MUAR - Gelombang hijau dan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) ketika ini akan menjadi faktor gabungan itu menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sini pada 9 September ini.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bakri, Mahadzir Abu Said berkata, ia berikutan kemampuan PN menarik sokongan rakyat terutama Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Keyakinan kita untuk merampas kerusi DUN Simpang Jeram apabila melihat kepada gelombang hijau yang berlaku dalam kempen pilihan raya kecil (PRN) yang sedang berlangsung ketika ini.
"Keadaan ini ditambah dengan kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan dan Barisan Nasional) yang ada ini tidak nampak kestabilannya selain persepsi rakyat yang lebih berpihak kepada PN.
"Kita amat berharap gelombang ini berterusan di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai seterusnya memberikan kemenangan kepada calon terpilih nanti," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Katanya, sokongan rakyat pada masa ini didakwa berpihak kepada PN yang sebelum ini menunjukkan prestasi cemerlang semasa menjadi kerajaan.
"Siapa pun yang akan menjadi calon untuk DUN Simpang Jeram nanti akan diberi sokongan penuh oleh ahli di peringkat akar umbi.
"Apa yang perlu dilakukan pada masa sekarang ialah untuk menggempur kubu lawan yang dilihat lebih condong kepada PN selain mendekati pengundi atas pagar.
"Kami hanya menunggu masa untuk bergerak kerana semua jawatankuasa kerja sudah bersedia melaksanakan tugas diamanahkan nanti," katanya.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi DUN Simpang Jeram pada 5 September manakala hari pengundian 9 September.
PRK bagi kerusi DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Klik di sini untuk terus membaca