SHAH ALAM - Projek rintis sekolah khas pelajar keluarga paling miskin akan menyebabkan berlakunya pemisahan taraf dan pelabelan dalam kalangan pelajar sedangkan negara kini menuju ke arah sistem pendidikan inklusif.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, sekolah sepatutnya menjadi tempat inklusif yang mana anak-anak dapat bergaul tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan sama ada miskin atau kaya.
Katanya, sebab itu pelajar pendidikan khas atau orang kurang upaya juga akan diletakkan di sekolah biasa agar mereka dapat bergaul secara normal.
"Kita tidak mahu, bila habis belajar, anak- anak dilabelkan daripada keluarga miskin berdasarkan nama sekolah, biar mereka bergaul dalam persekitaran sosialisasi yang normal. Dalam masa sama, kita sedar ada segelintir anak-anak miskin ini tidak mendapat peluang yang sepatutnya sekali gus menyebabkan keciciran dalam pelajaran kerana faktor kemiskinan.
"Kalau kita lihat kepada sejarah pendidikan negara, kita pernah alami perkara yang sama namun berjaya diselesaikan melalui Laporan Keciciran Murad pada 1972. Laporan tersebut mencadangkan agar asrama diwujudkan di setiap sekolah sedia ada bagi menempatkan pelajar miskin dan terbukti berjaya apabila selepas 30 tahun mereka keluar daripada kemiskinan," katanya pada Ahad.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan kerajaan berhasrat memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan lebih berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.
"Kalau kita kaji buat sekolah baharu pun menelan kos kira -kira RM70 hingga RM80 juta. Daripada fokus perkara tersebut, lebih baik kerajaan menggunakan dana itu dengan membina asrama selain mewujudkan satu program khas bagi membantu pelajar-pelajar miskin.
"Melalui program ini, pihak sekolah perlu melantik cikgu atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk menerajuinya. Mereka berperanan dalam mengenal pasti pelajar layak serta menyediakan segala kemudahan seperti kelas tambahan, bahan bacaan, sesi motivasi dan lain-lain yang sesuai mengikut keperluan pelajar," jelasnya.
Bagaimanapun ujarnya, usaha dan keprihatinan kerajaan harus dipuji kerana menitikberatkan kepentingan pelajaran dalam kalangan generasi hari ini terutamanya golongan miskin.
"Saya gembira sebab Perdana Menteri ambil berat namun kaedah yang diketengahkan dilihat tidak relevan kerana ada cadangan lain yang lebih baik," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca