SHAH ALAM - Proses meminda perlembagaan parti bagi mengenakan denda RM1 juta kepada ahli yang melakukan sabotaj adalah tertakluk kepada Akta Pertubuhan 1966 dan ia tidak boleh dianggap sebagai menyekat hak kebebasan berpersatuan. Pakar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Proses meminda perlembagaan parti bagi mengenakan denda RM1 juta kepada ahli yang melakukan sabotaj adalah tertakluk kepada Akta Pertubuhan 1966 dan ia tidak boleh dianggap sebagai menyekat hak kebebasan berpersatuan.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, usul pindaan boleh dikemukakan oleh perwakilan dan mesti melalui proses di peringkat cawangan serta bahagian, bergantung kepada peraturan parti mengenai tatacara meminda perlembagaannya.

"Perwakilan dalam persidangan tahunan merupakan kuasa tertinggi parti, maka proses pindaan akan ditentukan secara undian setelah usul pindaan dibahaskan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Wan Ahmad Fauzi, sebelum meluluskan pindaan perlembagaan berkenaan, perbincangan harus dilakukan dalam mesyuarat majlis tertinggi atau konvensyen parti tersebut dengan mengikut tatacara yang betul.

"Mesyuarat majlis tertinggi parti boleh usulkan cadangan pindaan, tetapi yang menentukan adalah persidangan perwakilan tahunan atau persidangan perwakilan khas," ujarnya.

Menurut beliau, ahli pertubuhan atau parti itu tidak boleh bertindak sesuka hati untuk melanggar perlembagaan parti kerana mereka telah membataskan hak secara sukarela mengikut Perkara 10 Akta Pertubuhan.

Jelasnya, maksud kebebasan berpersatuan adalah hak yang diiktiraf untuk menyertai persatuan atau pertubuhan secara sukarela.

"Justeru, sebelum menyertai sesuatu pertubuhan politik, pemohon perlu meneliti visi, misi dan peraturan yang mengikat seorang ahli.

"Selain itu, penguatkuasaan perlembagaan parti yang mengikat seseorang ahli tidak boleh dianggap sebagai sekatan kepada kebebasan hak berpersatuan selama mana ia dilaksanakan mengikut peruntukan parti dan telah dipinda mengikut proses yang betul," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca