DALAM dunia yang semakin berhubung kait, dengan perkembangan di sebuah negara besar mempengaruhi seluruh dunia, amat penting bagi negara perdagangan seperti Malaysia mempunyai kekuatan sendiri. Ambil contoh, kesan penurunan penarafan... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM dunia yang semakin berhubung kait, dengan perkembangan di sebuah negara besar mempengaruhi seluruh dunia, amat penting bagi negara perdagangan seperti Malaysia mempunyai kekuatan sendiri.

Ambil contoh, kesan penurunan penarafan pinjaman kerajaan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini ke atas nilai ringgit dan harga di Bursa Malaysia.

Agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings telah menurunkan penarafan hutang kerajaan pusat AS daripada tiga A (AAA) kepada dua A campur (AA ).

Fitch memberi alasan peningkatan hutang kerajaan pusat AS dan hakisan tadbir urus yang berpunca daripada kegagalan mencapai persetujuan mengenai had hutang kerajaan pusat.

Inilah ironi, ketidakadilan dan manipulasi peringkat global yang melihat dolar AS terus kukuh walaupun hutang kerajaan AS bertimbun serta hampir muflis.

Masalah hutang kerajaan pusat AS begitu buruk sehingga ada waktu-waktu perkhidmatan kerajaan terpaksa digantung kerana ketiadaan wang.

Pada masa sama, mata wang negara-negara membangun terus merosot kerana ‘mabuk’ (addicted) kepada dolar AS, dalam erti kata semua urusan jual beli luar negara menggunakan dolar AS.

Sudahlah kadar tukaran jangka panjang ringgit kepada dolar sudah merosot hampir satu dekad, keadaan itu diburukkan lagi oleh ketidaktentuan ekonomi dan pentadbiran AS yang tidak kena mengena dengan kita.

Walaupun kita sudah mempunyai kerajaan baharu selama lebih lapan bulan, namun kadar tukaran ringgit masih terumbang-ambing. Kalau kita lihat tahun sehingga hari ini (year-to-date), nilai ringgit sebenar makin lemah.

Ia jatuh daripada RM4.40 bagi setiap satu dolar pada 2 Januari lalu kepada RM4.55 semasa penutupan pasaran 4 Ogos, malah pernah jatuh hingga RM4.66 pada 26 Jun lalu.

Akibat kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan harga antarabangsa, harga import bagi bulan Jun meningkat kepada 128.40 mata berbanding Mei. Inilah antara sebab harga barang-barang import atau mengandungi bahan-bahan import seperti makanan haiwan naik.

Oleh sebab itu jugalah, walaupun inflasi Jun reda kepada 2.4 peratus tetapi inflasi makanan lebih tinggi pada kadar 4.7 peratus. Harga di Pasaran Saham Malaysia pula terus merosot daripada permulaan tahun. Indeks Komposit Bursa Malaysia (KLCI) turun daripada 1,480.55 pada 2 Januari kepada 1,445.22 pada 4 Ogos.

Sepatutnya apabila nilai dolar naik berbanding ringgit, pelabur asing lebih berminat membeli saham-saham di Bursa Malaysia. Namun, dalam tempoh 27 minggu pertama tahun ini, pelabur asing menjadi penjual bersih bagi 21 daripadanya dengan pengaliran keluar sebanyak RM4.45 bilion. Baru dalam masa sebulan ini nampak sedikit peningkatan harga.

Kadar tukaran ringgit dan indeks KLCI adalah antara contoh keterbukaan ekonomi Malaysia. Ia bergantung kepada kegiatan perdagangan dalam dan luar negara.

Sumber Bank Dunia mengatakan bagi tahun 2022, perdagangan (dalam dan luar negara) sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 141 peratus. Maksudnya, ekonomi Malaysia amat bergantung kepada perdagangan.

Maka, dalam konteks itu, kita harap kerajaan hari ini dan pada masa akan datang arif dalam hal-hal berkaitan perdagangan serta mata wang.

Saya kurang pasti mengenai pendirian kerajaan dan agensi-agensi kewangan seperti Bank Negara mengenai peraturan jangka panjang perdagangan serta mata wang kita.

Namun, di negara-negara ekonomi besar yang dilabelkan sebagai BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) telah pun memulakan inisiatif mewujudkan mata wang baharu.

Buat permulaan, mata wang tersebut akan digunakan untuk perdagangan dalam kalangan negara anggota walaupun 41 negara lain di luar Eropah Barat dan Amerika Utara telah menyatakan minat turut sama.

Bagaimanapun, carian saya gagal menemui sebarang maklumat mengenai pendirian rasmi kerajaan dalam hal tersebut walaupun ahli ekonomi tempatan mengalu-alukannya.

Sebagai negara perdagangan, kita memerlukan dasar dan kepimpinan yang dinamik dalam bidang ekonomi, kewangan serta mata wang.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca