PENULIS di dalam beberapa siri penulisan sebelum ini telah memberikan penekanan kepada kesusahan yang dihadapi oleh sebahagian peniaga yang berhadapan dengan masalah yang bertimpa-timpa. Terbaharu, telah viral satu video di Kedah berkenaan... Klik di sini untuk terus membaca

PENULIS di dalam beberapa siri penulisan sebelum ini telah memberikan penekanan kepada kesusahan yang dihadapi oleh sebahagian peniaga yang berhadapan dengan masalah yang bertimpa-timpa.

Terbaharu, telah viral satu video di Kedah berkenaan kesukaran yang dihadapi oleh seorang peniaga yang disampaikan kepada salah seorang calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.

Beliau menjelaskan kepada calon PRN Kedah tersebut berkenaan harga beberapa barang yang dijual di kedai runcitnya dengan memberikan contoh harga beberapa barangan yang dijual.

Beliau memberikan contoh dengan menjual gula pada harga RM2.85 dan memperoleh keuntungan 8 sen disebabkan harga modal RM2.77. Beliau juga menjelaskan menjual minyak masak RM2.50 dengan modal RM2.45 dan keuntungan 5 sen.

Jika ditolak beg plastik 2 sen tinggal keuntungan 3 sen. Beliau bertanya kepada calon sama ada boleh berniaga atau tidak? Beliau juga berharap agar tidak ditekan peniaga pada ketika ini.

Dalam erti kata lain peniaga perlu dibantu pada ketika ini disebabkan sebahagian peniaga hanya memperoleh keuntungan begitu kecil.

Penulis berpandangan perlu lebih ramai peniaga yang berhadapan dengan tekanan perniagaan mereka pada ketika ini untuk menyatakan dengan jelas kesukaran mereka kepada semua calon yang bertanding agar mana-mana calon yang menang dapat sekurang-kurangnya membawa suara dan nasib peniaga kecil di peringkat yang lebih tinggi.

Inilah realiti di lapangan yang telah saya utarakan berulang kali sebelum ini di kolum Untung Rugi, Sinar Harian berdasarkan tinjauan penulis di lapangan di Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Perak yang mana ramai peniaga kecil berhadapan dengan masalah dalam perniagaan masing-masing.

Peniaga kecil ini ada yang menyatakan kemerosotan pendapatan melebihi 50 peratus dan ada juga menyatakan mereka sukar memperoleh keuntungan RM50 sehari.

Ada beberapa peniaga yang turut menyebut bahawa keadaan pada ketika ini lebih mencabar jika dibandingkan dengan situasi semasa krisis Covid-19 khususnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hakikatnya, ramai peniaga yang menyatakan mereka menerima pelbagai bantuan daripada Kerajaan pada ketika PKP untuk mengimbangi kesukaran dan cabaran perniagaan yang dihadapi oleh sebahagian peniaga pada ketika itu.

Pada hari Sabtu yang lalu semasa menghadiri Majlis Perkahwinan di Bandar Mahkota Cheras, penulis sempat berjumpa bersama sahabat lama penulis iaitu saudara Imran yang mengusahakan perniagaan roti goreng di Pasar Malam di Batang Kali, Selangor.

Beliau turut menyatakan perkara yang sama iaitu berhadapan dengan cabaran dalam perniagaan termasuk ketidaktentuan pendapatan disebabkan oleh antara lain kuasa membeli pengguna yang berkurangan.

Jika kita lihat harga barangan makan di kedai makan pada ketika ini, kita boleh nampak dengan begitu jelas harganya amat-amat berbeza berbanding beberapa tahun sebelum ini. Minggu lalu, penulis sempat membeli Putu Mayam dan amat terkejut dengan harganya.

Di dalam satu bungkusan terdapat 8 keping Putu Mayam yang berharga RM8 nak jika dibeli dua bungkusan berharga RM15. Jumlah yang sama beberapa tahun yang lalu berkemungkinan berharga sekitar RM4 sebungkus.

Walaupun harga ini sesuatu yang mengejutkan penulis, namun penulis memahami mengapa harga sedemikian diletakkan selepas bertanya kepada penjual sendiri.

Sekiranya harganya meningkat pada banyak ketika penulis akan bertanya kepada peniaga untuk mendapatkan kepastian daripada mereka.

Berdasarkan input daripada peniaga sendiri, kos bahan mentah makanan yang diperoleh pada ketika ini amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini dan tidak mempunyai pilihan selain daripada menetapkan harga sedemikian supaya tidak mengalami kerugian dan memperoleh keuntungan yang kecil.

Akhirnya, penulis ingin ulang dan ulang cadangan untuk diperkenalkan semula inisiatif geran khas dan bantuan lain yang bersesuaian termasuk memperkenalkan semula moratorium bersasar untuk membantu peniaga kecil.

Walaupun moratorium bersasar ini tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh peniaga, namun sekurang-kurangnya ianya akan dapat memberikan ruang dan masa kepada peniaga untuk bernafas dan seterusnya membuat perancangan baharu dalam usaha untuk mengenal pasti pendekatan yang bersesuaian dalam meneruskan perniagaan masing-masing.

Selain itu, lebih ramai peniaga perlu beralih ke perniagaan secara dalam talian tanpa memerlukan peniaga menyewa premis dan peniaga juga boleh turut berniaga melalui medium aplikasi penghantaran makanan.

Lebih ramai juga peniaga kedai runcit perlu terlibat di dalam pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARa) atau semasa Krisis Covid-19 dikenali sebagai PRIHATIN Kasih bagi pembelian barangan keperluan asas tanpa tunai melalui MyKad daripada kalangan kategori tertentu.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca