BANGKOK - Masa depan usaha pemuliharaan harimau dalam habitat semula jadi di Thailand mencetuskan tanda tanya apabila negara Gajah Putih itu turut berhadapan dengan isu perubahan iklim yang kini melanda kebanyakan negara di dunia.... Klik di sini untuk terus membaca

BANGKOK - Masa depan usaha pemuliharaan harimau dalam habitat semula jadi di Thailand mencetuskan tanda tanya apabila negara Gajah Putih itu turut berhadapan dengan isu perubahan iklim yang kini melanda kebanyakan negara di dunia.

Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jatuporn Buruspat berkata, kebakaran hutan yang disengajakan atau disebabkan perubahan iklim di beberapa wilayah di Thailand telah menjejaskan usaha agensi berkaitan dalam melindungi populasi harimau.

Thailand kini memiliki jumlah harimau paling banyak berbanding negara-negara jirannya di Asia Tenggara.

Difahamkan, bilangan spesies kucing besar itu di Thailand kini mencecah hampir 200 ekor, satu peningkatan yang dianggap signifikan dalam tempoh dua dekad.

Berdasarkan data diperolehi daripada Jabatan Taman Negara, Pemuliharaan Hidupan Liar dan Tumbuhan (DNP), bilangan harimau telah meningkat secara progresif daripada 130 hingga 160 pada 2020 kepada 148 hingga 189 ekor pada 2022.

Perubahan iklim yang mencetuskan kemarau panjang di dalam hutan menjejaskan usaha pemuliharaan harimau di habitat semula jadinya.

"Harimau merupakan antara haiwan yang semakin diancam kepupusan susulan aktiviti penerokaan hutan yang berlaku di negara ini.

"Ditambah pula dengan perubahan iklim yang sememangnya menjejaskan usaha pemuliharaan harimau di habitat semula jadinya,” ujar Jatuporn.

Pusat perlindungan Huai Kha Khaeng dan Thung Yai kini menempatkan antara 103 hingga 131 harimau dengan Taman Negara Lab Tan di wilayah Prachin Buri muncul sebagai habitat semula jadi kedua terbesar apabila menempatkan sekitar 15 hingga 23 harimau.

Ini diikuti dengan Kompleks Hutan Barat yang membentuk Taman Negara Mae Wong, Khlong Lan, dan Khlong Wang Chao serta Santuari Hidupan Liar Ung Phang yang melindungi 16 hingga 21 harimau.

Namun Jatuporn menjelaskan hampir kesemua tempat perlindungan itu kini berhadapan dengan impak perubahan iklim yang mengakibatkan tempoh kemarau panjang di dalam hutan.

Justeru, Jatuporn menekankan kepentingan melindungi hutan yang merupakan habitat semula jadi harimau bagi memastikan populasi haiwan liar itu stabil. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca