PARIS - Lebih 100 jurnal perubatan di seluruh dunia menggesa tindakan segera supaya menghapuskan senjata nuklear setelah memberi amaran tentang ancaman malapetaka dahsyat yang semakin meningkat.
Desakan bersama itu dibuat seteRlah Rusia berulang kali mengancam untuk menggunakan senjata nuklear di Ukraine selain siri ujian misil balistik yang dilancarkan Korea Utara.
Sebuah editorial yang diterbitkan dalam pelbagai jurnal perubatan mendesak profesional perubatan agar memberi amaran kepada penduduk dan pemimpin antarabangsa tentang bahaya utama senjata nuklear kepada kesihatan awam.
"Bahaya itu semakin berkembang. Negara bersenjata nuklear perlu melupuskan bekalan mereka sebelum ia melenyapkan umat manusia," ujar editorial yang dikarang bersama editor 11 jurnal perubatan terkemuka termasuk BMJ, Lancet, JAMA dan New England Journal of Medicine pada awal minggu lalu.
Chris Zielinski di Persatuan Editor Perubatan Sedunia menyifatkan ia sebagai perkembangan luar biasa kerana jurnal yang biasanya mementingkan kandungan eksklusif telah bersatu dalam isu tersebut.
"Kesemua jurnal tersebut bersetuju untuk menerbitkan editorial sama yang menggariskan tentang ancaman krisis nuklear tersebut," katanya sambil menambah mereka percaya sebarang penggunaan senjata nuklear bakal menjadi bencana kepada manusia sejagat.
Sementara itu, bekas Presiden Pakar Perubatan Antarabangsa untuk Pencegahan Perang Nuklear yang juga penulis bersama editorial tersebut, Ira Helfand berkata, dunia sedang berdepan detik luar biasa yang berbahaya kerana kemungkinan tercetusnya perang nuklear adalah nyata.
Helfand turut merujuk kepada kenyataan dibuat bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev baru-baru ini yang mengancam mahu menggunakan senjata nuklear jika operasi serangan balas dilancarkan tentera Ukraine mara ke wilayah Moscow.
"Kita tidak tahu jika ia adalah ancaman jelas atau hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai. Tetapi, saya berpendapat kita perlu mengambil serius tentang hal tersebut," jelasnya.
Beliau juga mengaitkan perkara itu dengan tindakan provokasi Pyongyang yang didakwa Jepun sebagai ancaman paling serius kepada keselamatan negara tersebut.
Editorial itu dikeluarkan pada minggu sama ketika mesyuarat jawatankuasa persediaan diadakan di Vienna untuk menyemak semula Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) yang berkuat kuasa pada 1970.
Kajian semula terhadap kandungan asas perjanjian itu juga gagal mencapai deklarasi bersama yang menyaksikan Amerika Syarikat (AS) mengecam 'halangan sinis' daripada Rusia.
Sejak itu, isu tersebut semakin jarang menjadi topik perdebatan, namun ia kini kembali hangat diperkatakan selepas 'ugutan' Kremlin yang mahu menggunakan senjata nuklear mencetuskan kebimbangan kepada Barat. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca