MESKIPUN pelbagai persediaan sudah dibuat, gelombang haba yang melanda beberapa negara Eropah tahun ini langsung di luar jangka. Suhu panas melambung sehingga 45 darjah celcius. Greek misalnya mengalami episod kebakaran hutan yang begitu besar mulai 17 Julai 2023.
Enam nyawa terkorban dan puluhan lagi cedera termasuk pelancong yang sedang bercuti di negara tersebut. Sekali lagi, perubahan iklim dikatakan penyebab ketidaktentuan cuaca yang melanda dunia hari ini.
Belum pun reda malang yang menimpa benua Eropah ini, Rishi Sunak pula membuat pengumuman mengejutkan. Kerajaan United Kingdom (UK) bawah pimpinannya bakal meluluskan lebih 100 lesen carigali minyak dan gas di Northern Sea UK bagi meningkatkan jumlah simpanan minyak dan gas mereka. Ia juga dikatakan salah satu strategi mengukuhkan ekonomi UK dan bakal mengurangkan kos tenaga di UK dalam jangka masa panjang.
Pemain industri sektor carigali minyak tentulah bersorak gembira dengan pengumuman tersebut. Namun, sebagai sektor penyumbang utama perubahan iklim, keputusan Kerajaan UK ini dilihat tak kena pada masanya dan begitu pentingkan diri.
Meskipun kata Sunak, inisiatif Carbon Capture and Storage akan turut dipergiat sebagai langkah mengurang pelepasan gas rumah kaca (GHG) dari aktiviti cari gali tersebut, namun bagi aktivitis alam sekitar, ia mungkin hanya satu lagi ‘greenwashing strategy’ yang bakal memperkaya pemain industri.
Minggu lalu, sekumpulan penunjuk perasaan dari Greenpeace telah menceroboh kediaman rasmi Rishi Sunak semasa beliau bercuti bersama keluarga di Amerika Syarikat. Mereka memanjat bumbung kediaman rasminya dan membalut bangunan tersebut dengan kain hitam sebagai tanda protes. Tindakan tersebut dirakam sambil memegang sepanduk ‘Rishi Sunak, oil profits or our future?’
Bagi negara barat termasuklah UK, tindakan pemuda Greenpeace tersebut bukanlah begitu aneh. Ada pelbagai rupa dan gaya protes mereka dalam membantah dasar-dasar Kerajaan yang dianggap membawa lebih mudharat daripada manfaat kepada orang ramai.
Extinction Rebellion UK, pada April 2023, telah mengetuai lebih 50,000 penunjuk perasaan menyarung pelbagai kostum bertema alam sekitar dari seluruh UK yang mewakili lebih 200 kumpulan aktivitis di London.
Bukan saja di UK, malah tunjuk perasaan sebegini semakin banyak berlaku di seluruh dunia. Perjuangan Greta Thunburg sejak 2018 misalnya, telah menginspirasi tunjuk perasaan terbesar dalam sejarah dunia, The Global Climate Strike pada tahun 2019. Ia melibatkan lebih 7.6 juta peserta di 4500 lokasi dalam 150 negara.
Kebanyakan anak muda ini hanya mahukan semua Kerajaan lebih komited dalam tindakan menangani perubahan iklim demi masa depan mereka. Antaranya, kurangkan penggunaan minyak asli sebagai sumber tenaga dan hentikan projek cari gali minyak dan gas.
Permintaan mereka nampak begitu ringkas, namun hakikatnya, amat rumit untuk ditunaikan, apatah lagi apabila ia melibatkan orang ramai.
Lihat saja di UK sendiri, atas desakan untuk mengurangkan penggunaan tenaga sebagai usaha menangani perubahan iklim, Kerajaan bersetuju menaikkan harga elektrik dan gas sebanyak lebih 50 peratus tahun lalu.
Yang menanggung kesusahan akhirnya tetap orang awam. Kerajaan pula garu kepala mencari jalan menangani krisis kos sara hidup yang melanda rakyat. Sedangkan pemain industri minyak dan gas kekal meraih gandaan keuntungan.
Dr. Bjorn Lomborg, Presiden Copenhagan Consensus Centre juga penulis buku kontroversi The False Alarm, keras mengkritik kesilapan dunia menghadapi isu ini sebagai retorik politik dan polemik media massa semata-mata.
Tanpa menafikan bahawa perubahan iklim sememangnya sedang berlaku dan kemusnahan akibatnya juga besar, melabur terlalu banyak untuk mengurangkan pelepasan GHG seperti yang berlaku kini, dilihat bakal memburukkan keadaan.
Kajiannya mendapati, lebih AS$400 bilion setiap tahun dilaburkan dalam pelbagai inisiatif mengurangkan pelepasan GHG. Angka ini dijangka menjangkau AS$1 hingga 3 trilion setahun menjelang 2030.
Meski sudah berbelanja sebanyak itu, perubahan iklim terus saja memburuk. Malah, jika pun dunia berhabisan segalanya untuk itu, masih tiada jaminan perubahan iklim akan terhenti serta merta.
Sedangkan sumber wang dan tenaga sebanyak itu jika dilabur untuk pembangunan sosio-ekonomi dan infrastruktur terutama di kawasan terpencil dan negara miskin, pasti lebih bermakna bagi membantu golongan yang lebih teruk terkesan akibat impak perubahan iklim ini.
Hujah Bjorn ada logiknya. Tanpa perlu ada tunjuk perasaan, sejak dulu lagi, Kerajaan Malaysia sentiasa komited mengutamakan keupayaan rakyat menghadapi impak perubahan iklim seperti banjir dan kemarau.
Meski bencana alam ini semakin memburuk, namun tanpa pelaburan seperti untuk membina struktur tembatan banjir, pendalaman sungai atau pembinaan empangan bekalan air oleh kerajaan, kemusnahan yang berlaku pastilah berganda lebih besar dan sukar dipulihkan. Dalam konteks hujah Bjorn, Malaysia memang layak dipuji!
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca