DALAM tempoh beberapa dekad selepas hari kemerdekaan, hanya Sabah dan Sarawak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) berasingan daripada pilihan raya umum (PRU). Kemudian, hanya tinggal Sarawak mengadakan PRN berasingan. Namun, sejak 2020,... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM tempoh beberapa dekad selepas hari kemerdekaan, hanya Sabah dan Sarawak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) berasingan daripada pilihan raya umum (PRU). Kemudian, hanya tinggal Sarawak mengadakan PRN berasingan.

Namun, sejak 2020, Sabah, Melaka dan Johor mengadakan PRN lebih awal daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sementara Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor serta Negeri Sembilan memilih mengadakannya selepas PRU15.

PRN Sabah agak ‘sejuk’ kerana ia berlangsung dalam keadaan negara sedang diancam pandemik Covid-19. Pelbagai sekatan dan peraturan mengurangkan kehangatan kempen.

PRN Melaka dan Johor pula berlangsung dalam keadaan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan ketua parti serta dua komponen utama kerajaan – Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bertanding berasingan.

Justeru, Ismail Sabri tidak menjadikan PRN tersebut sebagai sesuatu yang terlalu peribadi dan platform untuk beliau melebarkan pengaruh politiknya.

Namun, PRN kali ini datang dalam keadaan landskap politik telah berubah. Daripada pertandingan tiga penjuru besar antara BN, PN dan Pakatan Harapan (PH) kepada dua penjuru utama PH-BN menentang PN.

Salah satu faktor utama menjadikan PRN kali ini agak panas adalah keterdesakan PH untuk menyekat gelombang PN daripada melepasi sempadan Kedah. Wujud kebimbangan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan menjadi kawasan baharu PN, sekali gus akan menjejaskan asas kekuatan PH.

Kedua, kerjasama politik PH-BN turut terdesak untuk memenangi sebahagian kerusi-kerusi di Kedah, Kelantan dan Terengganu bagi mengabsahkan sokongan orang Melayu terhadap gabungan tersebut.

Penyertaan BN atau lebih tepat UMNO dalam kerajaan Persekutuan dikatakan tidak direstui sebahagian besar pengundi mereka pada PRU15.

Justeru, PH-BN pasti mahu sekurang-kurangnya mengekalkan status quo seperti sekarang iaitu menguasai tiga negeri sedia ada dengan selesa – Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sebarang kemerosotan ketara di tiga negeri itu boleh mencetuskan ‘perang saudara’ sesama mereka.

Satu faktor menarik pada PRN kali ini ialah ia menjadi seolah-olah satu pertarungan antara kerajaan Persekutuan dan penjaga sementara jawatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Daripada Perdana Menteri sehinggalah kepada menteri kanan seperti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli memfokuskan kepada usaha menjatuhkan kredibiliti Muhammad Sanusi.

Dalam keadaan mahu mengekalkan tiga negeri tersebut, PH-BN juga percaya merampas atau sekurang-kurangnya menang banyak kerusi di Kedah akan meningkatkan moral penyokong mereka.

Ia seolah-olah by hook or by crook, Kedah mesti ditawan oleh PH-BN. Jika itu berjaya, PH-BN bukan sahaja akan menyekat gelombang pihak lawan, malah mematikan terus watak Muhammad Sanusi yang menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran Persekutuan.

Namun, membenam Muhammad Sanusi bukan mudah walaupun ia juga bukan mustahil. Bukan mudah kerana Muhammad Sanusi berada dalam liga tersendiri berbanding ahli politik lain di Kedah. Kebanyakan ahli politik lain sama ada ‘penjual ubat’, pegawai tadbir atau naik melalui naungan politik.

Sebaliknya, Muhammad Sanusi adalah sebahagian kecil menjadi pemidato hebat, pempengaruh media sosial dan menguasai pentadbiran negeri sekali gus.

Justeru, segala ‘peluru’ yang ditembak kepada beliau sama ada oleh Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri dan sekali-sekala oleh Menteri Ekonomi terus akan menerima jawapan serta serangan balas daripada Muhammad Sanusi yang berselang seli antara fakta dan sindiran sinis.

Daripada isu Lapangan Antarabangsa Kulim, perlombongan unsur nadir bumi (REE), pelaburan Infineon Technologies AG sehinggalah kepada pemberian geran tanah, pewartaan tanah pertanian dan sumber air negeri, Muhammad Sanusi meletakkan dirinya sebagai hero kepada penduduk kedah.

Ditangkap jam tiga pagi menjadikan beliau lebih popular. Semakin ramai orang mahu mendengar ucapan beliau. Pemilik akaun media sosial berebut menyiar semula ucapan Muhammad Sanusi kerana mendapat jumlah tontonan sangat tinggi.

Walaupun Muhammad Sanusi berada dalam liga tersendiri, namun kelebihan PH-BN tidak harus dipandang remeh. Jika tidak berhati-hati, tempoh tujuh hari lagi boleh mengubah nasib beliau.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca