BAHANG pilihan raya negeri (PRN) yang kemuncaknya pada 12 Ogos ini semakin panas apabila parti politik yang bertanding sudah mula mengumumkan calon jawatan utama pentadbiran kerajaan negeri masing-masing. DAP misalnya menamakan Pengerusi... Klik di sini untuk terus membaca

BAHANG pilihan raya negeri (PRN) yang kemuncaknya pada 12 Ogos ini semakin panas apabila parti politik yang bertanding sudah mula mengumumkan calon jawatan utama pentadbiran kerajaan negeri masing-masing.

DAP misalnya menamakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri bagi penggal kedua, sekali gus kekal poster boy di negeri Pulau Mutiara itu.

Pengumuman itu turut menepis desas-desus kononnya Kon Yeow bakal digugurkan untuk memberi laluan kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng untuk kembali menerajui Pulau Pinang.

Untuk menguatkan lagi dakwaan tersebut, enam daripada tujuh ADUN yang pernah menyatakan sokongan terhadap Kon Yeow juga telah digugurkan daripada senarai calon oleh seorang ‘maharaja’.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Foo menafikan dakwaan tersebut kerana sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak yang kecewa.

Banyak pihak meramalkan Kon Yeow sukar digugat apabila bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota yang dimenanginya sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada tahun 2004.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan PH-Barisan Nasional (BN) meletakkan Kon Yeow sebagai poster boy merupakan satu pilihan yang tepat.

"Kon Yeow merupakan calon paling sesuai buat masa ini untuk mengelak spekulasi dan permasalahan dalaman parti terutamanya apabila beliau masih boleh berkhidmat untuk satu lagi penggal mengikut ketetapan perlembagaan parti.

"Sekiranya calon Ketua Menteri ditukar pada saat-saat akhir, PH dan DAP akan berhadapan dengan isu sabotaj, krisis sokongan dalaman serta boikot daripada penyokong kuat Kon Yeow,” katanya kepada Sinar Premium.

Ketika ditanya tentang kelebihan Kon Yeow berbanding nama-nama lain, Sivamurugan berkata, Kon Yeow ialah calon yang dilihat bersih daripada kontroversi.

"Kon Yeow kurang bermain dengan sensitiviti politik kepartian dan lebih menumpukan kedudukannya sebagai Ketua Menteri. Beliau juga merupakan pemimpin yang disegani dan mudah diterima ramai setakat ini.

"Tanpa terbabit dengan isu kontroversi, beliau mentadbir urus Pulau Pinang dengan baik dengan mengambil kira kepentingan pelbagai kumpulan sasar,” ujarnya.

Bersetuju dengan pandangan itu, penganalisis politik dari USM, Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, Kon Yeow mudah didekati rakyat dan tidak membawa reputasi 'mulut laser' seperti Guan Eng yang pernah memegang jawatan sama sebelum beliau.

"Kon Yeow mempunyai track record yang baik dalam memacu Pulau Pinang sebagai sebuah negeri perindustrian. Kata kunci untuk menggambarkan pemilihan beliau adalah 'kesinambungan.'

"Komitmen beliau kepada negeri itu terbukti sejak beliau bergraduasi dari USM dalam bidang Sains Politik pada tahun 1984 dan mewakili Tanjong sebagai Ahli Parlimen sejak tahun 1999,” katanya.

Laluan sukar Dominic

Bagi Perikatan Nasional (PN), Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang bertanding di DUN Bayan Lepas dilihat antara calon sesuai untuk diangkat sebagai Ketua Menteri andai koalisi itu berjaya menumbangkan penguasaan DAP di Pulau Pinang.

Mengenai pemilihan Dominic, Ahmad Fauzi berpendapat, PN memilih Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu sebagai poster boy di negeri itu kerana beliau memegang jawatan penting dalam parti yang mewakili kaum bukan Melayu.

Dominic (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk Kampung Bagan, Teluk Kumbar dalam siri kempen bagi PRN.
Dominic (dua dari kiri) beramah mesra dengan penduduk Kampung Bagan, Teluk Kumbar dalam siri kempen bagi PRN.

"Ini sesuai dengan demografi kaum di Pulau Pinang dengan nisbah bukan Melayu kepada Melayu hampir 50-50.

"Sekiranya PN meletakkan pemimpin Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai calon Ketua Menteri, ia akan mencetuskan gelombang anti-PN secara besar-besaran yang bertujuan menolak Ketua Menteri Melayu-Muslim,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Fauzi berpandangan, strategi meletakkan Dominic bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas bukanlah satu keputusan yang tepat memandangkan kawasan itu mempunyai 64 peratus majoriti pengundi Melayu.

"Mungkin PN beranggapan kawasan itu cerah untuk dimenangi oleh parti itu berdasarkan protes masyarakat Melayu terhadap PH-BN dan kerajaan negeri berhubung isu Projek Pulau Pinang Selatan.

"Namun, mereka terlupa bahawa Dominic juga pernah menyentuh isu sensitif melalui kenyataan kurang enak terhadap institusi pendidikan Islam yang dituduhnya menyemai sentimen ekstremisme. Walaupun beliau sudah meminta maaf, luka ini kekal dalam kalangan penduduk Melayu-Muslim,” katanya.

Ahmad Fauzi berkata, peristiwa sekumpulan ahli akar umbi Pas membantah pencalonan Dominic di Bayan Lepas juga sedikit sebanyak menggugat sokongan pengundi terhadap beliau.

Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahimsebelum ini disebut-sebut sebagai calon di DUN Bayan Lepas.

"Penyokong PN yang tidak bersetuju dengan pencalonan Dominic sebagai calon berkemungkinan besar tidak akan keluar mengundi.

"Apa yang boleh membantu beliau di saat akhir adalah satu bentuk arahan atau fatwa yang dikeluarkan oleh Pas Pusat yang mengarahkan penyokong-penyokong PN untuk tidak memboikot Dominic kerana pemilihan dibuat atas persetujuan kepemimpinan tertinggi parti,” ujarnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!

Klik di sini untuk terus membaca