ISU pengangkutan awam dan perhubungan batuan akhir, perubahan iklim dan teknologi hijau menjadi antara lima perkara menjadi keutamaan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung. Pada masa sama beliau turut memperjuangkan perubahan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

ISU pengangkutan awam dan perhubungan batuan akhir, perubahan iklim dan teknologi hijau menjadi antara lima perkara menjadi keutamaan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Pada masa sama beliau turut memperjuangkan perubahan dalam dasar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembangunan ekonomi atau industri yang lestari.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Mohd Azlim Zainury bersama Chean Chung dalam menterjemahkan agenda beliau menerusi ruangan Agenda YB kali ini.

SINAR HARIAN: Sebagai ahli Parlimen kerajaan apakah lima isu nasional yang menjadi keutamaan YB?

CHEAN CHUNG: Isu pengangkutan awam, pemerkasaan pengangkutan awam diperlukan dalam mengatasi kesesakan lalu lintas, yang dapat menjejaskan produktiviti pekerja dan merugikan negara.

Kedua adalah isu perubahan iklim dan ketiga adalah tenaga (teknologi) hijau, teknologi hijau mempunyai peranan strategik yang lebih jauh daripada setakat mencapai autonomi tenaga dan menangani perubahan cuaca.

Kita boleh hidup lebih lestari jika menjadi seorang yang lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semula jadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi rakyat yang aktif dalam membangunkan alam sekitar.

Keempat pula adalah mengenai dasar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perkara kelima yang menjadi keutamaan saya adalah pembangunan ekonomi atau industri yang lestari.

Kerajaan selaku badan pelaksana utama negara hendaklah melaksana dasar-dasar yang mendukung pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam pembangunan.

SINAR HARIAN: Apakah isu utama rakyat di kawasan Petaling Jaya yang YB akan perjuangkan di Parlimen?

CHEAN CHUNG: Program latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu diperluaskan untuk golongan anak-anak muda dan wanita berpotensi agar mereka dapat diserap ke dalam institusi program latihan ini.

Isu pengangkutan awam juga diberikan keutamaan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi buat warga Petaling Jaya.

Saya pernah menaiki pengangkutan awam terutama perkhidmatan bas percuma yang disediakan kerajaan untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Inisiatif menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja, dapat membantu mengatasi isu kesesakan trafik di ibu negara, khususnya pada waktu puncak.

Kajian sebelum ini juga menunjukkan pemandu di ibu negara menghabiskan 159 jam berada di atas jalan raya pada waktu puncak, tahun lalu, selain terpaksa membelanjakan RM1,023 bagi petrol kenderaan mereka untuk perjalanan ketika waktu puncak pada 2012.

Chean Chung (tengah) ketika mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beberapa wakil Transit Malaysia berkenaan Kajian Penambahbaikan Bas Peringkat Lembah Klang pada 25 Julai lalu.
Chean Chung (tengah) ketika mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan beberapa wakil Transit Malaysia berkenaan Kajian Penambahbaikan Bas Peringkat Lembah Klang pada 25 Julai lalu.

Kesesakan lalu lintas yang semakin teruk membazirkan banyak masa kita yang sepatutnya boleh diluangkan untuk keluarga, rakan dan orang tersayang.

Ia juga menjejaskan pendapatan boleh guna kita yang kian mengecil, yang sepatutnya boleh digunakan untuk pelaburan atau memperbaiki kehidupan kita.

Saya mengakui sistem pengangkutan awam di negara ini masih belum mencukupi untuk rakyat diberi pilihan perjalanan yang selamat, berpatutan dan selesa.

Kerajaan membelanjakan berbilion-bilion (ringgit) bagi membina sistem rel bandar, namun bergelut untuk mengatasi 'last-mile connectivity' yang membolehkan orang ramai menaiki pengangkutan awam dengan mudah.

Ia bukan saja memerlukan komitmen daripada menteri atau kementerian dan ahli Parlimen, tetapi juga kesediaan semua warga bandar bagi menyesuaikan gaya hidup dan corak perjalanan kita untuk menerima pengangkutan awam.

Selain itu tumpuan saya juga terarah dalam usaha meningkatkan kemudahan dan suasana kehidupan penghuni program pendapatan rendah (PPR) dan flat menjadi bertambah baik di bandar raya ini.

Tidak terkecuali isu kemiskinan bandar dan pendidikan sains, teknologi kejuruteraan dan matematik (STEM) yang merupakan elemen penting dalam usaha menyediakan pelajar untuk memenuhi kehendak masa depan.

SINAR HARIAN: Adakah YB berdepan masalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat atau YB ada cara sendiri dalam memastikan agenda untuk rakyat ini dapat diteruskan?

CHEAN CHUNG: Tidak dapat dinafikan kita menghadapi kekangan tertentu bagi memenuhi keperluan dan kehendak warga bandar raya Petaling.

Jumlah penduduknya sekitar 400,000 dengan seramai kira-kira 200,000 pengundi dan dengan jumlah ini kita menghadapi kekangan-kekangan tertentu.

Malah kita juga mengalami kesuntukan masa walaupun bekerja sepanjang hari dan saya cuba bangun dan buat rancangan awal bermula jam 7.30 pagi setiap hari.

Dalam masa sama, saya sentiasa bekerjasama erat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua agensi terlibat untuk memastikan mutu perkhidmatan yang baik.

SINAR HARIAN: Apakah cabaran yang YB lihat bakal dihadapi Kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya negeri?

CHEAN CHUNG: Situasi hari ini menunjukkan anak-anak muda mendapat maklumat yang jelas berkaitan isu-isu terkini, manifesto dan janji melibatkan integriti.

Sehubungan itu, visi yang dirangka itu perlu direalisasikan. Ini kerana rakyat mahukan tindakan dan bukan janji manis.

SINAR HARIAN: Apakah harapan YB buat warga Petaling Jaya?

CHEAN CHUNG: Sebagai warga kota yang progresif dan menghuni di tengah bandar, warga Petaling Jaya harus jadi pemangkin perubahan, selalu memberikan idea dan cadangan, dan berani mengambil tindakan untuk mengubah nasib kita bersama.

Paling penting, usaha perlu sentiasa berjalan demi khidmat untuk rakyat.

PROFIL

Nama: Lee Chean Chung

Asal: Kuantan, Pahang

Tarikh Lahir: 11 April 1981

Pasangan: Woo Sze Min

Anak: Tiga orang

Kawasan: Parlimen Petaling Jaya

Kerjaya:

- Ahli Parlimen Petaling Jaya (2022)

- ADUN Semambu (2013 hingga kini)

- Penyelidik Parlimen (2009 hingga 2012)

- Pengurusan Bersekutu, Li & Fung Logistik (2007 hingga 2008)

- Penyelidik Bersekutu, IDC (2006 hingga 2007)

Jawatan disandang dalam politik:

- Ketua Cabang Indera Mahkota (2012 hingga kini)

- Bendahari Agung (2019 hingga kini)

- Naib Pengerusi MPN Pahang (2019 hingga kini)

- Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (2014 hingga 2019)

Lantikan dalam GLC dan agensi:

- Pengarah Lembaga Pelabuhan Kuantan (2019 hingga 2020)

Pendidikan:

- Universiti Nasional Singapura (2018 hingga 2019)

- Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (2004 hingga 2006)

- Multimedia University (1999 hingga 2003)

- SMK Air Putih (1994 hingga 1998)

- SRJK(C) Pei Chai (1988 hingga 1993).

Klik di sini untuk terus membaca