CALON paling tua Pulau Pinang yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Ravinder Singh tidak pernah kenal erti lelah apabila beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) di negeri ini.
Berusia 81 tahun, Ravinder tetap dengan azamnya iaitu membersihkan pentadbiran negara daripada gejala rasuah sekiranya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat.
Ravinder merupakan calon Parti Rakyat Malaysia akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak di samping Oh Teong Keong (Gerakan), Fahmi Zainol (PKR) dan Priyankaa Loh Xiang Pin (MUDA).
Ikuti wawancara wartawan, Syajaratulhuda Mohd Rosli bersama Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) ini.
SINAR HARIAN: Bagaimana penerimaan pengundi terhadap kempen yang dijalankan setakat ini?
RAVINDER: Penerimaan sangat positif. Mereka sedar keadaan negara yang tidak memuaskan pada masa kini dengan korupsi yang berleluasa, pentadbiran kurang cekap, alam sekitar yang tidak dijaga, sistem pendidikan yang merosot, harga barang naik dan sebagainya.
SINAR HARIAN: Bagaimana dengan pengundi di atas pagar, apa pendekatan yang diambil untuk mendekati mereka?
RAVINDER: Ini agak sukar. Cara yang baik adalah perjumpaan secara bersemuka dan perbincangan. Walaupun sukar, saya masih berusaha. Selain itu, kita juga mengedarkan risalah kepada pengundi.
SINAR HARIAN: Apa pendekatan kempen yang digunakan setakat ini untuk mendekati pengundi?
RAVINDER: Pertemuan dengan pengundi-pengundi melalui jelajah mesra di tempat tumpuan ramai seperti pasar pagi dan pasar malam.
Saya juga menggunakan medium media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan TikTok, di samping mengedar risalah, memasang bendera serta membuat kenyataan media.
SINAR HARIAN: Apa yang dilakukan untuk meyakinkan pengundi di kawasan anda berikutan ketiga-tiga pihak lawan terdiri daripada calon muda?
RAVINDER: Walaupun saya berdepan dengan ketiga-tiga calon muda, jangan lupa, calon berusia pun ada kelebihan.
Pengalaman first hand tentang pelbagai isu antaranya pentadbiran, masalah rasuah dan penguatkuasaan undang-undang.
Pengalaman yang saya ada penting untuk membuat pembaikan polisi-polisi yang telah gagal.
Tanpa pengalaman, calon-calon muda mungkin akan membuat cadangan yang salah.
SINAR HARIAN: Dalam PRN kali ini, terdapat ramai anak tokoh dan pemimpin politik diletakkan bertanding sebagai calon, apa pandangan anda?
RAVINDER: Ini satu perkara yang tidak sihat. Politik tidak harus dijadikan urusan keluarga.
Pengundi perlu menolak calon-calon daripada keluarga yang telah lama menjadi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sesiapa sahaja boleh diletakkan sebagai calon, tetapi terpulang kepada pengundi untuk membuat pilihan.
Pengundi perlu lebih matang dan berani membuat pilihan supaya pentadbiran negara tidak dijadikan urusan keluarga. Banyak penyelewengan dalam politik urusan keluarga yang kita telah lihat.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!
Klik di sini untuk terus membaca