aplikasi tersebut.

"Kini trend tersebut menjadi ikutan parti lain termasuk PH-BN dan masing-masing berlumba-lumba menggunakan platform media sosial untuk mempromosi calon, manifesto dan kempen parti demi meraih undi penyokong,” katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun Sara akui kempen media sosial boleh menjadi nilai tambah kepada keberkesanan kempen fizikal seperti memasang poster dan ceramah rakyat.

"Sebaiknya, parti politik harus menggunakan media sosial seperti TikTok yang tidak mempunyai had umur audiens untuk mengetengahkan kandungan politik (kempen) matang yang berunsurkan fakta dan bukannya menyebarkan fitnah.

"Pengisian yang bijak oleh parti politik di media sosial sekali gus membuka ruang deliberation (perbincangan yang mendalam) politik untuk rakyat atau pengundi dalam membuat pilihan parti mana yang wajar dipangkah pada PRN kali ini,” katanya.

Kempen media sosial boleh menjadi nilai tambah kepada keberkesanan kempen fizikal seperti memasang poster dan ceramah rakyat. - Gambar hiasan
Kempen media sosial boleh menjadi nilai tambah kepada keberkesanan kempen fizikal seperti memasang poster dan ceramah rakyat. - Gambar hiasan
Kempen media sosial boleh menjadi nilai tambah kepada keberkesanan kempen fizikal seperti memasang poster dan ceramah rakyat. - Gambar hiasan

SEBAHAGIAN CARA BERKEMPEN

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi pula berkata, pelbagai bentuk kempen harus digerakkan parti dan calon untuk memastikan mesej sampai kepada seramai mungkin segmen pengundi yang berbeza-beza.

"Ini termasuklah kempen fizikal seperti ceramah dan rapat umum, walkabout (jelajah mesra), bendera dan juga kempen media sosial menerusi ceramah live, pempengaruh media sosial dan laskar siber parti-parti tersebut.

"Sambutan dan kehadiran dalam program politik tersebut masih boleh dijadikan indikator sokongan rakyat, namun penilaian sokongan itu tidak boleh bergantung kepada salah satu platform semata-mata sama ada fizikal atau dalam talian sahaja,” katanya.

Menurut beliau, kehadiran dan sambutan dari kedua-dua platform harus dilihat secara bersama dalam memahami arus sokongan rakyat kepada sesebuah parti secara menyeluruh.

Malah sekiranya berlaku program fizikal dan liputan secara langsung serentak antara dua parti lawan, Anis berkata, perbandingan sambutan adalah masih relevan untuk dilihat parti dan calon manakah yang lebih mendapat perhatian pengundi.

NILAI KEPIMPINAN

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi turut sama berpendapat, kehadiran penyokong yang ramai dalam ceramah politik tidak boleh dijadikan penentu kejayaan sebuah parti dalam PRN.

"Jumlah kehadiran penyokong yang ramai di lapangan belum tentu boleh dijadikan kayu pengukur parti mana boleh menang.

"Apatah lagi sebahagian besar pengundi khususnya golongan muda dilihat lebih selesa menggunakan platform media sosial untuk mendapatkan maklumat politik berbanding menghadiri ceramah atau kempen,” kata beliau.

Ujarnya, rakyat turut melihat dan menilai kepimpinan parti seperti karakter Muhammad Sanusi dan Anwar yang diketahui lantang dalam berkempen dan tidak segan silu ‘membahan’ antara satu sama lain.

"Perang kempen fizikal adalah normal dalam sistem demokrasi pilihan raya, namun rakyat berkuasa menentukan pemimpin dan parti mana wajar dipilih berdasarkan kemampuan menangani pelbagai isu politik dan nasional,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca